Hanya guna bateri kereta sebagai sumber elektrik, Doktor warga Malaysia kongsi situasi di Gaza

Oleh INFORAKYAT

Konflik yang tercetus antara Palestin dan Israel telah mengorbankan beratus nyawa penduduk di sana.

Selepas beberapa hari diserang secara berterusan, penduduk Gaza kini menghadapi masalah bekalan air dan elektrik.

Salah seorang warga Malaysia yang berada di Gaza, Dr Nurul Ain Latif berkongsi sebuah video mengenai situasi genting di sana.

Menurut Dr Nurul Ain, dia dan keluarganya selamat daripada serangan tentera Israel namun kini terpaksa mencari sumber air dan elektrik demi kelangsungan hidup.

Katanya, dia menggunakan bateri kereta sebagai sumber tenaga untuk mendapatkan liputan internet dan sumber air pula dari tangki yang terbiar.

Dalam perkongsian sama, Dr Nurul Ain yang berkahwin dengan warga Palestin mengakui tidak mendapat tidur yang cukup kerana serangan bom bertubi-tubi sejak malam sebelumnya.

“Kalau boleh nampak sebelah sana ada asap hitam tu, (tempat) itu baru sekejap kena bom,” katanya.

Ujarnya, untuk penduduk yang tidak ada rumah atau rumah mereka musnah akibat dibom, ada di antara mereka menumpang mana-mana binaan kosong bersebelahan rumah keluarganya.

“Ada yang duduk dekat kawasan sini, sebahagian yang berlindung di bangunan sekolah dan ada yang melarikan diri ke rumah saudara mara ataupun kawan-kawan.

“Teruskan menyokong kami, doakan kami. Insya-Allah semua akan okay. Terima kasih semua,” katanya lagi.

Wisma Putra melaporkan seramai lima rakyat Malaysia dikenal pasti berada di Semenanjung Gaza dan dalam keadaan selamat.

Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambri Abd Kadir berkata kerajaan sedang berusaha menyegerakan proses evakuasi ke atas lima individu berkenaan.

BACA: “Aku cuba hubungi bekas isteri selepas setahun kami bercerai, setahun aku ambil masa untuk sedar, aku menyesal tinggalkan dia”