Minggu ini bila masuk je ke alam media sosial, pastinya korang tak terlepas daripada isu beras mahal kan?
Ye betul, isu yang paling hangat diperkatakan kerana ramai mendakwa mereka sedang terkesan dek harga beras melambung tinggi.
Malah, ada dakwaan yang katakan beras disorok, dicatu dan sebagainya.
Beras merupakan bahan makanan asas Malaysia di mana makanan ruji untuk rakyat negara ini adalah nasi. Kiranya kalau tak dapat sehari tu tak sah lah.
Disebabkan itu jugalah ramai yang terkesan dan bising tentang perkara ini. Malah, ada yang terlalu resah sehingga melakukan aktiviti ‘panic buying’ ketika melihat ada stok beras yang dijual pada harga yang lebih murah.
Kalau dah seorang pun ambil dalam bilangan yang banyak, makin cepatlah stok di pasaran habis sehingga ada orang lain yang tidak berpeluang beli.
Walau bagaimanapun, perkara seperti harga beras tempatan naik harga, bekalan beras dicatu atau disorok adalah tidak tepat, malahan pembelian melebihi keperluan juga sangatlah tidak digalakkan. Hal ini kerana apa yang dihebahkan di media sosial tidaklah seperti gambaran yang sebenar.
Naratif isu beras mahal & bekalan tak cukup
Bila ke pasaraya, mungkin ada yang tertanya kenapa beras import lebih banyak berbanding beras tempatan.
Jika diikutkan, Malaysia hanya mengeluarkan sebanyak 65% bersamaan 1.5 juta metrik tan dan 1 juta bekalan beras diimport.
Namun, peratusan itu hanya tinggal sekitar 30% ke 40% sahaja disebabkan kontrak yang dipersetujui antara pengilang dengan pembekal tender kerajaan untuk keperluan kem tentera, sekolah serta pengilang bee hoon pun banyak guna beras tempatan.
Beralih kepada isu harga pula, harga beras import sebenarnya sudah mulai naik sejak awal tahun ini tetapi tidak dirasai kerana Bernas masih kekalkan harga pada RM2,350 untuk 1 tan. Namun, apabila berlaku kenaikan harga beras sebanyak 60%, Bernas terpaksa buat pelarasan kepada RM3200/tan untuk mengelakkan kerugian.
Sekiranya kenaikan harga Beras Putih Import (BPI) berterusan tanpa penyelarasan harga jualan dilaksanakan,
BERNAS akan mencatat kerugian pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023.
Di samping itu, BERNAS dijangka akan hilang kemampuan untuk berkongsi 30% keuntungan dengan pesawah sehingga membawa implikasi negatif kepada Kerajaan.
Walau bagaimanapun, harga jualan BPI akan diselaraskan oleh BERNAS dari semasa ke semasa tertakluk kepada harga pasaran beras antarabangsa (harga freight on board – FOB) dan kadar nilai tukaran mata wang.
Disebabkan kenaikan harga tersebut, orang ramai mulai beralih ke beras tempatan kerana perbezaan harganya yang agak jauh berbanding sebelum ini.
Disebabkan itulah, permintaan terhadap beras tempatan terus meningkat sehingga ada kedai atau pasaraya tidak dapat menjualnya lagi.
Mungkin bekalan beras masih ada disimpan di dalam kilang, tapi kita kena tahu yang kebanyakannya telah diborong lebih awal dan kilang sudah terikat dengan kontrak yang telah dipersetujui.
Perkara sebeginilah yang menyebabnya berlakunya gangguan bekalan beras kerana permintaannya yang semakin tinggi di samping bekalan beras tempatan yang sedia ada sudahpun ‘bertuan’.
Pesawah sendiri perjelaskan tentang bekalan beras
Bak kata orang, kalau nak tahu asal sesuatu perkara, biarlah dari dasarnya
. Oleh itu, kami telah mendapatkan pandangan daripada seorang pesawah yang bergiat aktif dalam pengeluaran padi.
Menurutnya, isu yang dihadapi oleh rakyat Malaysia sekarang adalah berpunca dari kenaikan harga beras import sahaja. Namun, kenaikan harga beras import ini telah mempengaruhi stok beras di pasaran walaupun stok beras tempatan tidak berubah.
Perkara ini adalah kerana kuasa beli yang telah berubah setelah harga beras import meningkat.
Sebagai contoh, jika sebelum ini seseorang itu aktif membeli beras import, namun disebabkan kenaikan harga yang mendadak, dia mengubah pembelian ke arah beras tempatan yang jauh lebih murah.
Apa tindakan kerajaan atasi masalah ini?
Mungkin ada yang tertanya apakah inisiatif yang boleh dilakukan oleh pihak kerajaan untuk memastikan keperluan rakyat Malaysia dipenuhi.
Sebenarnya pihak kerajaan melalui Kementerian Pertanian Dan Keterjaminan Makanan (KPKM) telah melancarkan dan menjalankan program khas bagi memastikan bekalan beras putih tempatan sentiasa mencukupi.
Program Khas Beras Putih Tempatan (PKBPT)
Bagi menangani situasi permintaan terhadap beras putih tempatan yang bertambah secara mengejut, Kementerian Pertanian & Keterjaminan Makanan telah bekerjasama dengan beberapa agensi untuk melaksanakan Program Khas Beras Putih Tempatan (PKBPT).
Langkah intervensi ini adalah bertujuan memastikan bekalan beras putih tempatan dapat menjamin kestabilan BPT di pasaran. Program yang dijalankan selama setahun ini juga membolehkan pengilang meningkatkan pengeluaran sebanyak 20 peratus bekalan untuk pasaran dalam tempoh berikut.
PKBPT dilaksanakan oleh 93 pengilang, 103 pemborong dan 5 pemborong utama. Program ini akan dipantau terus oleh Kawal Selia Padi & Beras (KPB). Malah, diskaun atau rebet juga tidak dibenarkan.
Antara langkah intervensi yang diambil adalah dengan menghadkan pembelian 100 kilogram untuk seseorang bagi satu transaksi bagi mengelakkan daripada berlakunya pembelian panik.
Di samping itu, 20% stok beras daripada pengilang telah diminta untuk disalurkan kepada FAMA dan LPP untuk dipasarkan terus ke kawasan luar bandar yang banyak kumpulan B40. Menteri Pertanian, Datuk Seri Mohamad Sabu juga telah mengarahkan Kementerian Pertanian untuk berbincang dengan Kementerian Kewangan supaya tender kerajaan menggunakan beras import sahaja.
Antara lain langkah yang dijalankan adalah dengan memberikan lesen borong kepada persatuan pengusaha restoran serta penjaja supaya mereka boleh membeli beras import dengan harga lebih murah iaitu RM3.20 sekilo daripada Bernas.
Walau bagaimanapun, langkah intervensi itu hanyalah untuk tempoh jangka pendek sahaja.
Jika dilihat di dalam elemen harga bagi beras tempatan, dapat dibuktikan bahawa beras putih tempatan adalah paling murah berbanding negara-negara lain. Bagi Malaysia, harga jualan beras telah ditetapkan pada kadar RM2.60 untuk sekilogram. Harga berkenaan dikawal oleh kerajaan dan peniaga-peniaga tidak boleh sewenang-wenangnya menaikkan harga jualan.
Jadi bila dilihat balik kepada situasi terkini bagi bekalan beras putih tempatan, ianya boleh dikatakan terjejas ekoran lebih ramai pengguna yang memilih untuk beli beras tersebut pada waktu ini. Perkara ini kerana kenaikkan harga beras import dan juga perbezaan harga yang agak jauh di antara beras import dan beras tempatan.
Walau bagaimanapun, Program Khas Beras Putih Tempatan telah dilaksanakan dan dijangka bekalan beras putih tempatan akan dapat dipulihkan dalam tempoh sebulan.
Disebabkan itu, pengguna dinasihatkan untuk membeli beras mengikut keperluan dan juga ingatlah pada orang lain juga.
Jangan disebabkan kita ‘memborong’ habis beras tempatan di pasaran, orang lain tidak berkesempatan untuk membelinya walaupun hanya satu kampit.