Kadang kala ketika memasak kita akan terlupa sama ada kita sudah memasukkan perasa atau tidak, bimbang terlebih masin boleh naik darah pula.
Namun siapa sangka hal remeh ini boleh menyebabkan si isteri menjadi janda, hanya kerana kesilapan kecil.
Perkara itu didedahkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar sebagai merujuk trend pembubaran perkahwinan di seluruh negara.
“Jika berdasarkan pengalaman saya ketika di mahkamah syariah sebelum ini, ada suami minta cerai hanya kerana si isterinya masak kurang garam,” katanya seperti dipetik Utusan
Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Datuk Hakimah Mohd. Yusoff ketika ucapan alu-aluan mendedahkan peranan agensi itu dalam isu pengukuhan perkahwinan.
Ini termasuklah penambahbaikan semula pengisian modul bersepadu bagi Kursus Pasca Perkahwinan pada 2018 selepas mula diperkenalkan tiga tahun sebelum itu.
Pada masa sama, agensi tersebut mengemas kini modul untuk Kursus Pra Perkahwinan yang diwajibkan kepada semua bakal pengantin Muslim sejak 1997 agar sentiasa relevan.
Mengulas lanjut, Mohd. Na’im berkata, dalam usaha pengekalan perkahwinan sehingga ke akhir hayat, enakmen keluarga Islam di setiap negeri juga ada prosedur lebih baik.
“Ini termasuk kalau ada permohonan cerai, maka jawatankuasa pendamai akan dibentuk mahkamah syariah bagi ajak pasangan berkenaan agar boleh berdamai semula,” katanya.
Jika sebab kecil sahaja mahu bercerai, mungkin pasangan boleh jumpa pakar untuk kaunseling rumah tangga.