“Aku terlalu kejar ilmu dunia sampai aku jauh daripada tuhan, aku persoal kenapa aku diuji sebegini

Oleh DAHLIA MARZUKI

Ramai terlalu kejar ilmu dunia sampai lupa saham akhirat dan akhirnya diri terus lalai dengan nikmat yang dipersoal.

Seorang wanita berkongsi bagaimana kehidupannya berubah 360 darjah selepas memahami apa itu Islam.

Di bawah adalah perkongsian wanita tersebut.

“Aku terlalu kejar ilmu dunia sampai aku jauh daripada tuhan, aku persoal kenapa aku diuji sebegini

Assalamualaikum wbt, nama aku Muja. Aku nak cerita apa yang aku rasa, hampir 100 peratus manusia akan terfikir dan tertanya-tanya benda yang sama.

Di mana, aku dapat jawapan kepada persoalan ni melalui cara yang paling menyedarkan aku.

Tapi bagi aku sangat berbaloi. Apakah persoalan tu, dan apakah jawapannya, jom baca dulu cerita aku ni.

Cerita aku ni panjang sikit, harap semua orang baca dengan sabar. Semoga bermanfaat. Aku ni berasal daripada keluarga yang sederhana susah.

Agak susah sebenarnya sebab mak ayah aku ni dah tua. Dari kecil aku selalu tolong mak aku pegi kebun, petik tanaman, jual sayur ke pasar dan kadang-kadang aku tolong mak aku jual nasi pagi-pagi.

Kiranya aku memang dapat rasa sekalilah kepenatan ibu aku cari duit.

Membesar dalam keadaan macam ni, dari kecil aku selalu bercita-cita untuk ubah nasib keluarga.

Aku nak bagi duit yang banyak dekat mak ayah aku. Nak suruh mereka rehat, jadi aku ni selalu bersungguh-sungguh dalam studi aku.

Kawan-kawan aku, mak ayah mereka hantar tuisyen, mak ayah aku tak mampu hantar aku ke tuisyen, tapi aku memang berusaha semampu mungkin untuk skor dalam peperiksaan.

Alhamdulillah, Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) aku straight A’s.

Bila masuk tingkatan 5, aku memang belajar gila-gila, sebab pernah suatu petang, aku cakap kat mak aku “Mak, orang janji mak, lepas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) orang nak dapat biasiswa, orang tak nak susahkan mak lagi”.

Setiap malam aku nangis aku doa kat Allah swt supaya bagi aku biasiswa. Aku tak minta straight A’s, tapi aku mintak biasiwa.

Pelik, tapi biasiswa tu lebih penting daripada keputusan aku tu. Doa aku, aku tak kisah belajar apa pun asalkan aku dapat biasiswa.

Tibalah keputusan SPM, aku dapat 8A 1B. Aku pun mulalah minta semua biasiswa yang wujud.

Aku dah janji nak dapat biasiswa, tapi mereka pula yang terpaksa tanggung aku lagi lepas SPM. Aku lalui hidup aku sehari-hari dengan rasa bersalah yang amat.

Aku terlampau berjimat sampaikan, aku hanya makan sekali sehari iaitu waktu tengah hari sahaja.

Pagi aku berlapar, dan masuk tengah hari, aku akan ambil nasi putih banyak-banyak, bersama kuah sahaja.

Aku gunakan RM1 sehari untuk makanan. Kadang-kadang RM1.20. Malam aku berlapar balik. Aku jimat sampai sabun basuh baju aku ialah sabun yang sama aku buat mandi. Sabun ketul tu.

Kadang-kadang rakan bilik aku tak habis makan, aku makan lebihan makanan dia. Berat badan aku turun mendadak.

Buku-buku mahal yang digunakan dalam kelas, aku tak beli. Tapi aku fotostat je muka surat yang pensyarah akan guna.

Rakan-rakan yang belajar sama dengan aku kebanyak mempunyai biasiswa, sudahlah kaya, pandai pula bukan macam aku.

Bermulalah episod hidup aku yang aku mula rasa tertekan. Aku mula bandingkan diri aku dengan orang lain.

Kenapa orang lain tak sesusah aku? Kenapa orang lain tak perlu susah payah macam aku. Sudahlah tak pandai miskin pulak tu.

Aku menangis je setiap malam menghadapi kesusahan ni. Tiba-tba satu hujung minggu tu, roommate (rakan bilik) aku ajak pergi satu program.

Dia cakap ada makan percuma. Disebabkan aku ni hari minggu asyik makan nasi dengan kuah je, aku jadi teruja nak pergi makan secara percuma.

Yelah dah lama tak rasa lauk. Sampai kat tempat program tu ada sharing rupanya, macam halaqah la.

Aku layankan jelah walaupun masa tu aku pakai seluar ketat, baju pendek, shawl lilit. Tiba-tiba kakak yang bagi motivasi tu, dia cakap pasal tujuan hidup.

Aku macam terkejut. Sebab itulah persolan yang bermain dalam fikiran aku sepanjang minggu tu.

“Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan agar mereka beribadah kepada-Ku” (Al-Dhariyat:56).

Masa aku dengar ayat tu, aku macam tak faham. Ibadah macam mana? Sebab aku solat je. Yelah, qiamulail lagi.

Tapi kenapa aku masih rasa tak kena dengan keadaan? Kemudian kakak tu cakap, ibadah yang dimaksudkan dalam ayat tu ialah ‘memperhambakan diri’-abid.

Maksudnya apa-apa pun yang aku buat dalam hidup ni, aku kena buat kerana Allah swt, sebab aku ni hamba Dia.

Tak kisah benda tu belajar ke, kerja ke. Aku tak boleh letakkan duit sebagai matlamat. Duit tu hanyalah alat untuk aku jadi hamba Allah.

Aku tak boleh usaha dalam pelajaran, tanpa menghiraukan ilmu agama yang sepatutnya aku luangkan masa juga untuk mendalaminya.

Dan sama jugalah pakaian aku, percakapan aku, semuanya aku kena buat sebagai seorang hamba.

Kalau Allah tak suka aku pakai tak menutup aurat, jadi aku kena tutup aurat sebab aku ni hamba.

Kalau Allah suruh aku jangan mengumpat, aku tak boleh mengumpat sebab aku ni hamba yang sentiasa diawasi Allah swt.

Pastu kakak tu tambah lagi, “apa beza Islam dengan islam?” Erm. mestilah huruf depan kan. Huruf besar dan kecil.

Pertama kali aku tengok orang eja islam dengan huruf I kecik. Rupa-upanya. Bezanya ialah Islam ialah kata nama dan islam ialah kata kerja.

Dan menjadi abid(hamba) kepada Allah swt tu ialah dengan islam atas kata kerja bukan nama saja islam tapi pakaian, percakapan, apa yang kita baca, tonton tak islam!

Patutlah aku rasa kosong. Sebab aku tak memenuhi tujuan aku ni diciptakan iaitu menjadi hamba Allah, dengan ‘mengerjakan’ perbuatan islam, bukan pinjam saja perkataan islam di kad pengenalan.

Allah berfirman dalam surah Al-Baqarah ayat 208; “Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah ke dalam islam secara KESELURUHANNYA (kaffah) dan janganlah kamu ikuti langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya, dia ialah musuh yang nyata bagimu”.

Faham tak, Allah swt suruh masuk islam secara keseluruhan. Macam masa hujan, kalau kau tak nak basah, kau masuk satu badan dalam rumah, tak kan kau hulur kaki je untuk berteduh.

Jadi konsep islam tu macam ni, kalau kau tak masuk islam secara total, fizikally dan dari hati, kau mesti tengah ikut langkah syaitan!

Bila aku faham yang hidup aku ni untuk memperhambakan diri pada Allah swt semata, baru lah aku faham yang selama ni, aku jadi tertekan dan rasa Allah swt tu tak adil sebab aku meletakkan study dan kaya tu jadi matlamat hidup.

Dan Allah makbulkan doa aku bila aku ditaja sepenuhnya sampai ke Master. Maknanya aku dapat tajaan penuh selama tujuh tahun termasuk belajar di luar negara.

Aku tak pernah menyesal Allah swt bagi aku tiga bulan yang buatkan aku mencari balik erti kehidupan ini.

Walaupun susah, tiga bulan tu buatkan aku lebih ‘hidup’. Terima kasih pada kakak yang bagi aku makan percuma, dan yang sedarkan aku.

Kakak tu seorang doktor graduan United Kingdom. Aku tak tahu apa namanya.

Kini, aku tengah menyambung phd di universiti tempatan dan aku aktif dengan program -program kerohanian.

Aku nak jadi pensyarah sebab aku nak bagitau anak didik aku tentang tujuan hidup yang sebenar ni.

Kadangkala kita merasa susah kerana merasa diri sudah hilang arah tujuan sedangkan setiap kesilapan kita adalah untuk mendekatkan kembali diri kepada Pencipta.

BACA: Ramai tak sangka rupanya ini kisah sebenar bagaimana mesin ATM bermula