Di Malaysia, aplikasi Waze dan Google Maps merupakan dua daripada aplikasi navigasi popular rakyat Malaysia yang boleh dimuat turun dan digunakan secara percuma.
Lebih menarik, selain menunjukkan arah perjalanan, kedua-dua aplikasi ini berupaya menunjukkan keadaan trafik semasa kepada pengguna.
Bagaimanakah aplikasi-aplikasi ini mengumpulkan data keadaan trafik semasa di sesuatu jalan?
Semuanya daripada informasi yang “diberi” oleh pengguna sendiri. Perkara ini pernah kami tulis satu ketika dahulu dalam artikel Bagaimana Google Maps Mengetahui Keadaan Lalu-Lintas Dengan Tepat?.
Pada aplikasi Google Mapps, untuk keadaan trafik yang lancar, kebiasaannya warna hijau digunakan. Bagi jalan yang sesak pula, warna merah digunakan. Persoalannya, seberapa tepatkah keadaan lalu-linta yang diberikan? Adakah maklumat ini boleh dimanipulasi?
Eksperimen daripada seorang pengkarya
Artis Simon Weckert berjalan di jalan raya di Berlin sambil menarik troli merah di belakangnya. Ke mana sahaja beliau pergi, peta dalam aplikasi Google Maps akan menunjukkan kesesakan lalu lintas yang sesak.
Akibat daripada tindakannya ini, pengguna aplikasi Google Maps akan melihat garis merah tebal yang menunjukkan kesesakan di jalan tersebut walaupun realitinya tidak ada kesesakan lalu lintas sama sekali.
Bagaimanakah keadaan ini berlaku? Setiap telefon pintar (berjumlah 99buah kesemuanya) yang diletakkan dalam troli itu akan dibuka aplikasi Google Maps, menghasilkan ilusi seolah-olah terdapat 99 buah kenderaan (pengguna) yang menggunakan jalan tersebut.
Dengan membuat tindakan ini, beliau berjaya menghasilkan trafik ilusi yang seterusnya mempengaruhi kenderaan lain untuk mengelakkan daripada menggunakan laluan tersebut. Hal ini disebabkan oleh algoritma Google Maps yang akan membuat penukaran laluan navigasi sekiranya jalan sedia ada terlalu sesak.
Ironinya, tindakannya ini seterusnya telah mengakibabkan kesesakan sebenar di laluan lain pula memandangkan pemandu akan mengelakkan menggunakan laluan tersebut dan menggunakan laluan alternatif.
Bukan berniat jahat
Mungkin ada antara pembaca menyangka bahawa ini merupakan satu lagi prank yang akan menyusahkan orang ramai bukan?
Tidak! Simon Weckert dalam satu temuramah menyatakan bahawa tindakannya ini bukanlah untuk memanipulasi sistem navigasi dalam aplikasi Google Maps, sebaliknya untuk membuat orang ramai berfikir mengenai ruang yang begitu banyak kita berikan untuk kenderaan persendirian.
Selain itu, beliau ingin orang ramai berfikir mengenai kemungkinan-kemungkinan yang boleh terjadi pada teknologi-teknologi yang kita sentiasa bergantung harap.
Untuk melakukan eksperimen ini, Simon Weckert menyewa 99 telefon pintar (kesemuanya peranti Android) dan membeli 99 kad sim untuknya secara dalam talian. Beliau akan menghabiskan satu atau dua jam di setiap tempat, berjalan kehadapan dan belakang secara berulang-ulang di jalan untuk membuat ilusi kesesakan lalu lintas.
Persepsi lain mengenai data
“Peta itu bukan wilayah/kawasan… tetapi versi lain dunia realiti”, katanya memetik kata-kata ahli semantik Alfred Korzybski. Eksperimen ini juga ingin membuka matka orang ramamai mengenai data.
Gambar, senarai, grafik dan peta yang mewakili data tersebut semuanya adalah tafsiran dan tidak ada yang disebut sebagai data neutral. Data selalu dikumpulkan untuk tujuan tertentu, oleh sekumpulan orang, teknologi, wang, perdagangan dan kerajaan untuk diterjemahkan kepada apa yang mungkin disampaikan.
Peta-peta itu adalah wilayah mereka sendiri, realiti objektif mereka sendiri dan bukan hanya mencerminkan dunia nyata tetapi cabang daripadanya. Simon Weckert menunjukkan kepada kita semua bagaimana data dan peta dapat mempengaruhi dunia yang ingin mereka buat.
Data tidak objektif dan peta itu sendiri mempunyai bias atau berat sebelah, dapat digodam dan dimanipulasi. Kebanyakan kita terlalu fokus pada data untuk melihatnya sebagai objektif dan bebas tafsiran. Akibatnya, kita sering mengabaikan proses untuk mendapatkan data tersebut dan andaian bahawa data tersebut menggambarkan perkara sebenar yang berlaku.
Walau bagaimanapun, eksperimen ini juga tidak lari daripada kontroversi. Sekiranya aliran trafik ini begitu mudah dimanipulasi oleh seorang individu, adakah terdapat kemungkinan ia disalahgunakan oleh penjenayah untuk merancan perkkara tidak baik?