Saintis temui lantai laut ‘bocor’ macam air paip lupa nak tutup, ini puncanya

Oleh MOHD FAHMI MUSTAQIM

Satu fenomena seakan lubang atau lantai laut ‘bocor’ yang mengeluarkan kandungan cecair ditemui pada dasar laut, berdekatan Oregon, Amerika Syarikat baru-baru ini.

Ia ditemui oleh penyelidik daripada Universiti Washington dan melaporkan kejadian tersebut menerusi satu kenyataan.

Menurut kenyataan itu, pengkaji menemui lubang tersebut di kawasan dikenali sebagai Zon Subduksi Cascadia.

Saintis temui lantai laut 'bocor' macam air paip lupa nak tutup, ini puncanya

Katanya, penemuan tersebut berkemungkinan mampu memberikan pemahaman lebih baik kepada penyelidik berkenaan aktiviti seismik di kawasan tersebut.

Memetik Futurism, lubang berkenaan dinamakan sebagai ‘Pythias’ Oasis’ bersempena nama seorang pawang yang membuat ramalan ketika duduk di atas mata air panas.

Sebelum ini, para saintis telah zon tersebut yang kaya dengan mineral serta rendah kandungan garam di dasar lautan di timur laut Lautan Pasifik pada 2015.

Kini, berdasarkan kajian saitifik yang dikeluarkan baru-baru ini dalam jurnal Science Advances, para pengkaji mencadangkan bahawa kandungan air tawar yang bocor itu berkemungkinan sejenis pelincir plat tektonik.

Tanpa kehadiran pelincir terbabit, plat tersebut mungkin dalam keadaan bahaya dan bergerak dalam keadaan tidak selamat.

Menurut Futurism, mata air misteri itu telah ditemui ketika para saintis menjalankan tinjauan berdekatan persisiran pantai. Ketika itu, mereka mengesan sesuatu yang ganjil pada sonar mereka.

“Buih-buih dikesan pada kedudukan kira-kira tiga per empat batu (1.2 kilometer, km) di bawah permukaan air,” tulis kenyataan media.

Saat-saat ‘lubang’ bocor ditemui di dasar laut

Dengan menggunakan robot peneroka dasar laut, pasukan tersebut mendapati buih-buih tersebut hanyalah cecair panas yang muncul dari sedimen dasar laut.

Walau bagaimanapun, mereka menyedari bahawa itu bukanlah buih-buih yang biasa dihasilkan oleh gas metana. Sebaliknya, ia mengeluarkan air seperti paip dari dasar laut.

”Mereka meneroka ke arah itu dan mendapati ia bukan gelembung metana seperti kebiasaan, tetapi air yang keluar dari dasar laut seperti paip.

“Saya tidak pernah melihat perkara tersebut dan ia tidak pernah dikaji sebelum ini, berdasarkan pengamatan saya,” kata Evan Solomon.

Solomon merupakan seorang profesor dalam bidang oseanografi dan geologi dasar laut di Universiti Washington.

Selepas diteliti, para pengkaji mendapati cecair tersebut datang dari tujahan mega Cascadia, yang mana suhu dianggarkan sekitar 150 hingga 250 darjah Celsius.

“Kehilangan bendalir daripada zon tujahan mega menerusi sesar gelinciran ini merupakan perkara yang penting.

“Hal ini kerana, ia merendahkan tekanan bendalir antara zarah sedimen dan seterusnya meningkatkan geseran antara plat lautan dan benua,” kata kenyataan itu lagi.

Menurut Solomon, ini merupakan kali pertama fenomena sedemikian ditemui. Bagaimanapun, mereka tidak menafikan mungkin terdapat ‘kebocoran’ yang sama di lokasi berdekatan yang belum ditemui.

BACA: Tom dedah apa yang terjadi selepas hilang beberapa hari disorok bunian