Lelaki berusia 71 tahun dari wilayah Tocantins, Brazil, sebenarnya masih hidup biarpun secara rasmi dilaporkan mati, sejak 28 tahun lalu.
Oddity Central melaporkan, Manoel Marciano da Silva disahkan meninggal dunia pada 1995, berdasarkan keterangan bekas isteri dan dua saksinya.
Manoel hanya dapat membatalkan sijil kematiannya pada 16 Ogos lalu selepas prosiding di mahkamah yang memakan masa dua tahun.
Menurut pihak berkuasa Brazil, Manoel dilaporkan meninggal dunia dan sudah ‘dikebumikan’ di tanah perkuburan awam Augustinopolis di Tocantins, selama 28 tahun.
Status kematiannya itu menyebabkan Manoel berdepan kesulitan hidup apabila tidak dapat menerima pencen dan akses kepada penjagaan kesihatan percuma.
Ketika itulah dia mula menyiasat ‘kematiannya’ dan mengetahui bahawa bekas isterinya dan dua saksi mengisytiharkannya meninggal dunia kepada pihak berkuasa.
Tidak jelas mengapa bekas isteri mengisytiharkan Manoel meninggal dunia pada 1995, namun lelaki itu mendakwa dia hanya mengetahui perkara itu pada 2012.
Ia selepas Manoel mahu mengundi dalam pilihan raya tempatan dan dimaklumkan namanya tiada dalam senarai serta disahkan sudah meninggal dunia
Ketika itu, dia tidak begitu mengambil berat mengenainya, namun sehingga sejak beberapa tahun kebelakangan ini, status sebagai orang sudah mati mula menjejaskan hidupnya.
Dia bukan hanya gagal menerima pencen, malah tidak dapat membuat janji temu perubatan.
Bagi memperjuangkan haknya, Manoel nekad melantik peguam untuk membatalkan sijil kematian dan mendapatkan sijil kelahiran baharu.
Ujian papilloscopic cap jarinya membantu membuktikan bahawa dia masih hidup, tetapi dia pada masa itu memerlukan beberapa saksi untuk mengesahkan bahawa dia sebenarnya tidak mati.
Hanya selepas itu, dia ‘kembali hidup’ selepas sijil kematiannya itu terbatal.