PELAKON Azhan Rani mendedahkan dirinya masih belum terfikir untuk menamatkan zaman bujang meskipun usianya hampir mencecah 50 tahun.
Menurut Azhan, fokusnya ketika ini hanyalah untuk menjaga ibunya yang sedang uzur selain turut sibuk dengan kerjaya seni.
“Saya tak pernah fikir pun soal jodoh ini. Antara sebabnya adalah kerana saya fokus pada komitmen kerjaya dan saya menjaga ibu yang sedang uzur.
“Bila saya tiada komitmen keluarga sendiri, saya ada banyak masa untuk menjalankan tanggungjawab pada ibu berbanding adik-beradik lain yang sudah berkeluarga.
“Saya tak nak kata itu satu pengorbanan kerana ia merupakan tanggungjawab,” katanya kepada MH.
Azhan berkata sedemikian ketika ditemui pada tayangan perdana filem “Tebus the Movie” yang berlangsung di GSC, The Starling Mall, Petaling Jaya pada Rabu.
Pada masa sama, pelakon berusia 47 tahun ini juga akui tidak kisah untuk berhadapan dengan orang di sekeliling yang kerap bertanyakan tentang jodohnya.
“Saya meraikan sahaja pertanyaan mereka kerana saya faham mereka cuma prihatin terhadap diri saya.
“Saya tak sunyi pun. Saya ada banyak aktiviti yang boleh dilakukan. Saya ada kucing dan ibu yang menemani hari-hari saya,” ulasnya lagi.
Dalam pada itu, Azhan turut mendedahkan dirinya ada menerima beberapa mesej di media sosial daripada wanita-wanita yang mahu berkenalan dan ada juga yang mahu mengajaknya untuk terus berkahwin.
“Kalau saya bagitahu, bunyinya macam angkuh pula nanti. Memang ada juga yang hantar mesej di sosial media ajak berkenalan.
“Tapi ketika ini, saya takut juga sebab ada yang terus ajak berkahwin padahal saya tak kenal pun. Fasal duit pun saya pernah kena tipu, inikan pula hal kahwin.
“Nanti bila berjumpa, gambar di media sosial lain, bila secara berhadapan lain pula. Saya pun tak tahu niatnya serius atau tidak,” katanya lagi.
Ditanya mengenai ciri-ciri wanita yang ingin dijadikan isteri, Azhan memaklumkan dia terima sahaja jodoh yang telah ditetapkan oleh Allah SWT.
“Mengenai status bakal isteri janda atau anak dara, mestilah saya kisah. Ingat saya tiada taste ke? Sebenarnya saya tak pernah fikir secara detail pun mengenai hal ini.
“Yang penting dia menerima saya dan saya menerima dia. Saya tak kisah jodoh yang macam mana. Saya pun bukan sempurna sangat.
“Soal jodoh ini, semua Allah yang tentukan. Kalau esok atau lusa saya dipertemukan jodoh, saya terima sahaja,” akhirinya.
Terdahulu, Azhan merupakan antara pelakon yang membintangi filem terbaharu “Tebus the Movie”.
Selain Azhan, filem sarat aksi ini turut membariskan pelakon-pelakon hebat seperti Aedy Ashraf, Ahirine Ahirudin dan Idan Aeden.
Tebus The Movie merupakan filem arahan pengarah, Jason Chong yang kini boleh ditonton di aplikasi penstriman, Prime Video.
BACA: Akak baju kelawar tewaskan peragut jadi perhatian, “silap orang lah kau pilih mangsa”