Sekiranya anda bergelar seorang pendidik, anda bertuah dapat menyaksikan sendiri perubahan dalam membicarakan soal cita-cita generasi muda kita.
Jika dahulu jawatan doktor, tentera, guru, saintis, angkasawan, jurutera dan mungkin juga ahli politik menjadi impian kanak-kanak
, kini ramai memasang visi mahu menjadi Youtuber, Tiktoker, content creator juga influencer, bentuk ‘pekerjaan’ menerusi internet yang sudah menjadi sebutan ramai.
Dilihat jalan mudah menjana pendapatan, fenomena ini walaupun ada aspek positif, turut membawa banyak isu yang boleh timbul kemudian hari dek salah tanggapan generasi muda ‘mudahnya’ untuk berjaya dalam aliran sebegini.
Berikut adalah lima sisi hitam menjadi seorang content creator berdasarkan pengalaman kami…yang sudah lama bergelar content creator sepenuh masa.
1. ‘Create content’ ni susah
Ramai melihat dengan perkembangan teknologi, penciptaan karyadigital sudah jadi sesuatu yang mudah. Memang benar teknologinya lebih mudah…tetapi prosesnya tetap sama.
Anda masih perlu melakar atau merangka dahulu idea asal, menerapkannya agar selari dengan isi kandungan yang mahu disampaikan. Keperluan untuk mereka skrip atau draf secara kasar perlu sebagai panduan. Dah siap, perlu dijalankan pula proses menyiapkannya.
Dah selesai penggambaran kalau buat video yang akan memakan masa beberapa jam atau hari, tiba masa anda kena menghadap komputer atau telefon pintar, menyunting dan menyatukan isi kandungan dalam bentuk video, teks, animasi dan sebagainya.
Semua ini memerlukan ketekunan panjang dan tidak ramai sedar, hasil anda yang dibuat berjam-jam lamanya itu mungkin hanya akan ditonton selama 5 saat saja oleh penonton yang membuka kandungannya.
Yang tak minat langsung nak tonton atau baca pun, perkara biasa.
2. Anda akan ‘burnout’
Sekiranya anda merasakan anda larat untuk menjalankan produksi penciptaan karya secara konsisten, tahniahlah. Tetapi harus kami nyatakan, dugaan besar yang bakal menanti anda…penjanaan idea secara konsisten.
Sebagai penonton atau pembaca, kita nampak hasil dah siap.
Realitinya perkara paling sukar dalam menjadi seorang content creator adalah penjanaan idea, sering dilabelkan sebagai writer’s block atau creator’s block. Nak dapat idea ni satu perkara yang sukar.
Akan ada masa di mana kita kering idea dan bila kita kosong, akan berlakulah proses kelesuan atau burnout yang membuatkan kita rasa semua benda tak kena.
Dalam tahap ekstrim bilamana seseorang pencipta kandungan tidak ada idea, penat bekerja menghasilkan karya tetapi tetap mahu memastikan ada karya baru dimuat naik, dia akan jadi sangat tertekan.
Situasi tertekan itulah yang mampu mengakibatkan ramai content creator memilih jalan keluar, dalam pelbagai cara berbeza yang tak mahu kami sebutkan di sini.
3. Nak ‘income’? Good luck
Jadi content creator ni mudah jana wang? Hahaha!
Dalam media sosial, kita sering dijaja kejayaan pencipta kandungan yang hidup mewah kerana bergiat sebagai influencer tetapi peratusan yang sampai ke tahap ini sangat rendah, berbanding dengan jumlah pencipta kandungan yang ada.
Tidak dapat kami nafikan memang ada di kalangan rakyat Malaysia sendiri berjaya tetapi anda ukurlah sendiri berapa lama mereka kekal berjaya?
Sekali meletup, kayalah dia sekejap. Dua tiga bulan berikutnya sendu. Masuk bulan ke empat orang ramai dah lupa siapa dia. Ramai content creator takut masalah ini menimpa mereka.
Jadi mereka pun buat sesuatu yang sebenarnya lebih banyak memberi masalah kepada mereka sendiri iaitu…
4. Pace yang perlu anda kejar terlalu laju
Algoritma media sosial baik direka supaya seseorang pencipta kandungan aktif setiap hari tanpa leka.
Keperluan untuk memenuhi syarat ini menyebabkan ramai content creator, termasuklah nama-nama besar di dunia TERPAKSA mencipta kandungan setiap hari agar algoritma yang bekerja di belakang tabir, terus konsisten mengangkat populariti mereka.
Bila pencipta kandungan merasakan mereka perlu berkarya setiap hari, minat asal seseorang pencipta kandungan akan beralih. Daripada berkongsi minat, dia akhirnya akan memuatnaik apa saja yang ada dalam kepala.
Kualiti karya akan menjunam.
Bermula daripada berkongsi sesuatu yang baik dan informatif, ramai pencipta kandungan akhirnya memilih jalan mudah melakukan benda-benda tak berfaedah seperti strim main game, menari, merungut di depan kamera, buat benda bodoh dan sebagainya.
Idea senang, nak buat senang, kerja semua senang. Semuanya demi kekal relevan.
5. Anda kena terbuka untuk dikecam
Di dalam dunia maya, sesiapa saja boleh dikecam.
Kecaman dan kritikan sudah jadi satu bentuk komunikasi di kalangan pengguna media sosial. Kami tidak tahu kenapa jalan itu yang kita pilih. Mungkin kerana media sosial memberikan kita ruang untuk benar-benar melampiaskan nafsu amarah dan kebencian yang ada dalam hati kita tanpa risiko?
Nak jadi content creator? Kena bersedia dikecam, walaupun niat anda baik dan karya anda murni-murni saja.
Kami pun dah banyak kali rasa kena kecam, kerana pembaca kami datang dari pelbagai lapisan masyarakat dan semua orang mempunyai pandangan serta perspektif yang berlainan rupa.
Anehnya, oleh kerana kecaman dan kritikan sudah jadi bahan dagangan yang berharga dalam ruang maya content creator, semakin ramai melihat kecaman yang diterima sebagai bad publicity yang berfaedah kepada mereka untuk menaikkan nama.
Berapa ramai content creator baru berjaya menaikkan nama mereka menggunakan bad publicity? Ramai. Tapi adakah mereka peduli dengan kecaman anda? Tidak.
BACA: Patutlah minum air sejuk rasa lagi sedap dari air panas, ramai orang baru terfikir sebabnya