Kecoh air pasang di Pulau Pinang tiba-tiba berwarna merah, sekali Jabatan Perikanan buka rahsia

Oleh DAHLIA MARZUKI

Jabatan Perikanan Pulau Pinang akan terus mengambil sampel secara berkala bagi memantau kepadatan alga

spesies Noctiluca Scintillans yang hadir di perairan Teluk Bahang sehingga menyebabkan berlaku air pasang merah beberapa hari lalu.

Jabatan Perikatan Pulau Pinang berkata, sampel air tersebut akan terus diambil sehingga ia mencapai paras yang selamat.

Kecoh air pasang di Pulau Pinang tiba-tiba berwarna merah, sekali Jabatan Perikanan buka rahsia

Menurutnya, keputusan awal analisis yang dijalankan oleh Institut Penyelidikan Perikanan Batu Maung mendapati alga tersebut jenis bukan toksin iaitu spesis Noctiluca Scintillans dan tidak berbahaya kepada manusia.

“Walau pun ia bukan toksin, kepadatan sel fitoplankton ini sangat tinggi iaitu antara 1 hingga 5 juta sel/liter yang menyebabkan berlaku ledakan alga di perairan ini.

Kepadatan sel fitoplankton yang tinggi boleh menyebabkan kematian ikan terutamanya ikan dalam sangkar akibat penurunan oksigen terlarut dan alga juga telah meliputi insang dan membuatkan ikan tidak mendapat oksigen.

“Untuk rekod, pada tahun 2016, Noctiluca Scintillans ini pernah menyebabkan ledakan yang menjadikan air laut menjadi merah jambu di Kuala Gula, Perak dan mengakibatkan ikan dalam sangkar mati,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Kata Jabatan Perikanan Pulau Pinang lagi, beberapa botol sampel air telah diambil sebanyak dua kali iaitu pada jam 10 pagi dan 1 petang pada 27 Ogos lalu untuk dihantar ke Institut Penyelidikan Perikanan (IPP) Batu Maung bagi analisis fitoplankton.

“Berdasarkan kepada pemerhatian ‘in-situ’, air merah sudah tidak kelihatan pada jam 3 petang dan berkemungkinan telah hanyut semula ke tengah laut. Kita juga telah menghubungi penternak sangkar di Teluk Bahang selepas dimaklumkan kematian ikan akibat air pasang merah.

“Menurut salah seorang penternak, Hing Moh Yok terdapat kehadiran air merah dalam kuantiti yang banyak pada pagi 28 Ogos 2023. Bagaimanapun, ia mula pecah seterusnya hilang pada jam 9.30 pagi. Hal ini juga telah menyebabkan kematian ikan berterusan di kawasan tersebut,” katanya.

Tambah Jabatan Perikanan Pulau Pinang, sebanyak 15 tan metrik ikan di sangkar milik Moh Yok mati menyebabkan dia mengalami kerugian berjumlah RM500,000.

“Dia telah cuba menyelamatkan ternakan melalui cara menuai hasil segera dan meningkatkan paras oksigen melalui semburan air ke dalam sangkar namun gagal. Antara spesis ikan yang terlibat ialah kerapu, nyok-nyok dan siakap yang kebanyakannya telah mencapai saiz untuk dijual di pasaran.

“Kita juga mencadangkan beberapa langkah mitigasi kepada penternak sangkar ikan seperti perlu tuai segera semua ikan yang bersaiz pasaran jika ada tanda-tanda ikan lemas atau mati, kurangkan kepadatan ikan dalam sangkar dengan pindahkan ke sangkar lain, pantau kandungan oksigen terlarut dan tambah pengudaraan kepada ikan untuk menyelamatkan ikan ternakan yang masih hidup bagi mengelakkan pertambahan kerugian yang dialami oleh penternak,” katanya.

Pada Selasa, Exco Agroteknologi & Keterjaminan Makanan Dan Pembangunan Koperasi, Fahmi Zainol bersama Pengarah Perikanan Pulau Pinang, Zarina Zainuddin dan Pegawai Penyelidik Institut Penyelidikan Perikanan, Dr Mohd Nor Azman Ayub mengadakan lawatan ke lokasi bagi melihat sendiri keadaan air merah dan kesan terhadap penternak ikan sangkar.

Sebelum ini, nelayan-nelayan di sekitar kawasan Teluk Bahang sehingga ke Sungai Pinang di Balik Pulau, di sini bimbang dengan fenomena yang didakwa sebagai air pasang merah melanda kawasan berkenaan sejak dua hari lalu.

Nelayan setempat mendakwa air pasang merah itu yang mengakibatkan ikan serta hidupan laut mati berlaku bermula kira-kira 1 kilometer iaitu di kawasan Muka Head sehingga ke kawasan pesisir pantai di sekitar Teluk Bahang.

Kejadian sama turut dikesan di kawasan Sungai Pinang, di Balik Pulau dan ia turut mengakibatkan ikan timbul dipermukaan lalu mati.

Pengarah Pusat Kajian Samudera dan Pantai (CEMACS), Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Datuk Dr Aileen Tan berkata, kejadian itu boleh dianggap sebagai air pasang merah (red tide bloom) dan ia berpunca daripada sejenis plankton yang dikenali Dinoflagellate, Noctiluca Scintillans.

BACA: Ingatkan ada kisah Abang Tesla, sekali lain pula kisah Akak Tesla buat ramai kagum