Mayat tinggal cebisan, KKM perlukan masa untuk proses pengecaman mangsa nahas
ADA mayat mangsa nahas pesawat jenis Beechcraft Model 390 (Premier 1) yang terhempas di Lebuhraya Guthrie
Berdekatan Bandar Elmina, di Shah Alam, Selangor pada petang Khamis masih boleh dikenal pasti identitinya, kata Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa.
Bagaimanapun, Dr Zaliha berkata, berdasarkan laporan awal daripada pasukan Kementerian Kesihatan (KKM) di lapangan, pasukan itu memerlukan masa untuk proses pengecaman awal bagi beberapa mayat berikutan keadaannya yang tidak sempurna berikutan impak daripada nahas itu.
“Laporan kita terima di lapangan, ada jasad atau jenazah yang boleh dicam dan dalam keadaan tidak terjejas …ada yang perlukan masa…kita dengar ada cebisan (mayat) tetapi tidak pasti,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meluangkan masa bersama keluarga mangsa nahas pesawat berkenaan di pekarangan Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang, Selangor pada malam Khamis.
Dr Zaliha berkata, seramai 20 hingga 30 petugas KKM ditugaskan di Jabatan Forensik HTAR bagi proses bedah siasat serta pengecaman mayat.
Ditanya berhubung berapa lama jangkaan proses pengecaman akan mengambil masa, Dr Zaliha berkata, ia bergantung kepada keadaan mayat yang akan diterima pasukan forensik.
“Perkara pertama yang dilakukan apabila mayat sampai adalah proses pengecaman awal diikuti bedah siasat dan setelah selesai, barulah mayat diserahkan kepada ahli keluarga.
“Kita tidak pasti berapa lama masa akan diambil, namun kita akan cuba selesaikannya secepat mungkin supaya keluarga dapat membawa mayat mangsa untuk pengurusan pengebumian,” katanya.
Dalam masa sama, beliau berkata, KKM akan menyediakan bantuan daripada Jabatan Psikiatri KKM untuk memberi sokongan moral serta bantuan psikososial kepada keluarga mangsa.
Terdahulu, Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pelangai Datuk Seri Johari Harun antara yang berada dalam senarai penumpang pesawat jenis Beechcraft Model 390 (Premier 1) yang terhempas di Lebuhraya Guthrie berdekatan Bandar Elmina, di Shah Alam, kira-kira pukul 2.50 petang.
Katanya, turut tersenarai adalah dua juruterbang, Shahrul Kamal Roslan dan Heikal Aras Abdul Azim serta lima penumpang lain Kharil Azwan Jamaludin, Shaharul Amir Omar, Mohd Naim Fawwaz Mohamed Muaidi, Muhammad Taufiq Mohd Zaki dan Idris Abdol Talib.
Bagaimanapun, menurut Anthony, identiti dua lagi orang awam, masing-masing penunggang motosikal dan pemandu kereta yang terlibat dalam insiden itu akan disahkan melalui siasatan polis.
BACA: Menteri Besar Kelantan ada gelaran ‘Dato Panglima Perang’, betul ke dulu dia Panglima Perang?