Pernah tak terfikir? Mana datang nama ‘Roti John’ sebenarnya, ini sejarahnya

Oleh MOHD FAHMI MUSTAQIM

Pernah tak terfikir? Mana datang nama ‘Roti John’ sebenarnya, ini sejarahnya

Setiap kali menjelang bulan Ramadan, menu roti john boleh dikatakan antara menu wajib yang perlu ada untuk juadah berbuka puasa.

Roti john dengan bahan utama roti panjang ini disukai masyarakat setempat kerana ianya sangat mudah untuk dimasak

Pernah tak terfikir? Mana datang nama 'Roti John' sebenarnya, ini sejarahnya

Dan tidak mengambil masa yang lama untuk pembeli beratur atau menunggu untuk makanan ini disiapkan.

Terdapat pelbagai pendapat dan versi mengenai asal usul makanan ini. Antaranya adalah, roti john dikatakan mendapat gelaran ‘john’ kerana ianya merujuk kepada seorang lelaki ‘orang putih’ atau ‘Mat Salleh’.

Ini kerana, masyarakat pada zaman dahulu sukar untuk menyebut nama-nama orang putih. Disebabkan itu, cara yang paling mudah adalah dengan memanggil mereka dengan gelaran ‘john’.

Pada era 70-an dahulu, masyarakat Melayu menggelarkan tentera British sebagai ‘john’ kerana kebanyakan tentera British ini sangat gemar untuk makan kepingan roti yang disaluti dengan telur dadar dan daging cincang umpama burger ini. Maka penjual roti tersebut menggelarkan menu ini sebagai roti john.

Pendapat yang kedua mengatakan bahawa roti john adalah hasil air tangan yang diciptakan oleh seorang penjaja makanan bernama Shukor yang mempunyai gerai makan.

Di gerai tersebut, Shukor mendapat permintaan daripada tentera British yang memintanya untuk menggoreng telur dadar yang dicampurkan dengan bawang bombay dan diletakkan di antara dua kepingan roti yang menjadikan kombinasi seperti sandwic. Oleh itu, gelaran ‘john’ tersebut merujuk kepada pelanggan iaitu orang putih atau ‘Mat Salleh’ yang sering memesan hidangan unik ini.

Pendapat yang ketiga pula mengatakan bahawa roti john berasal dari salah sebuah Negeri-Negeri Selat iaitu Melaka dan Singapura. Dikatakan pada zaman Negeri-Negeri Selat, pelabuhan Melaka sering dikunjungi kelasi British yang menduduki negeri ini sejak perjanjian Inggeris Belanda 1824. Mereka ini akan datang membawa ‘roti long john’ yang menyerupai baguette tetapi lebih lembut.

‘Roti long john’ ini dikatakan berasal dari Amerika, melalui imigran Jerman yang suka makan frankfurter (sosej). Maka disebabkan pada masa itu hanya terdapat telur dadar, mereka masak seperti roti bombay (roti dicelup dengan telur), french toast gaya India popular.

Walaupun mempunyai pelbagai jenis pendapat dan versi tentang kewujudan di sebalik nama roti john ini, namun apa yang pasti hidangan ini telah menjadi menu masakan yang istimewa di Malaysia, Singapura, Brunei Darussalam malah di Indonesia.

BACA: “Sepatutnya saya jumpa dia semalam, tapi dia tak respons, tiba-tiba terima berita nahas ini” – Speaker DUN Pahang