MB Selangor Isnin cuti peristiwa jika PH-BN menang di Selangor
Menteri Besar Selangor Amirudin Shari mengumumkan cuti peristiwa pada 14 Ogos, sekiranya Pakatan Harapan-Barisan Nasional memenangi PRN esok.
“Sekiranya gabungan perpaduan menang dan membentuk kerajaan, kita setuju cuti peristiwa pada 14 Ogos, iaitu Isnin ini,” katanya menerusi amanat khas yang disiarkan di Facebook.
Adun Sungai Tua sejak 2008 itu berkata, pengundi boleh memilih antara gabungan yang akan meneruskan kejayaan, kecemerlangan dan kemajuan negeri ataupun hanya berminat menggunakan pentas PRN bagi mengucar-kacirkan negara.
Beliau turut berjanji gabungan perpaduan PH-BN akan melaksanakan lima perkara dalam “Tawaran Kita Selangor” yang diumumkan 31 Julai lalu.
“Ia termasuk menghargai wanita bekerja dengan pemberian RM1,000 kepada 5,000 wanita bagi mengurangkan kos penjagaan anak-anak, melaksanakan pengecualian cukai pintu untuk rumah kampung dan rumah kos rendah.
“Baucar buku RM200 kepada 1,000 mahasiswa Selangor, menaikkan elaun imam, bilal dan siak serta 500 petani, pesawah, nelayan akan terima insentif pertanian dan perikanan Kita Selangor berjumlah RM1,000.”
Lima janji itu antara 53 program menerusi tawaran lima tahun PH-BN kepada pengundi Selangor, termasuk pembinaan pelabuhan ketiga di Pulau Carey, perkhidmatan rel baharu, peluang kerja bernilai tinggi dan tuisyen percuma.
Pengerusi PH Selangor itu berkata, jajaran rel baharu akan dibina di Klang ke Kuala Selangor, Tanjung Karang dan Sabak Bernam, jika mereka kembali berkuasa, sekali gus menjadikan wilayah pantai barat Selangor sebagai koridor perkhidmatan rel.
“Kita sedar untuk mengangkat Selangor dan rakyatnya ke suatu harakat lebih gemilang, perlunya kerajaan yang terbukti cekal menghadapi cabaran, terbukti cekap, tangkas dan berwibawa mengemudi kerajaan negeri.”
BACA: Anwar Ibrahim bakal kemukakan cadangan kepada Agong bakal buat penyokong parti islam meloncat