Patutlah berhasrat nak tumbangkan kerajaan, rupanya bekas PM berdepan hukuman penjara
Beliau yang berkhidmat sebagai Perdana Menteri dari 2001 hingga 2006 hidup dalam buangan sejak 2008
Beliau menghabiskan sebahagian besar masanya di Dubai selepas kerajaannya digulingkan oleh rampasan kuasa tentera diketuai Jeneral Sonthi Boonyaratglin.
Bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra yang hidup dalam buangan bakal berdepan hukuman penjara 12 tahun sekembalinya ke Thailand berikutan tiga kes tertunggak.
Kepulangan Thaksin pada 10 Ogos ini diumumkan anak perempuannya, Paetongtarn Shinawatra dalam hantaran di media sosial semalam.
Paetongtarn adalah seorang daripada tiga calon Perdana Menteri dari Pheu Thai yang kini mengetuai gabungan lapan parti dalam usaha membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum 14 Mei lalu.
Thaksin, yang berkhidmat sebagai Perdana Menteri dari 2001 hingga 2006 hidup dalam buangan sejak 2008 menghabiskan sebahagian besar masanya di Dubai selepas kerajaannya digulingkan oleh rampasan kuasa tentera diketuai Jeneral Sonthi Boonyaratglin.
Tiga kes dihadapi Thaksin membabitkan projek loteri dua dan tiga digit Pejabat Loteri Kerajaan yang dikeluarkan ketika pentadbirannya, dengan beliau didapati bersalah menyalahguna kuasa dan pelanggaran etika bagi seorang perdana menteri oleh Bahagian Jenayah Mahkamah Agung bagi Pemegang Pejabat Politik.
Bagi kes itu beliau dijatuhkan hukuman penjara dua tahun.
Selain itu dakwaan pemberian pinjaman empat bilion baht kepada kerajaan Myanmar oleh Exim Bank of Thailand bagi pembelian peralatan dan perkhidmatan daripada Syarikat Shin Satellite yang mana beliau dan sekutunya adalah pemegang saham terbesar.
Beliau dijatuhkan hukuman penjara tiga tahun tanpa penggantungan oleh Mahkamah Agung.
Selain itu, atas dakwaan beliau membenarkan penama memegang saham dalam Shin Corporation bagi pihaknya untuk manfaat Advance Info Service (AIS), yang diberikan konsesi untuk mengendalikan perkhidmatan telefon mudah alih oleh Pertubuhan Telefon Thailand dan Syarikat DPC.
Kedua-dua syarikat itu bergabung dengan Shin Corporation, yang ketika itu pegangan saham terbesar dimiliki Thaksin. Beliau dijatuhi hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Agung.
Beliau juga dijatuhi hukuman penjara dua tahun tanpa kehadiran oleh Mahkamah Agung berhubung perjanjian tanah Ratchadapisek. Bagaimanapun statut had dalam kes berkenaan sudah luput.
Thaksin dibebaskan dalam dua kes lain. Pertama membabitkan Kementerian Kewangan yang mengambil alih pengurusan Syarikat TPI yang bermasalah kewangan di bawah pelan pemulihan. Kedua adalah pemberian pinjaman lebih 10 bilion baht oleh Krung Thai Bank yang dikendalikan kerajaan kepada syarikat hartanah Krisda Mahanakorn.
Satu kes masih belum selesai terhadap Thaksin membabitkan kelulusan kerajaannya untuk Thai Airways International membeli armada pesawat A340-500 dan A340-600, mengakibatkan hutang besar ditanggung oleh syarikat penerbangan negara itu.
Tuduhan terbabit dikemukakan terhadap Thaksin, bekas pengerusi THAI, Thanong Bidaya dan bekas presiden THAI, Kanok Apiradee.
Thaksin sebelum ini dikatakan sudah berhasrat untuk pulang ke tanah air sejak awal 2022.
Pada Mei tahun ini, Thaksin menyatakan beliau akan kembali ke Thailand pada Julai sebelum hari lahirnya tetapi ditangguhkan.
Beliau meninggalkan Thailand pada Ogos 2008 untuk mengelak berdepan hukuman penjara.
Mahkamah Agung menjatuhkan hukuman penjara dua tahun tanpa kehadirannya kerana menyalahgunakan kuasa.
Thaksin baru-baru ini berkata beliau berhasrat untuk kembali ke Thailand walaupun perlu menjalani hukuman penjara dan tidak mahu kerajaan mendesak diberikan pengampunan.