Tak puas hati keputusan mahkamah tak berpihak kepadanya, Zuraida nekad fail rayuan ‘elak’ bayar RM10 juta kepada PKR
Bekas naib presiden PKR, Zuraida Kamaruddin, akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi
Beliau yang diperintahkan membayar RM10 juta kerana melanggar syarat bon dengan parti itu.
Beliau juga menyifatkan tuntutan dikemukakan sebagai “tidak berasas” dan dianggap “jelas bercanggah” dengan hak rakyat menyertai dan meninggalkan sesuatu pertubuhan.
Katanya, menjadi hak rakyat untuk bersekutu atau berpisah, yang merupakan hak asasi termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Saya akan merayu keputusan ini bukan sahaja untuk saya, tetapi demi menegakkan hak penting ini yang menjadi milik semua rakyat Malaysia.
“Ini juga bertentangan dengan dasar awam dan bertentangan dengan prinsip asas demokrasi. Juga tiada justifikasi tuntutan RM10 juta,” katanya menurut Berita Harian.
Jumaat lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan saman PKR menuntut RM10 juta daripada Zuraida kerana melanggar syarat bon yang mengikat kepada parti.
Hakim Akhtar Tahir membuat keputusan itu selepas mendapati hujahan Zuraida bahawa bon itu ditandatanganinya atas alasan dipaksa adalah tidak berasas.
Mahkamah juga memerintahkan Zuraida membayar kos RM50,000 kepada PKR.
PKR memfailkan writ saman dan pernyataan tuntutan pada 28 Sept 2020 melalui Setiausaha Agungnya, Saifuddin Nasution Ismail, selaku plaintif dengan menamakan Zuraida sebagai defendan.
PKR mendakwa Zuraida bersetuju membayar parti sejumlah RM10 juta selewat-lewatnya tujuh hari sekiranya berlaku beberapa perkara selepas memenangi pilihan raya atas tiketnya, seperti meletak jawatan dalam parti, bergabung dengan pihak lain atau menjadi wakil rakyat bebas.
Pada 24 Feb 2020, Zuraida dalam kenyataan bersama 10 Ahli Parlimen PKR yang lain mengumumkan peletakan jawatan, namun beliau kekal sebagai Ahli Parlimen Ampang, iaitu kerusi yang dimenanginya atas tiket PKR dan seterusnya membentuk blok baharu dikenali Perikatan Nasional (PN).
PKR turut menuntut Zuraida membayar RM12,049,459.20 mengikut Seksyen 71 Akta Kontrak, faedah 5% setahun, kos dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.
Akhtar berkata, dakwaan Zuraida bahawa RM10 juta adalah tidak seimbang dengan jumlah yang dibelanjakan untuk pencalonan pilihan raya juga tidak berasas.
BACA: