“Mak mertua gadai gelang emas isteri aku untuk bayar bil rumah dia, malam tu jugak aku tamatkan permainan yang aku mula, puas hati aku!”

Oleh INFORAKYAT

“Mak mertua gadai gelang emas isteri aku untuk bayar bil rumah dia, malam tu jugak aku tamatkan permainan yang aku mula, puas hati aku!”

Awal perkenalan aku dengan isteri aku, aku cuma bekerja di kedai menjual telefon bimbit sahaja.

Tetapi gaji aku pada masa itu agak tinggi sebab setiap bulan aku punya total sales mencecah sehingga Rm200k sebulan.

"Mak mertua gadai gelang emas isteri aku untuk bayar bil rumah dia, malam tu jugak aku tamatkan permainan yang aku mula, puas hati aku!"

Dan komisen diberi mengikut pengiraan peratus sales revenue, insuran yang dijual, pinjaman aeon, dan servis selepas jualan.

Aku mampu capai target untuk kesemua itu pada setiap bulan lantas membolehkan aku menerima gaji dan komisen seperti itu.

Meskipun gaji aku ketika itu, aku hanya beli kereta perodua Myvi sahaja untuk memudahkan pergerakan seharian aku.

Aku masih ingat pada tanggal 17 haribulan 7 2013, isteri aku datang bersama ayah dan ibu mertua aku di kedai itu.

Rupanya sebelum ini ibu mertuaku pernah datang dan berjumpa aku dan aku ada menyerahkan borang untuk memohon kepadanya. Namun aku tidak ingat kerana banyak lagi pelanggan aku layan sebelum itu.

Isteri aku menyerahkan dokumen semua untuk aku proses. Selepas aku terima dan proses seperti biasa dan perbualan kami habis disitu.

Dalam masa 2 hari aku mendapat makluman kelulusan daripada pihak Aeon. Lantas aku memaklumkan kepada isteri aku.

Dia mengatakan bahawa dia akan datang untuk ambil telefon tersebut pada hujung minggu kerana dia bekerja pada waktu itu.

Hujung minggu isteriku datang dan mengambil telefon bimbit seperti yang dijanjikan. Isteriku memohon untuk pinjaman bagi Samsung Galaxy s4 yang pada ketika itu adalah keluaran paling terbaru.

Selepas aku menyerahkan telefon itu, isteri aku pulang ke rumahnya. Pada waktu malam aku menerima mesej daripada isteri aku yang berterima kasih kerana menguruskan hal pembeliannya. Maka bermula bibit perkenalan antara kami.

Sepanjang perkenalan kami, aku jarang untuk berjumpa dengannya kerana aku bekerja 12 jam sehari dan 6 hari seminggu.

Sebaliknya setiap hujung minggu dia akan datang ke tempat kerja aku dan menemani aku sehingga aku habis kerja. Kebiasaanya dia akan memasak untuk aku dan membawa bekalan ke tempat kerja aku untuk makan bersama.

Setelah genap 8 bulan kami berkenalan, aku berbincang dengan ayah aku untuk berkahwin dengan isteri aku.

Ayah aku bersetuju dan ingin berjumpa dengan keluarganya. Pertemuan diatur pada hujung bulan 11 nanti beserta majlis pertunangan sekali.

Punca utama aku mula dikudakan oleh keluarga mertuaku ketika aku menghantar kereta aku kepada adik ipar aku untuk diservis. Dia bekerja sebagai mekanik di pusat servis ketika itu.

Memang cara aku, segala dokumen kerja termasuk slip gaji aku aku simpankan dalam file di dalam beg di kereta aku.

Adik ipar aku buka beg case aku dan terjumpa slip gaji aku. Dia mengambil gambar slip gaji itu dan memberitahu mak ayahnya.

Isteriku mengetahui perbuatan adiknya dan memarahinya kerana tidak amanah tetapi mak dan ayahnya mempertahankan anak lelakinya itu.

Bermula daripada itu, abang sulungnya mula rapat dengan aku dan akhirnya meminjam duit kepada aku atas alasan masalah kewangan.

Aku memberinya pinjam dan sehingga sekarang masih tidak dibayar atas pelbagai alasan. Aku bukan jenis yang akan menagih hutang semula. Tetapi tidak aku halalkan setelah apa yang jadi.

Diwaktu hari pertunangan, ayah aku terkejut dengan jumlah hantaran yang diminta oleh keluarga aku. Nilai sebelum ini dipersetujui melalui perjumpaan pertama aku dengan keluarganya adalah RM15k.

Namun telah dinaikkan kepada RM25k sesuka hati mak pak diaorang. Ayah aku pertikaikan dalam majlis itu. Korang tahu lah ketegasan ayah aku macam mana kan.

Pihak mertua tidak menjawab apa apa dan tetap bertegas mengatakan bahawa anaknya telah belajar sehingga Master dan itu adalah hantaran yang wajar.

Aku memujuk ayah aku dan aku terima hantaran itu kerana kebanyakan daripada gaji aku sebelum ini memang ak simpan.

Aku cuma ambil RM2k sahaja dari gaji aku untuk duit minyak, beri pada ayah dan emak dan ansuran kereta. Lain lain aku simpan. Ayah aku pada awalnya membantah tetapi akhirnya dia menerima.

Selamat aku bertunang dan akan diijabkabulkan dalam masa sebulan dari tarikh ditunangkan.

Ayah aku telah menasihati aku bahawa keluarga isteriku ini adalah kaki kikis dan sama perangai seperti keluarga sebelah emakku.

Namun ak tidak endahkan. Yelah, masa itu tengah bulan bintang bercinta sehingga aku tidak nampak perangai mertua aku itu.

Namun semasa sebulan bertunang itu aku mula rasa tidak selesa kerana mereka selalu mengajak aku untuk makan di luar di restoran seperti Auntie aini garden cafe yang sememangnya menyediakan hidangan yang agak lazat dan harga premium.

Kesemua makanan yang mereka tempah adalah mahal seperti ikan baung tempoyak, kepala ikan merah sehinggakan bil yang datang berjumlah RM700 untuk malam itu. Namun aku telah berjanji untuk belanja diaorang lantas aku pun bayar sahaja.

3 hari sebelum berkahwin, ayah aku telah memberitahu aku bahawa kawan dia telah siasat latar belakang isteri aku dan mengatakan bahawa risiko aku untuk dikikis adalah tinggi.

Aku bertanyakan dimana ayah aku mendapat informasi sebegitu namun dia tidak menjawab. Aku lantas tidak menghiraukan nasihat ayah aku dan aku mengatakan bahawa aku ingin berkahwin dengan anaknya, bukan keluarganya.

Maka aku pun selamat diijabkabulkan. Aku dapat lihat dari raut muka ayah aku, dia tidak menyenangi besannya dan langsung tidak bertegur sapa malah mengambil gambar bersama.

Aku faham kerenah ayah aku macam mana lantas aku mengambil keputusan untuk tidak menghiraukannya.

Setelah habis majlis sebelah keluarga aku, aku memberitahu isteri aku untuk mencari rumah sewa dahulu sementara aku membeli rumah sendiri.

Namun isteri aku menolak dan mengajak aku untuk duduk bersama di rumah keluarganya.

Pada mulanya aku agak keberatan dan aku turutkan sahaja. Ayah aku agak marah apabila tahu aku duduk bersama mereka dan meminta aku bawa isteri aku duduk di rumah sewa sendiri. Namun aku tidak endahkan.

Bulan pertama perkahwinan kami, aku mendapat perkabaran gembira dimana aku dipanggil untuk ujian temuduga pdrm.

Aku memberitahu kepada isteriku dan dia tumpang gembira. Dalam masa yang sama, isteri aku menyerahkan bil bulanan utiliti kepada aku untuk dibayar.

Agak terkejut juga aku melihat bil elektrik di rumahnya itu kerana mencecah hampir RM900 sebulan. Isteri aku mengatakan bahawa adik beradiknya termasuk ipar duduk disitu dan sentiasa menghidupkan penyaman udara, jadi sebab itulah bil tinggi.

Isteri aku menawarkan untuk berkongsi bayaran bil namun aku tolak kerana nak tunjuk lah sifat ‘gentleman’ tu.

Hampir rm2k habis malam itu untuk menyelesaikan semua bil. Bil tmnet ketika itu mempunyai tunggakan, bil astro mempunyai tunggakan, bil air mempunyai tunggakan semuanya ak selesaikan sehingga kosong.

Ini kerana sejak dari dulu aku membayar bil rumah mak dan ayah aku, aku tidak suka melihat ada tunggakan pada bil utiliti.

Aku hadir di temuduga pdrm tersebut bersama isteri aku. Aku lulus semua aspek yang disuruh seperti lari 2.4km dibawah 10 minit dan lain lain.

Ketika temu duga dikalangan panel selesai, aku didatangi oleh lelaki yang mengaku kawan kepada ayah aku. Kwn ayah membawa aku ke tempat yang tiada orang dan mengatakan bahawa dia tahu apa yang terjadi kepada aku.

Dia mengatakan bahawa jika aku terpilih untuk masuk ke kursus pulapol, aku hendaklah merahsiakan semuanya daripada keluarga mertua aku termasuk isteri aku.

Aku pada ketika itu memang hendak kerja kerajaan, aku hanya mengangguk. Dalam masa yang sama aku bertanya kenapa, kwn ayah tetap tidak menjawab dan menegaskan perkara yang telah dinyatakan tadi.

Akhirnya aku dipanggil untuk menyertai kursus pulapol tetapi aku tidak boleh berkongsi kegembiraan kepada isteri aku. Aku mengatakan bahawa aku gagal dalam temuduga tersebut.

Ayah aku telah meminta aku menipu isteri aku mengatakan bahawa aku bekerja outstation terpaksa menjaga cawangan luar negara selama beberapa bulan ini sehingga manager baru dilantik.

Isteriku menerima dan aku membuat pindahan wang sebanyak RM10k kepada isteri aku untuk bil utiliti dan nafkah bulanan dia sepanjang ketiadaan aku.

Setelah aku tamat latihan, aku lapor diri di tempat baharu aku bekerja. Setelah seminggu selepas itu, aku pulang ke rumah mertua aku untuk berjumpa dengan isteri aku.

Aku agak terkejut mengetahui bahawa isteri aku telah berhenti kerja kerana ibu bapa mereka meminta dia untuk menjaga mereka.

Isteri aku memarahi aku kerana dia gagal untuk menghubungi aku sepanjang aku bekerja. Dia segan untuk bertanya kepada ayah aku lantas dia mengambil keputusan sendiri untuk berhenti kerja.

Aku menerima keputusan isteri aku dan dalam masa yang sama aku dirundum rasa bersalah kerana menipu isteri aku.

Namun aku lebih takut ugutan kwn dek yang pada hemat aku seperti ayah aku. Apa yang dicakap akan dibuat.

Malam itu isteri aku menyerahkan bil utiliti. Terkejut aku apabila melihat ada tunggakan pada bil elektrik, air serta tm. Isteri aku meminta maaf kerana dia telah membayar semampunya.

Aku mendesak isteri aku dengan bertanya kemana duit yang telah aku berikan. Sepatutnya semuanya ckup dan masih ada lebihan jika digunakan betul2.

Perkiraan aku dalam matematik tidak pernah salah. Isteri aku lantas menceritakan bahawa seminggu selepas aku pergi, ibu mertuaku meminta isteri aku untuk berhenti kerja kerana mengatakan bahawa aku mampu untuk menanggung isteri aku dengan gaji aku sekarang ini.

Ditambah pula apabila ibu mertua aku mendapat tahu bahawa aku telah menyelesaikan kesemua pinjaman pelajaran PTPTN isteri aku sejak awal aku berkahwin. Sebab itu ibu mertua aku yakin aku mempunyai simpanan yang mencukupi.

Selepas isteri aku berhenti, mertua aku meminta isteri aku untuk membelikan motorsikal untuk adik ipar aku kerana motor ayah mertua aku dah uzur.

Pada mulanya isteri aku cuba menolak kerana mengatakan bahawa duit yang aku serahkan sepanjang aku tiada hanya cukup cukup untuk bil bil bulanan namun tetap dipaksa.

Kerana takut dicop anak derhaka, isteri aku menurutkan sahaja. Lantas motor baru yamaha adik ipar aku dapat.

Selepas itu, ibu mertua aku meminta isteri aku untuk menanggung pula kos untuk baik pulih kereta proton persona yang rosak akibat overheat kerana dipandu oleh iparku yang sulung.

Oleh sebab isteri aku tidak memberi abangnya untuk menggunakan kereta milik isteri aku, maka mertua aku meminta isteri aku untuk membayar kos baik pulih kereta miliknya itu.

Maka isteri aku terpaksa mengeluarkan simpanan tabung haji yang telah aku masukkan untuk menampung kos baik pulih terbabit.

Tidak cukup dengan itu, bulan kedua ketiadaan aku, mak mertua aku meminta isteri aku untuk memberikan wang perbelanjaan dapur sebanyak RM1k setiap bulan kepadanya untuk menampung kos perbelanjaan barangan basah di rumah itu.

Pada awalnya isteriku tidak bersetuju dan mahu meneruskan memberi bayaran bulanan sebanyak RM300 namun mertua aku menggunakan kata kata yang kurang enak seperti anak derhaka kepadanya lantas membuatkan dia hanya menurut arahan itu. Itu sebabnya banyak bil bil utiliti tertunggak kerana dia hanya bayar semampunya.

Aku meminta maaf kepada isteri aku kerana dia terpaksa hadapi semua ini tanpa aku..

Keesokkan harinya, aku memanggil ibu mertua aku untuk berbincang berkenaan hal yang telah diceritakan.

Ibu mertua aku hanya menyalahkan diri aku kerana tidak memberikan wang yang secukupnya kepada isteri aku sebelum pergi bekerja.

Aku meminta untuk semua anak anaknya berkongsi bayar bersama semua bil utiliti namun ditolak atas alasan anak anak mereka tidak mempunyai pekerjaan yang tetap dan gaji yang stabil. Ibu mertua aku meminta aku meneruskan membayar bil utiliti tersebut.

Apabila aku menyatakan hasrat untuk membawa isteri aku keluar dari situ, ibu mertua aku melarang kerana tiada lagi anak yang akan membawa ayah mereka pergi medical check up dan ambil ubat, beli barangan basah dan sebagainya.

Aku berasa putus asa kerana perjumpaan itu langsung tidak mencapai kata sepakat di antara mereka. Lantas selepas aku habis kerja, aku singgah berjumpa ayah aku untuk menceritakan masalah aku kepadanya.

Bermula dari mertua aku menggunakan duit yang aku berikan kepada isteri aku sehinggalah kepada mereka memaksa aku membayar kesemua bil utiliti mereka.

Ayah aku hanya tersenyum dan beliau mengatakan bahawa memang telah dijangka semua itu akan berlaku.

Dia menceritakan semula selepas majlis pertunangan aku, ayah aku telah korek sebanyak mungkin maklumat berkaitan keluarga mereka.

Sebelum isteri aku berjumpa aku, isteri aku mempunyai bekas kekasih lain yang bekerja di sektor swasta namun terputus sewaktu bertunang kerana bekas kekasihnya gagal untuk menyediakan wang hantaran yang dipinta lantas memutuskan ikatan pertunangan tersebut.

Sebab itu ayah aku betul betul selidik dan pantau semua hal berkaitan keluarga isteri aku dan meminta aku merahsiakan pekerjaan aku yang sebenar untuk mengelakkan malapetaka yang lebih besar menimpa.

Baru lah aku faham dan terbukak kubah di atas kepala aku yang selama ini mereka hanya menggunakan aku dan isteri aku.

Berulang kali aku mengatakan bahawa isteri aku tidak terbabit dalam hal ini. Ayah aku percaya dan meminta aku tidur di rumahnya malam itu.. Aku akur dan malam itu ayah aku memanggil aku di biliknya.

Beliau mengatakan bahawa beliau membesarkan aku dan adik2 dalam penuh ketegasan kerana beliau nak kami semua bijak menilai sesuatu perkara dan tidak mudah mengharap bantuan.

Memang betul apa yang telah dididik oleh ayah aku kerana adik adik aku semuanya keluar dari rumahnya selepas habis spm dan langsung tidak pernah menyusahkan ayah aku untuk meminta duit bulanan belajar.

Semua mereka uruskan sendiri dan tidak pernah meminjam pada PTPTN. Sama juga seperti aku.

Malam itu, ayah aku meminta aku untuk memberitahu isteri aku bahawa aku telah diberhentikan kerja atas sebab sebab tertentu.

Ayah aku meminta aku untuk memberitahu isteri aku bahawa aku akan bekerja sebagai runner untuk menampung kehidupan mereka semua.

Bil bil utiliti pula ayah aku meminta aku supaya membayar lewat daripada biasa. Pada setiap hari keluar bekerja seperti biasa aku buat, dan jika ada operasi jauh2 ayah aku meminta aku pandai pandai buat ayat tipu sunat isteri. Tak berdosa katanya.

Bulan ke empat selepas itu, ayah aku minta supaya aku hanya bayar separuh sahaja dari jumlah bil itu. Begitu bulan seterusnya.

Berkenaan duit pula, ayah aku meminta aku memberikan sehari RM150 kepada isteri aku untuk belanja rumah, dan menabung untuk bayar bil.

Namun setelah bulan keempat aku kena kurangkan jumlah itu atas alasan kekurangan tempahan.

Akhir penggulungan sesi taklimat dengan ayah aku, nanti dihujung hari, aku akan nampak rupa sebenar keluarga mertua aku, dan isteri aku.

Jika isteri aku memilih untuk bersama mereka dan membuang aku, maka ceraikan isteri aku. Jika isteri aku mengikut aku, ayah aku akan terima dia sebagai keluarganya sepenuh hati.

Pada mulanya agak keberatan untuk aku ikut kerana ianya membabitkan masa yang agak panjang namun untuk aku keluar dari masalah ini, aku turutkan juga.

Dalam masa yang sama, ayah aku meminta aku untuk mencari rumah yang sesuai dan buat pinjaman perumahan. Aku cuma turutkan sahaja.

Pada hujung minggunya, aku memberitahu isteri aku bahawa aku telah dibuang kerja. Isteri aku mulai risau dan menangis kerana risaukan bulanan bil utilitinya, keretanya, dan bulanan untuk ibunya.

Aku memujuknya kembali dan mengatakan bahawa semuanya akan bertambah baik nanti. Dia cuma berdoa aku mampu keluar dari masalah ini.

Dalam masa yang sama aku turut kesian akan isteri aku kerana aku terpaksa menipunya.

Keesokan harinya isteri aku mengumpul kekuatan untuk memberitahu ibu mertuaku berkaitan keadaan aku.

Ibu mertua aku seaakan tidak percaya dan mula menuduh aku melakukan perkara yang bukan bukan sehingga dibuang kerja.

Namun ibu mertua aku pesan pada isteri aku, bayaran bil utiliti tetap perlu dibayar, duitnya bulan2 tetap perlu diberi.

Ibu mertua aku meminta aku untuk pergi mencari kerja baharu dan jangan terperuk di dalam bilik sahaja meskipun hari itu hari minggu.

Bermula dari detik itu, layanan mertuaku mulai berubah terhadap kami. Apabila waktu makan malam, kitaorg tidak akan dipanggil seperti dulu.

Aku membawa isteri aku makan diluar setiap kali waktu makan malam untuk mengelakkan isteri aku sentap.

Dalam masa yang sama, duit RM150 tetap aku berikan kepada isteri aku namun aku berpesan kepadanya untuk menyimpan bagi membayar bil semuanya hujung bulan nanti.

Isteri aku mengangguk lemah. Aku meneruskan permainan yang dicipta oleh ayah aku setiap hari.

Bulan kedua permainan aku, ibu mertua aku memarahi isteri aku kerana tidak memberikan duit bulanan kepadanya.

Isteri aku menerangkan bahawa duit yang aku beri habis digunakan untuk membayar semua bil utiliti dan duit bulanan kereta isteri aku.

Aku cuma mampu menyediakan sebanyak itu sahaja. Namun dibalas dengan kenyataan menghina aku kerana tidak mempunyai pekerjaan tetap.

Malam itu isteri aku mengadu kepada aku bahawa dia bukan sahaja dimarahi malah adik beradiknya juga turut sama memarahi isteri aku kerana tidak mampu memberikan wang kepada ibu mertua aku. Aku hanya mendiamkan diri dan meminta isteri aku bersabar.

Isteri aku meminta aku untuk mencari pekerjaan yang setaraf dengan pelajaran aku agar mampu untuk membiayai perbelanjaan rumah itu.

Aku mengajak sekali lagi isteri aku untuk keluar dari situ namun isteri aku tetap tidak mahu kerana dia terpaksa menjaga ayahnya. Tiada orang lagi yang boleh diharapkan.

Bulan ketiga permainan aku, aku mendapat berita gembira permohanan pinjaman perumahan aku telah diluluskan.

Namun aku terpaksa menunggu sekurang2nya 6 bulan lagi sebelum aku mendapat kunci bagi tujuan dokumentasi guaman semua.

Ayah aku tetap menasihati aku supaya kuat dalam permainan ini agar aku tidak merana dimasa akan datang. Aku turutkan sahaja.

Manakala isteri aku berubah daripada seorang yang periang kepada seorang yang pendiam. Setiap hari aku keluar bekerja, isteri aku didera mental oleh ibu mertua aku yang menuntut supaya isteri aku menuntut cerai kepada aku.

Segala keburukan aku, yang tidak masuk akal seperti aku tidak bekerja, hanya mengharap duit ayah aku sebab itulah aku memberikan duit secara harian dilontarkan kepada isteri aku.

Paling teruk sehingga mertua aku menuduh aku bermain judi secara dalam talian sehinggakan isteri aku memeriksa dengan teliti telefon bimbit aku pada suatu hari itu.

Ibu mertua aku memberitahu sebab itu aku dibuang kerja kerana aku telah menyalahgunakan duit syarikat dan telah ditangkap.

Kesemua cerita itu direka semata mata untuk membuatkan isteri aku was was dengan aku.

Namun isteriku tidak menjumpai apa apa yang disyaki di dalam telefon bimbit aku. Setelah didesak barulah isteri aku menceritakan tentang perkara tersebut beserta tuduhan yang telah dilemparkan kepada aku.

Namun begitu aku dapat merasakan ketika itu kelakuan isteri aku terhadap aku sememangnya telah berubah dan aku mula teringat kata kata ayah aku.

Aku hanya tersenyum apabila isteri aku mulai berkelakuan kasar dengan aku dan tidak melayan aku seperti yang sepatutnya.

Pada mulanya timbul hasrat untuk terus berpisah namun aku buang sejauh jauh hasrat itu kerana aku cuba meletakkan diri aku berada ditempatnya.

Aku cuba memahami apa yang diterimanya lantas aku tetap bertahan dengan isteri aku.

Genap 6 bulan permainan aku, aku telah mendapat kabar gembira dimana aku boleh mengambil kunci rumah baharu aku lebih awal daripada yang dijanjikan.

Aku mengambilnya dan menyerahkan urusan menghias dalaman kepada ayah dan adik aku.

Adik aku yang kedua mempunyai ijazah dalam bidang seni reka dalaman lantas aku meletakkan kepercayaan penuh kepadanya untuk membuat hiasan dalaman rumah itu. Aku cuma mengeluarkan modal apa yang dimintanya sahaja.

Aku mula potong sedikit demi sedikit bayaran harian kepada isteri aku atas alasan tempahan kurang.

Sebenarnya aku dah mula muak dengan permainan aku sendiri dan tak sanggup melihat isteri aku murung apabila dirumah.

Isteri aku mengadu dia semakin dipulaukan oleh ibu mertua aku kerana tidak meminta cerai daripada aku.

Lantas membuatkan emaknya memulaukan anaknya dirumah itu. Isteri aku masih tidak mahu berganjak keluar dari rumah itu atas alasan ayahnya sakit dan kereta isteri aku ibu mertua aku telah ambil.

Ibu mertua aku memberitahu jika aku menceraikan dia baru ibu mertua aku akan memulangkan semua kereta itu.

Ditambah pula ketika ini aku banyak operasi yang hendak dilaksanakan lantas keberadaan aku dirumah agak kurang.

Hal ini membuatkan aku semakin marah namun terpaksa dipendam dalam hati. Aku faham akan perasaan isteri aku yang saban hari terpaksa menahan segala benda buruk yang ditomahkan kepada aku ketika ketiadaan aku.

Aku menceritakan hal ini kepada ayah aku. Ayah aku menasihatkan aku supaya tidak membayar ansuran bulanan kereta tersebut selama 3 bulan dan biarkan sahaja kereta itu ditarik.

Setelah ditarik ayah aku meminta aku membayar penuh kereta itu dan serahkan kepada isteri aku.

Pada mulanya aku agak takut untuk melakukan perkara itu namun ayah aku telah yakinkan aku lantas aku mula tidak membayar ansuran tersebut. Ayah aku menjamin bahawa mereka tidak akan mampu untuk membayar kereta itu.

Bulan kelapan yakni 2 bulan aku tidak membayar ansuran tersebut, surat amaran penarikan telah dihantar ke rumah mereka dan perkara ini menimbulkan kemarahan ibu mertua aku terhadap aku. Aku mula dimaki hamun perkara yang tidak sepatutnya ketika aku pulang bekerja.

Isteri aku hanya mampu menangis di dalam bilik. Ibu mertua aku menyuruh aku meminjam kepada ayah aku untuk menjelaskan tunggakan kereta tersebut kerana risau akan ditarik.

Sememangnya ayah aku sudah tahu awal dimana mereka tidak akan mampu untuk membayar semua tunggakan itu.

Aku menjelaskan aku sudah tiada simpanan apa apa untuk membayar tunggakan tersebut. Ibu mertua aku hanya berterusan memberi ceramah kepada aku dan meminta aku menjelaskan semuanya sebelum ditarik.

Ibu mertua aku masih tidak mengetahui bil utiliti juga telah lama tertunggak sejak bulan keenam permainan aku.

Kesemua bil yang sampai isteri aku ambil dahulu dan sorok daripada pengetahuan emaknya kerana bimbang dimarahi.

Malam itu isteri aku menangis dan mengadu kepada aku bahawa emaknnya telah memaksa dia meminta cerai daripada aku.

Isteri aku sudah tidak nampak jalan lagi untuk dia bersama aku. Aku cuma menasihati isteri aku supaya bersabar dan bertahan. Isteri aku hanya mengangguk lemah.

Bulan terakhir permainan aku, dan kereta isteri aku telah selamat ditarik oleh pihak bank. Aku mendapat panggilan bertalu talu daripada isteri aku mengatakan bahawa keretanya telah ditarik.

Aku bergegas ke maybank dan menyelesaikan kesemua tunggakan tersebut pada hari tu dan menyerahkan surat kebenaran mengambil kenderaan kerana isteri aku tidak dapat hadir.

Aku telah menyiapkan dokumen tersebut lebih awal mengikut nasihat ayah aku. Setelah mengambil kereta isteri aku di stor petang itu, aku menyimpan kereta isteri aku di rumah baru aku.

Sesampainya lewat malam tu di rumah isteri aku, aku dimaki dan dimarahi bertalu talu oleh isteri aku dan ibu mertua aku.

Isteri aku rupanya telah memberitahu ibu mertua aku bahawa selain keretanya tertunggak, bil utiliti lain juga telah tertunggak kerana sudah tidak tahan didera mental oleh ibunya.

Aku memberitahu lemah bahawa masih ada 14 hari lagi sebelum kereta itu akan dilelong. Aku akan pinjam dengan ayah aku dan ambil semula kereta itu.

Ibu mertua aku tetap memaki hamun aku dengan ayat ayat yang kurang enak tetapi aku tidak menghiraukannya kerana badan aku sudah agak penat pada masa itu kerana memandu jauh bersama adik aku untuk menghantar kereta tersebut di rumah aku. . Aku menarik isteri aku kedalam bilik dan memujuknya.

Setelah emosi isteri aku stabil, die menceritakan bahawa ibu mertua aku telah memaksa isteri aku meminta cerai sekali lagi dan jika kali ini tidak diikuti, isteri aku dicop anak derhaka dan ibu mertua aku menghalau kami berdua dari rumah ini.

Ketika ini mata aku telah bersinar dan aku telah nampak jalan yang Allah dan ayah aku tunjukkan sekian lama ini.

Isteri aku tidak mahu diperlakukan sebegitu kerana dia tiada tempat lain hendak dituju. Aku cuma memujuknya dan meyakinkannya bahawa tiada apa yang akan berlaku.

Isteri aku memberitahu bahawa jika kereta itu telah aku tebus semula dari pihak bank, ibu mertua aku mahukan kereta tersebut bagi kegunaan adik ipar aku yang baru dapat kerja di Bangi kelak.

Dia yang akan bayar setiap bulan selepas itu. Aku hanya tergelak dan terus melelapkan mata.

Keesokan harinya aku keluar bekerja seperti biasa dan aku nekad pada malam ini aku akan mengakhiri permainan aku sendiri kerana sudah muak dan sedih melihat isteri aku sering kemurungan.

Kemurungannya agak teruk sehingga isteri aku sering mengadu haidnya tidak teratur lagi seperti dahulu.

Malamnya aku balik, ibu mertua aku memberitahu bahawa dia telah membayar semua bil utiliti yang tertunggak dengan menggadaikan gelang dan rantai hantaran kahwin isteri aku.

Duit selebihnya dia simpan untuk bil mendatang kerana aku sudah tidak berkemampuan untuk membayar lagi. Isteri aku hanya mendiamkan diri di sofa sambil menangis.

Aku tidak mengambil kisah dengan hal itu sambil tergelak. Ibu mertua aku meminta aku menceraikan anaknya malam itu juga dan meminta aku untuk keluar dari rumah itu.

Peluang yang aku tunggu telahpun tiba. Tidak perlu aku memikir ayat untuk mencarik pergaduhan dengan ibu mertua aku.

Aku memandang isteri aku dan meminta dia membuat keputusan sama ada untuk mengikut aku atau tinggal disitu.

Aku agak goyah dengan apa yang akan mendatang dari mulut isteri aku. Lama isteri aku membisu dan aku bertanyakan sekali lagi.

Isteri aku bingkas dari sofa dan mengatakan bahawa dia akan mengikut aku keluar dari rumah itu. Ibu mertua aku memaki hamun isteri aku dan menamparnya serta memanggil anak derhaka.

Tidak dihiraukan isteri aku lantas menarik tangan aku masuk ke bilik untuk mengemaskan barang kami semua.

Sementara kami berkemas, aku terdengar ibu mertua aku terjerit jerit memaki hamun aku termasuk ipar aku.

Semasa kami mahu keluar, aku mengatakan bahawa kereta isteri aku adalah milik isteri aku dan aku tak akan serahkan kepada sesiapa pun. Ibu mertua aku menggelakkan aku dan memerli aku.

Jika aku sayangkan isteri aku, aku tak akan membiarkan kereta itu ditarik oleh pihak bank.

Aku mengeluarkan resit bayaran penuh kereta itu dan memberikan kepada ibu mertua aku. Kesemua baki pinjaman berjumlah RM23,300 aku telah jelaskan sebaik kereta itu ditarik oleh pihak bank.

Maka kereta itu secara rasminya tiada hutang lagi. Ipar aku bertanya jika dah dibayar dimana kereta itu. Lantas aku mendiamkan diri dan menarik tangan isteri aku keluar dari situ.

Didalam kereta aku, isteri aku menangis mengenangkan nasibnya dan memikirkan dimana tempat untuk bermalam pada malam itu. Aku cuma mendiamkan diri dan terus memandu ke rumah baharu aku. Sesampainya di rumah itu, isteri aku terkejut melihat keretanya berada disitu.

Aku menjelaskan bahawa itulah rumah baharunya dan mulai hari itu dia akan duduk disitu.

Isteri aku pada mulanya kurang percaya dan terus memeluk aku kerana tidak menyangka semua itu. Aku menjelaskan semua permainan aku dan niat aku hanya untuk membawa dia keluar dari situ.

Isteri aku terdiam dan mula menyedari setelah aku memberitahu bahawa dia hanya digunakan kerana mertua aku melihat dan beranggapan aku adalah seorang yang berduit.

Mulai hari itu, aku melihat isteri aku mula berubah kepada perwatakan asal semasa kami berkenalan.

Namun aku meminta dia untuk menukar nombor telefon bimbit dan memutuskan langsung hubungan dia dengan keluarganya.

Cuma apabila berlaku kematian baru aku akan membawanya pulang. Isteri aku bersetuju dan mula membuat semua perkara yang aku mahukan iaitu menukar semua alamat surat menyurat.

Alhamdulillah ayah aku menerima penuh isteri aku yang selama ini dia langsung tidak hiraukan setelah mengetahui isteri aku memilih aku.

Namun, sehingga sekarang, kesemua ipar dan mertua aku masih tidak mengetahui status aku dan isteri aku.

Isteri aku telah bekerja di firma audit yang stabil di kuala lumpur dimana gajinya lebih sekali ganda daripada aku.

Namun sehingga sekarang isteri aku tetap rapat dengan aku kerana katanya tanpa aku dia masih merempat di rumah ibu bapanya.

Katanya ibunya bukan sahaja menghasutnya perkara yang tidak elok malah mengikis keyakinan dirinya sepanjang dia menetap disitu sehingga dia berhenti kerjanya sebelum ini.

Sehingga kini kami masih hidup bahagia dan dah dikurniakan dua cahaya mata. Namun anak anak kami langsung tidak pernah mengenali nenek sebelah mami mereka. Isteri aku pula yang tidak benarkan anak anak kami mengenali mereka.

Semua gambar gambar termasuk gambar kahwin yang mempunyai gambar keluarga sebelah isteri semua isteri aku buang.

Katanya dia masih trauma dibuat begitu dengan emaknya dan tidak mahu mengingatinya lagi.

Aku tahu banyak cerita cerita buruk yang aku dengar dari kawan kawan ipar aku berkaitan aku dan isteri aku.

Antaranya adalah aku hidup merempat di nilai sementara isteri aku bekerja kilang di sana. Namun aku memilih untuk mendiamkan diri dan mengiyakan sahaja apa yang diperkatakan.

Lebih baik begini daripada memendam rasa memelihara semula biawak hidup jika mereka mengetahui keadaan sebenar isteri aku dan aku.

Aku berjumpa mereka pun secara kebetulan semasa membeli barangan dapur. Namun aku meminta kawan kawan mereka merahsiakan perjumpaan kami kerana risau mereka akan mencari kami semula.

Kepada pembaca yang hendak mengecam tindakan aku, aku ingin jelaskan bahawa aku tidak memutuskan hubungan kekeluargaan.

Isteri aku yang memilih untuk mendiamkan diri daripada mereka kerana masih trauma dengan emaknya.

Katanya dia tidak perlu buktikan apa apa kepada keluarganya. Cukup lah dia dah membuktikan kepada dirinya yang dia dah mampu bekerja di firma audit impiannya sejak dahulu.

Sekian coretan terakhir saya. No more story after this. Ini last kerana ramai pembaca tertanya tanya apa yang saya buat sepanjang 9 bulan buat operasi sebegini.

Ini lah cerita sebenar. Alhamdulillah saya dah bebas daripada keluarga yang seperti seorang pembaca ungkapkan, seperti ular telan lembu.

BACA:

Tak sangka! Rupanya mesin kutip sampah di Sg Klang, Coldplay yang sumbang patutlah PM ucap selamat datang

Tak nak isteri tahu suami jackpot RM143 juta, lelaki ini nekad datang ambil duit pakai kostum