Tular berita palsu mengaitkan Siti Nurhaliza, sekali ini respon padu tuan badan buat penyebar berita palsu goyang.
Serahkan sepenuhnya penyelesaian kepada pihak berwajib untuk menanganinya.
Itu langkah yang diambil oleh penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza mengulas isu penyebaran berita palsu mengaitkan dirinya dengan sebuah majlis politik di Kedah.
“Apa yang saya dah buat dalam kenyataan saya di Instagram, itulah dia. Memang saya tak sangkalah ada yang berani edit.
Boleh dikatakan dia edit sebab benda itu kalau nak kata hack (godam) dia tiada hack.
“Memang tiada apa-apa hantaran seperti itu di akaun FB saya. Memang terkejut. Apa ini kan? Memang edit untuk keluarkan benda itu. Jadi saya serahkan kepada pihak yang berwajib.
“Memandangkan Menteri Komunikasi dan Digital (KKD) juga sudah mengeluarkan kenyataan, jadi pihaknya akan mengambil tindakan,” katanya ditemui pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran Global Station di sini, malam tadi.
Biarpun agak terkilan, Siti bagaimanapun berkata, dia masih berhati perut dan hanya menyerahkan siasatan kepada pihak berwajib supaya ia dapat dikekang pada masa akan datang.
“Apabila perkara itu terjadi memang dan rasa terkilan dan sedih tetapi tidak mengapa sebab mungkin dahulu saya hanya selalu memberi amaran sahaja terutama di media sosial.
“Saya masih berhati perut lagi dalam perkara ini. Apabila menteri sendiri sudah utarakan mengenai perkara ini, maka saya serahkannya kepada pihak berwajib sahaja,” katanya.
Menurutnya mungkin sikapnya yang berlembut dan selama ini hanya memberi amaran di media sosial menyebabkan ada pihak yang masih berani menggunakan namanya untuk tujuan penyebaran berita palsu.
“Disebabkan selama ini saya hanya memberi amaran sahaja mungkin orang masih berani untuk lakukan perkara seperti itu. Kalau saya tidak keluarkan kenyataan, orang lain pun boleh nampak ia adalah perkara yang tidak sepatutnya.
“Semua sudah menjadi suara saya baik peminat mahupun netizen mereka juga sudah faham. Tidak mengapa saya serahkan semuanya kepada pihak berwajib,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Siti bakal terbabit dengan Konsert Satu Suara Vol 3 yang bakal berlangsung di Mega Star Arena, Sungei Wang Plaza pada 13 Mei ini bersama Jay Jay dan Ernie Zakri.
Menurutnya, dia kini giat melakukan latihan nyanyian, stamina dan tarian setiap hari.
“Untuk persembahan nanti saya akan sampaikan satu lagu baru buat peminat yang hadir. Mereka yang datang malam itu akan jadi orang pertama dengar lagu baru saya.
“Ia adalah adalah lagu solo saya yang bergenre balada. Sekarang ini juga penjualan tiket masih lagi berlangsung sebab saya pun faham orang masih lagi beraya dan mengeluarkan belanja untuk persiapan raya.
“Ada juga media yang cadangkan saya menyanyikan lagu Raya kerana kita masih dalam bulan Syawal, jadi kita masukkan juga lagu Raya,” katanya.
BACA: