Kerana adik Suriyati jadi punca sebenar tertubuhnya IJN yang ramai tak tahu.
Sekarang ni penuh kat tajuk utama berita tempatan dengan media sosial tentang perkembangan Baby Ainul Mardhiah yang dah berjaya harungi proses pembedahan buang ketumbuhan kat mulut dia.
Dan proses pembedahan tersebut dilakukan dengan bantuan Dr Nur Amalina Che Bakri, yang bertukung lumus nak tolong bayi tu memandangkan kat Malaysia takde rawatan dan teknologi berkaitan dengan penyakit tersebut.
Kira-kira dua minggu lepas, ‘Germ Cell Tumor’ seberat 200 gram tu dah berjaya dibuang dari mulut Ainul.
Hasil bantuan dan kuasa viral dari warga net dan rakyat Malaysia, berita pasal Ainul berjaya jadi tumpuan rakyat Malaysia dan Dr Amalina yang nun jauh ada kat UK.
Tapi sebenarnya Dr Amalina ada bagitahu yang banyak cabaran terpaksa dilalui nak jadikan misi bantuan Ainul berjaya. Bukan Dr Amalina je yang terlibat, ramai lagi doktor-doktor dari Malaysia yang ikut Ainul pergi UK dibantu dengan pasukan doktor pakar kat UK.
Dan… baru-baru ni Tun M ada datang melawat Ainul yang ada kat Hospital London, kiranya macam penutup tentatif lawatan kerja dia kat London lah. Apa yang lebih menarik, perkembangan baby Ainul lepas pembedahan tu nampak positif dan tahap kesihatan dia pun dalam keadaan baik. Jadi, kali ni SOSCILI nak mengimbas kembali beberapa kanak-kanak Malaysia yang dah jalani pembedahan kat luar negara sebelum adanya kuasa viral dan media sosial.
1. Ahmad dan Muhamad – kembar siam yang dibantu oleh Putera Mahkota Arab Saudi
Cerita pasal kembar siam ni pernah kecoh dan dapat tumpuan sekitar tahun 2001 hingga 2002. Sesiapa yang terasa dah tua dan suka membaca dari kecik, korang mesti ingat pasal cerita ni. Sebab dulu tak ada Instagram, Twitter, Facebook ni semua.
Ceritanya bermula begini, Ahmad dan Muhamad ni dilahirkan pada tahun 1998 dalam keadaan bercantum (kembar siam) yang satu-satunya ada kat Malaysia. Cerita pasal kisah ni memang kecohlah dan menyayat hati semua orang dengan tengok keadaan diaorang tu. Bukan apa, figura fizikal diaorang yang bercantum ni buatkan orang lagi bertambah sebak bila tengok.
Sebenarnya, kes kembar siam ni nisbahnya 1 dalam 200,000 kelahiran yang berpunca daripada zigot kembar tak dapat dipisahkan. Mak ayah diaorang bukannya tak nak pisahkan diaorang. Tapi kos rawatan tu membebankan yang menelan jumlah sebanyak RM1.7 JUTA. Juta yer bukan ribu, puluh ribu dan ratus ribu.
Disebabkan cerita diaorang waktu zaman tu dah viral, cerita tu pun sampai kat Putera Mahkota Arab Saudi. Dan, atas ihsan Putera Mahkota Arab Saudi, Raja Abdullah Abdul Aziz, dia pun dengan rasa penuh perikemanusiaannya dah taja kos pembedahan untuk pisahkan kembar tu.
Dan, pembedahan tersebut bukanlah diadakan kat Malaysia, tapi sebaliknya dibuat kat Hospital King Fadh National Guard di Riyadh, Arab Saudi waktu September 2002 dulu.
Waktu tu, diaorang baru berumur 4 tahun. Pembedahan tersebut berisiko tinggi memandangkan cantuman diaorang tu kat bahagian dada dan punggung yang makan masa pembedahan 22 jam 45 minit. Uish! Macam sehari jugaklah, agak-agak doktor tu tak penat ke?
Raja Abdullah Abdul Aziz ni jugak merupakan seorang dermawan. Bukan Ahmad dan Muhamad je kembar siam yang ditaja pembedahan pemisahan, tapi ramai lagi kembar siam lain yang dia tolong jugak. Lepas pembedahan tu berjaya dijalankan, diaorang dapat bantuan kaki palsu daripada Raja Abdullah. Tapi dioarang tak pakai lagi sebab timbul pulak risiko lain. Kesan daripada pembedahan tu menyebabkan masing-masing cuma ada 1 kaki je untuk bergerak.
“Ini kerana pemeriksaan pakar mendapati struktur badan kami tidak lagi sesuai menggunakan kaki palsu dan perlu menjalani pembedahan berisiko tinggi jika hendak menggunakannya.
“Pakar di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) memaklumkan, kemungkinan ada anggota yang tidak berfungsi jika meneruskan pembedahan itu. Justeru, kami mengambil keputusan menjalani rutin tanpa menggunakan kaki palsu lagi.” – Ahmad, sumber dari BH Online.
Tapi penderitaan tu tak habis sampai situ je, lepas pembedahan tu diaorang masih lagi bergantung dengan pampers dan ayah diaorang kena dukung diaorang kalau nak bergerak. Dan diaorang juga ada masalah kesihatan yang lain. Walaupun fizikal diaorang tak sempurna, tu bukan jadi halangan untuk diaorang terus maju ke depan. Dan perkembangan terbaru sekarang ni, Ahmad tengah ambil diploma dalam jurusan Reka Bentuk Grafik dan Muhamad pulak dalam ijazah Teknologi Maklumat.
“Walaupun apa pun terjadi, kena teruskan hidup. Sudah itu ketentuan-Nya, kita tak boleh nak buat apa… menangis air mata darah sekali pun, ia takkan berubah. Jadi teruskan hidup.
“Kita tidak boleh harap orang lain sepenuhnya, kena usaha untuk dapat sesuatu. Kalau minat nak belajar kena cari jalan untuk belajar,” – Ahmad, sumber dari BH Online.
2. Suriyati Jamaluddin – penyakitnya menyebabkan tertubuhnya IJN kat Malaysia
Mungkin ramai yang tak tahu ataupun tak familiar dengan penderitaan Suriyati Jamaluddin ni. Lagipun cerita ni dah lama, waktu tahun 1979 dulu. Korang pun tak lahir lagi, apatah lagi kitorang insan kerdil ni. Dan cerita ni membuktikan yang waktu zaman 70-an lagi dah wujudnya kuasa viral ni walaupun tak gunakan media sosial.
Suriyati Jamaluddin waktu tu menghidap jantung berlubang dan perlukan rawatan ke Pusat Jantung Manila, Filipina. Waktu tu yang ada pakar berkaitan kes jantung ni cuma ada kat Filipina, London dan Wallington. Dan Malaysia takde kepakaran tersebut. Kos untuk menampung pembedahan dan untuk biayai kos penerbangan tu menelan belanja sebanyak RM25,000. Pada zaman tu, jumlah begitu dikira sangatlah banyak. Boleh beli rumah banglo tu!
Ayah Suriyati yang merupakan seorang penoreh getah dah pergi kat Ibu Pejabat Utusan Melayu, Kuala Lumpur. Dia datang untuk mintak bantuan dalam mengumpulkan dana bagi tampung kos. Lepas tu, pihak Utusan Melayu ni pun ceritakan pasal berita dia kat media cetak diaorang, dan terus jadi viral.
Ramai orang hulurkan derma menerusi berita dan maklumat yang diceritakan kat surat khabar Utusan Malaysia tu. Dan cerita tu merupakan berita pertama yang dah berjaya tarik perhatian orang ramai untuk baca Utusan Malaysia.
Dalam masa tak sampai seminggu wang sebanyak RM75,000 tu berjaya dikumpulkan disebabkan keprihatinan rakyat Malaysia. Lebih daripada jumlah yang sepatutnya dikumpul. Dan waktu hari penerbangan dia ke Manila, Filipina tu, ramai rakyat Malaysia yang pergi airport sebagai tanda sokongan kat dia.
Tapi malangnya, lepas 11 hari Suriyati ada kat Manila pada 29 Mei 1979, waktu sebelum hari yang sepatutnya dia kena bedah tu, dia dah pun meninggal dunia. Dan daripada kes dia ni, wujudnya kempen kesedaran untuk menyegerakan penubuhan pusat rawatan jantung kat Malaysia ni dengan gerakan daripada Utusan Melayu sendiri.
Daripada kempen tersebut, pada tahun 1982 tertubuhnya Unit Pembedahan Jantung di Hospital Besar Kuala Lumpur. Lepas tu diikuti dengan Institut Jantung Negara (IJN) yang dibina khas untuk rawatan dan pembedahan berkaitan masalah jantung.
3. Haryk Muzeer – sakit hati kronik tapi ramai orang ingat dia kena dera
Bila cakap pasal bayi yang bernama Muhammad Haryk Muzeer ni mesti ramai yang tak tahu pasal pendedahan cerita penderitaan dia. Cerita dia bukanlah lama mana, baru je tahun lepas. Mungkin waktu tu semua warga net tak terlalu taksub dengan media sosial kot?
Baby Haryk Muzeer ni disahkan menghidap penyakit Sindrom Alagille ataupun penyakit hati kronik (bukan sakit hati tau). Dan rawatan pemindahan organ (hati) perlu dijalankan di India sebab atas kepakaran doktor dan teknologi kat sana. Pemindahan hati tu adalah daripada mak ayah dia sendiri bukanlah cari penderma yang lain.
Dan penyakit tersebut merupakan penyakit yang diwarisi daripada keturunannya. Penyakit tersebut boleh dikatakan salah satu gangguan yang diwarisi bila seseorang memiliki kurang daripada jumlah normal saluran hempedu kecik kat dalam hati. Dan dia menderita dengan penyakit tu dari dia lahir. Kesan daripada penyakit tu, terjadinya pembekuan darah yang menyebabkan dia selalu garu badan dia sampai lebam dan luka.
Keadaan Haryk Muzeer yang dipenuhi dengan kesan luka. Imej dari Harian Metro
Disebabkan tu, ramai orang yang serang dan hentam mak ayah dia, diaorang ingat kesan bekas-bekas tu daripada kena dera dengan mak ayah dia. Hmm. Dia pun tak boleh selalu keluar dan terdedah dengan cahaya matahari. Selain daripada tu, doktor bagitahu yang dia dah takde kualiti hidup macam kanak-kanak normal lain. Bila tak sampai hati nak tengok anak diaorang dalam keadaan macam tu, diaorang pun buat keputusan nak buat pemindahan hati yang bertempat kat India.
“Penat saya menjelaskan kepada orang ramai yang anak menghidap penyakit Sindrom Alagille (hati kronik) dan perlu menjalani pembedahan hati segera.” – Nurul Ain Mohd Yasin, ibu Muhammad Haryk Muzeer, sumber dari Harian Metro.
https://www.facebook.com/BeritaTV9/videos/1094628494044870/
Kos perbelanjaan rawatan dan pembedahan tu berjumlah RM250,000. Pendapatan keluarga tu tak boleh nak menampung kos tersebut ditambah lagi dengan kerja ayah dia sebagai penjual burger yang hanya bergaji RM700 sebulan. Jadi, mak ayah dia pun siarkan cerita pasal dia kat surat khabar dengan harapan dapat meraih sumbangan daripada semua orang untuk kos rawatan dia.
Lepas jumlah tu dah cukup, bayi tu pun berjaya diterbangkan ke India untuk dapatkan rawatan tu di Hospital Max Super Specialty, New Delhi. Dan mak dia sendiri yang dermakan hati kat dia. Tapi lepas 16 hari pembedahan berjaya dijalankan, dia pun meninggal dunia disebabkan komplikasi dan penolakan hati baru dengan antibodi dia. Mayatnya dikebumikan kat New Delhi, India sebab nak mudahkan dan cepatkan urusan yang wajib.
4. Ahmad Zeyad – kumpul dana pembedahan daripada kumpulan Search
Cerita Ahmad Zeyad yang menderita menghidap penyakit Biliary Atresia ataupun penyakit kegagalan fungsi hati ni pernah tersiar dekat semua platform berita untuk mendapatkan sumbangan bagi menampung kos rawatannya. Sebab kos rawatan dia mencecah RM200,000 dan perlu dibuat kat Shanghai, China.
Disebabkan penyakit dia tu agak kronik, doktor dah bagitahu supaya buat pemindahan hati dengan cepat sebab kalau takde hati baru untuk dia, jangka hayat dia cuma untuk 2 tahun je. Dalam usaha nak cukupkan kumpul duit untuk kos tersebut, mak ayah dia pun mintak belas ihsan orang ramai melalui siaran beritanya kat surat khabar.
“Kos penuh pembedahan untuk anak saya ini adalah RM200,000 dan kami berdua yang bekerja di Majlis Perbandaran Kajang masing-masing sebagai penghantar surat dan penolong pegawai pertanian buntu untuk mencari baki wang bagi membiayai kos pembedahan itu,” – Mohd Riduan, ayah kepada Ahmad Zeyad, sumber dari Harian Metro.
Kesan dari penyakit tu, hempedu dia pun rosak jugak. Dan dia boleh tidur hanya kalau didukung je. Sebab tak sanggup tengok anak diaorang menderita, diaorang pun buat keputusan untuk buat rawatan kat Shanghai, China tu. Dan penderma hati tu adalah mak Ahmad Zeyad sendiri.
Hasil hebahan media dan bantuan orang ramai, dana tersebut berjaya dikumpulkan. Tapi apa yang menariknya, ada seorang gitaris dari kumpulan Rock popular kat Malaysia, Kid dari anggota Search dah bekerjasama untuk cukupkan dana tersebut. Ia melalui konsert amal yang dijalankan dan hasil kutipan wang dari tiket konsert yang dijual.
“Inilah pertama kalinya satu kumpulan artis buat program bukan untuk berhibur tapi bantu sahabat. Mereka amalkan konsep ‘blood brothers’ walaupun tak kenal Ahmad Zeyad dan keluarganya.
“Kami bergerak tanpa penajaan kerana tak nak babitkan wang pihak lain. Ini antara rantaian kecil usaha penggiat seni untuk bantu mereka yang memerlukan dan diharapkan ia bukan setakat ini kerana akan cuba bantu sesiapa saja yang memerlukan bantuan,” – Mahyuddin Mohd Yassin, Pengarah Yassdar Archiworks Sdn Bhd, sumber dari Harian Metro.
Negara Malaysia jadi negara paling gembira sebab sikap prihatin semua
Kalau rakyat Malaysia tak prihatin macam ni, mungkin banyak nyawa yang dah terkorban. Walaupun hanya RM1 je, banyak jugak nilainya kalau setiap seorang rakyat Malaysia yang berjumlah 32.4 juta orang dah dermakan. Bukan dari aspek kewangan je yang dibantu, sebaran cerita sampai jadi viral pun dikira bantuan jugaklah kan. (Tapi cerita yang baik-baik je, jangan membawang pulak).
“Saya gembira dengan sikap yang ditunjukkan rakyat Malaysia sehingga membolehkan Ainul Mardiah mendapatkan rawatan di sini (London),” – Tun M, sewaktu menziarahi Ainul Mardiah sumber dari MStar.
Dan, sebab tu jugaklah Malaysia …
Jadi rakyat Malaysia antara rakyat yang paling gembira kat dunia. Imej dari My News Hub
Tapi korang pun kenalah sentiasa peka dengan sekeliling korang, sebab sekarang ni masih ramai yang memerlukan bantuan perubatan.
BACA:
Hajarul Aswad pernah kena rembat?! Ini yang terjadi kepada pencuri tersebut