Tragedi Sabah Air, Ku Li dedah dah naik pesawat tapi diajak turun Timbalan Ketua Menteri Sabah cetus pertikaian netizen.
Pendedahan laporan akhir nahas pesawat Nomad milik Sabah Air dalam Tragedi Double Six pada 1976 gagal menjawab dakwaan mengenai pemimpin yang sudah menaiki pesawat itu tetapi diajak turun pada saat akhir.
Pensyarah Kanan Sains Sosial, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof Madya Dr Lee Kuok Tiung, berkata ia antara perkara yang masih menimbulkan pertanyaan dan spekulasi yang dikaitkan dengan tragedi berkenaan sebelum ini.
“Laporan itu tidak dapat menjawab cerita kononnya ada yang sudah menaiki pesawat tetapi diajak turun pada saat-saat akhir untuk pergi ke Kudat (bukan ke Kota Kinabalu).
“Cerita siapa duduk di depan atau sebelah sebelum turun seolah-olah nampak sangat benar tetapi berdasarkan jumlah kerusi penumpang pesawat mendedahkan ada kemusykilan terhadap cerita itu,” katanya.
Laporan berita mengenai nahas itu 47 tahun lalu antara lain mendedahkan bahawa Menteri Kewangan ketika itu, Tengku Razaleigh Hamzah sepatutnya terbang bersama Ketua Menteri Sabah, Tun Fuad Stephens yang terkorban dalam nahas berkenaan memandangkan mereka ada program di Kota Kinabalu pada malam hari kejadian, 6 Jun 1976.
Tengku Razaleigh dikatakan sudah duduk di dalam pesawat malang itu di Labuan tetapi diajak turun pada saat akhir oleh Timbalan Ketua Menteri Sabah pada masa itu, Tan Sri Harris Salleh untuk menaiki pesawat lain ke Kudat bagi menghadiri satu program di sana sebelum terbang semula ke Kota Kinabalu.
Pendedahan itu menimbulkan prasangka dan spekulasi yang dikaitkan dengan dakwaan berlaku unsur sabotaj yang menyebabkan pesawat terbabit terhempas di laut berdekatan pantai Kampung Sembulan, di sini, ketika menghampiri landasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) pada petang 6 Jun 1976.
Rumusan laporan akhir yang dikeluarkan Kementerian Pengangkutan kelmarin bagaimanapun menjelaskan tiada sebarang unsur sabotaj, letupan atau kebakaran yang dikaitkan dengan nahas pesawat buatan Australia itu.
Bagaimanapun, Kuok Tiung berkata beberapa spekulasi lain terjawab melalui pendedahan laporan akhir itu, sekali gus membuktikan apa yang didakwa sebelum ini hanyalah fitnah atau cerita rekaan.
Katanya, ia termasuk dakwaan kononnya pesawat terbabit lebih muatan kerana dinaiki 11 penumpang termasuk juruterbang berbanding jumlah tempat duduk yang kurang daripada itu.
“Sudah pasti ia (laporan akhir itu) mampu menjawab sebahagian daripada spekulasi yang ternyata hanyalah fitnah atau cerita yang direka-reka sahaja.
“Ini misalannya menerusi fakta pesawat berkenaan mempunyai sembilan kerusi penumpang dan bukannya enam atau angka lain.
“Laporan itu juga ada menyentuh mengenai kecergasan dan rekod penerbangan juruterbang yang pernah terbakar dan hilang,” katanya.
Sementara itu, Kuok Tiung turut sependapat dengan persoalan ditimbulkan ahli keluarga mangsa mengenai sebab laporan nahas berkenaan dirahsiakan selama hampir lima dekad sedangkan tiada unsur bersifat mengancam keselamatan negara.
“Itulah, jika dilihat laporan siasatan berkenaan, tiada apa-apa yang membabitkan rahsia yang mampu atau boleh mengancam keselamatan negara. Laporan penyiasatan tertumpu kepada isu-isu teknikal yang menjurus kepada kemalangan terbabit,” katanya.
Dalam hal berkaitan, Kuok Tiung berkata pendedahan laporan itu selepas dinyahklasifikasi daripada Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972 menunjukkan ada kesepakatan di antara kerajaan Sabah dan persekutuan.
“Ini menunjukkan hubungan baik ‘G to G’ (kerajaan dengan kerajaan) di antara Putrajaya dengan Sabah, sanggup atau sudi membantu menjawab teka-teki yang mencetuskan pelbagai teori konspirasi yang dikaitkan dengan kepentingan dan hak-hak Sabah di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” katanya.
BACA:
Tak tahan hidup susah isteri lari ikut jantan lain bekas, suami terpaksa bawa anak jalan cari kerja