“Masa minta payment umrah tak boleh lambat kalau tak denda, bila minta refund kena tunggu pula 14 hari, rupa-rupanya..”

Oleh INFORAKYAT

“Masa minta payment umrah tak boleh lambat kalau tak denda, bila minta refund kena tunggu pula 14 hari, rupa-rupanya..”.

MENDAPAT ‘panggilan’ menunaikan umrah apatah lagi bersama ahli keluarga adalah impian semua umat Islam.

Bagaimanapun, tidak semua yang dijadualkan berangkat ke Tanah Suci dapat ‘terbang’ seperti yang sudah dirancang awal.

Kecoh di media sosial kisah sebuah agensi pelancongan yang didakwa telah membuat ‘onar’ sehingga mangsa melakukan tunjuk perasaan di ibu pejabat syarikat berkenaan yang terletak di Putrajaya.

"Masa minta payment umrah tak boleh lambat kalau tak denda, bila minta refund kena tunggu pula 14 hari, rupa-rupanya.."

Ketika dihubungi mStar, salah seorang mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Ina berang apabila impiannya untuk menunaikan umrah bersama 10 ahli keluarga yang lain akhirnya musnah.

Ina berkata, ini merupakan kali pertama dia berurusan dengan syarikat berkenaan dan tidak menyangka akan ditimpa nasib sebegini.

Bukan sahaja urusan menunaikan umrah dibatalkan, apa yang lebih teruk, memo yang diterima hanya sekadar kepingan nota yang dihantar melalui WhatsApp dan dimaklumkan sehari sebelum tarikh penerbangan iaitu pada 28 Februari.

The breathtaking Ka’ba is where where you see thousands of Muslims from various races, ethnics and colors, prostrating in unison to Allah SWT.

Makkah merupakan kota paling suci bagi umat Islam. -Foto hiasan

“Sepatutnya 1 Mac (Rabu) saya terbang ke Jeddah dengan keluarga. Tiba-tiba agensi tu hantar memo dan maklumkan umrah terpaksa ditangguhkan. Ingatkan hantar tiket, lain pula yang sampai.

“Bila saya tanya sebab apa, macam-macam alasan mereka bagi. Memo yang dapat tu pun tak ada tandatangan atau pengesahan daripada orang atasan agensi tu. Maklumkan pun melalui WhatsApp bukan surat.

“Sebelum ni saya tunai umrah guna agensi lain dan ini merupakan kali pertama saya guna servis mereka. Tak sangka pula jadi macam ni sebab syarikat ni ada lesen yang sah,” ujarnya ketika dihubungi.

Tambah mangsa yang baru sahaja bersara setahun lalu, segala persiapan untuk ke sana telah dibuat dan anggaran keseluruhan kerugian adalah sebanyak RM95,000.

Sementara itu, Ina memberitahu dia juga berasa tidak puas hati apabila pihak agensi berkenaan hanya menghantar pekerja bawahan untuk berurusan menyelesaikan masalah ini.

Katanya, dia dimaklumkan bahawa pihak agensi memerlukan masa tiga hingga ke enam bulan untuk memproses pembayaran semula wang.

“Anggaran kos pakej umrah dengan segala kelengkapan dalam RM95,000 untuk 11 orang. Semua persiapan dah siap dan anak-anak pun semua seronok nak tunai umrah bersama. Saya rasa sedih sebab sebelum ni dah buat perancangan awal untuk aturkan cuti anak-anak.

“Paling rasa nak marah bila agensi tu hanya hantar pekerja biasa untuk selesaikan masalah ni. Bila tanya lebih-lebih, pekerja suruh rujuk pihak pengurusan. Masalahnya sehingga sekarang pihak atasan diam dan tiada sebarang maklum balas.

“Bila saya minta untuk refund, mereka minta sekurang-kurangnya 30 hari untuk selesai.

“Saya desak agensi untuk keluarkan surat bayaran balik dalam masa 14 hari. Lepas kena desak, barulah mereka keluarkan. Dari bulan Disember lagi agensi tu ambil duit dan siap beritahu kalau bayar lewat kena denda. Tetapi bila kami nak refund, macam-macam alasan bagi,” dakwanya lagi.

Pilgrims perform prayers and tawaf while maintaining social distancing in Masjid al-Haram, Mecca.

Bagi umat Islam umrah merupakan satu ibadah yang dituntut dalam Islam jika mampu. -Foto hiasan

Dalam pada itu, seorang lagi mangsa yang turut mengalami nasib sama meluahkan rasa sedih kerana berasa teraniaya.

Wanita berkenaan yang hanya mahu dikenali sebagai Nor berkata, dia memahami situasi yang menimpa agensi berkenaan serta masalah limpahan jemaah haji di Makkah.

Namun apa yang menimbulkan persoalan adalah bagaimana pihak atasan menguruskan perjalanan jemaah kerana agensi berkenaan merupakan sebuah syarikat pelancongan yang terkenal.

“Agensi tu memang wujud dan saya tahu di Makkah memang ada ramai jemaah yang pergi beribadah. Sebab di Arab sekarang tengah musim cuti sekolah tetapi kenapa tak beritahu awal-awal?

“Mereka janjikan 1 Mac penerbangan kami ke Jeddah tetapi dua hari lepas baru beritahu penerbangan tak ada. Lepas kena desak, akhirnya agensi keluarkan tarikh baharu iaitu pada 12 Mac. Semua dah gembira pada mulanya.

“Tapi salah seorang jemaah periksa tarikh yang diberikan dengan syarikat penerbangan, sekali keluar ‘penerbangan tidak sah’. Maksudnya tak wujud pun tarikh penerbangan tu.

“Kalau dah tahu limpahan jemaah di Makkah, kenapa masih lagi buka iklan untuk tunai umrah? Ahli untuk kumpulan saya ni seramai 120 orang dan semua masih menunggu bayaran balik atau tarikh penerbangan seterusnya. Saya dan suami habis lebih kurang RM 18,000,” ujarnya.

Sementara itu, Nor berkata, selepas apa yang berlaku, dia dan beberapa jemaah masih mahu meneruskan urusan umrah dengan agensi berkenaan.

Ada juga beberapa jemaah yang mendesak pihak agensi untuk mengeluarkan dokumen ‘hitam putih’ berkenaan bayaran balik.

“Saya masih lagi nak teruskan dengan agensi itu. Tetapi saya nak mereka tunaikan janji yang katanya akan belanja kami semua menaiki keretapi berkelajuan tinggi di sana tanpa dikenakan sebarang caj.

“Saya tak minta banyak, cuma berharap pihak agensi kotakan janji yang ditunda kepada jemaah dan selesaikan bayaran balik yang lain,” ujarnya lagi.

Bagaimanapun usaha mStar menghubungi pihak agensi berkenaan pada Rabu gagal serta pihak agensi berkenaan juga masih tidak mengeluarkan sebarang kenyataan berkaitan isu ini.

BACA: Amazon umum RM25.5 billion pelaburan di Malaysia, bakal bina pusat data

Tahukah anda kenapa kapal ‘Titanic’ tidak diangkat keluar dari laut? Ini sebabnya