Muhyiddin kata dia bukan suspek siasatan, SPRM pula kata sebaliknya. Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini mengesahkan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin antara suspek yang disiasat bagi projek Jana Wibawa.
Sumber SPRM berkata, dalam siasatan SPRM, Muhyiddin adalah suspek siasatan ketika beliau dipanggil memberi keterangan di SPRM.
Menurut sumber, selaku suspek, Muhyiddin tidak sepatutnya memberi ulasan berunsur spekulasi kerana perkara itu boleh mengganggu siasatan SPRM.
Siasatan juga sedang dijalankan terhadap beberapa individu termasuk bekas Menteri Kewangan.
Sumber berkata bekas Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz juga akan dipanggil untuk memberi keterangan dalam masa terdekat.
Semalam Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN), memaklumkan SPRM memanggil beliau untuk memberi kenyataan, bukan sebagai suspek dalam projek Jana Wibawa.
Menurutnya, beliau memberikan kerjasama yang baik ketika memberi kenyataan dan SPRM juga menjalankan tugas mereka dengan baik.
Begitupun, beliau menegaskan pasukan peguamnya sedang meneliti tindakan undang-undang terhadap beberapa tuduhan yang dilemparkan kepadanya.
Muhyiddin dilaporkan berkata, keterangan diberi adalah berkait penganugerahan kepada kontraktor dipilih bawah projek berkenaan, yang didakwa pihak tertentu bahawa berkemungkinan wujud tatacara perolehan tidak mengikut peraturan ditetapkan.
BACA:
Mencari pemberani, kitab injil berusia 1000 tahun dilelong RM220 juta