‘Kena tempias menu Rahmah agaknya’ – banyak restoran tiba-tiba turunkan harga makanan. Rata-rata pengguna media sosial meluahkan rasa terkejut mengetahui beberapa kedai makan yang tidak terlibat dengan program Menu Rahmah, turut menurunkan harga makanan di premis perniagaan mereka.
Penurunan harga makanan di kedai-kedai difahamkan kerana ‘tempias’ Menu Rahmah yang mula beroperasi di seluruh negara di 15,000 restoran sejak kelmarin.
Seperti yang dikongsi seorang pengguna Twitter @Injang_Nation, dia menyedari terdapat penurunan harga selepas menu yang biasanya dicaj sekitar RM8 hingga RM9, namun hari ini tidak sampai RM7 pun.
”Menu Rahmah tu dah start juai ka? Kedai makan kat tempat kerja aku pun tetiba hari ini macam murah pula?
”Menu sama ja dengan apa yang dok biasa makan. Selalu RM8-9, hari ini tetiba RM6.50. Sebab kesan dari Menu Rahmah tu ka gena (ke macam mana)?,” soalnya.
Ciapannya itu turut disokong individu menggunakan akaun @ashraf_jamill yang berdepan situasi sama mengatakan perubahan harga makanan agak ketara berbanding sebelum ini.
”Samalah tadi makan nasi dengan ayam paprik, 3 hingga 4 senduk juga kaut. Jumlah baru RM6. Air kosong sebab saya tak suka minum air manis. Selalu kena RM8 atau RM9,” tulis lelaki itu.
Disebabkan ada juga yang mengalami pengalaman sama, pemuda itu beranggapan memang terdapat penurunan membabitkan harga makanan.
”Maknanya memang ada kedai turunkan harga la. Bagus-bagus!” pujinya.
Kelmarin, rakyat Malaysia khususnya golongan B40 boleh menikmati makanan tengah hari dan malam masing-masing pada harga RM5 di hampir 15,000 premis makanan di seluruh negara melalui program Menu Rahmah.
Menu Rahmah adalah hidangan seimbang merangkumi nasi, satu pilihan protein iaitu ayam atau ikan dan sayuran yang ditawarkan untuk membantu golongan yang terkesan dengan kenaikan kos sara hidup ketika ini.
Restoran yang terlibat dalam program itu adalah ahli daripada tujuh persatuan antaranya Presma, Persatuan Pengusaha Restoran India Malaysia (Primas) serta Persatuan Pengusaha Tomyam Malaysia.
baca:
3 hari ponteng kerja, rupanya lelaki ini mati direnjat kabel pengecas telefon pintar
Jadi kawasan jual barang tiruan, USA masukkan Petaling Street dalam senarai ‘blacklist’