Kerajaan dijangka naikkan cukai ‘dosa’. Kerajaan mungkin akan menyemak semula cukai ‘dosa’ dalam Bajet 2023 yang bakal dibentangkan semula pada 24 Februari depan bagi mencari sumber kewangan tambahan berikutan tekanan daripada kenaikan perbelanjaan, termasuk pemberian subsidi.
Penganalisis ekonomi Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Business School, Prof Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid, berkata kali terakhir cukai ‘dosa’ dinaikkan adalah pada 2018, apabila Pakatan Harapan (PH) semasa itu mengambil alih sebagai kerajaan baharu.
Katanya, namun cukai yang dikenakan kepada sektor perjudian, minuman keras dan tembakau sudah pun tinggi, bukan hanya melalui cukai korporat sebanyak 24 peratus, tetapi juga pelbagai jenis cukai dan perlesenan.
“Sebagai contoh, cukai perjudian menyumbang kira-kira RM80 juta seminggu kepada kerajaan dengan cukai cabutan khas RM113.29 juta pada 2019 dan RM72.53 juta pada 2020.
“Kasino dan pengendali resort bersepadu, Genting dan Gen Malaysia sahaja membayar RM1.18 bilion cukai korporat untuk sembilan bulan pertama 2022.
“Pertaruhan nombor ramalan (NFO) Magnum dan Sports Toto membayar cukai pendapatan RM49.99 juta, manakala pembuat minuman keras, Carlsberg dan Heineken membayar cukai RM78.52 juta,” katanya kepada BH.
Mengulas lanjut, Dr Aimi berkata, menurut data Kementerian Kewangan (MOF), dari 2010 hingga September 2021, kerajaan mengutip RM20.11 bilion dalam duti eksais ke atas produk arak, manakala hasil cukai tembakau dianggarkan lebih RM5 bilion setahun atau lebih tiga peratus daripada jumlah penerimaan cukai.
“Memang sangat mudah untuk ‘menghukum’ sektor ini, tetapi dari segi aspek pertambahan pendapatan negara tidak begitu digalakkan kerana kebergantungan kepada hasil yang tidak berkelulusan syariah.
“Dari aspek perniagaan pula ia boleh memberikan kesan negatif kepada pelaburan asing jika cukai segmen ini dinaikkan kerana menunjukkan dasar kerajaan yang tidak mesra perniagaan, malah suka menekan perniagaan apabila mahukan pendapatan lebih,” katanya.
Sementara itu, pakar ekonomi dari Universiti Tun Abdul Razak, Prof Dr Barjoyai Bardai berpendapat langkah meningkatkan kadar cukai ‘dosa’ bukan sesuatu yang produktif kerana jumlah kutipannya tidak besar.
Malah, sebagai contoh katanya, apabila produk tembakau atau minuman keras dikenakan cukai lebih tinggi, jumlah jualannya menurun kerana pengguna beralih ke rokok seludup yang lebih murah.
“Jika kerajaan mahu menaikkan cukai kerana mahu menambahkan hasil, ini bukan caranya.
“Kaedah yang lebih baik ialah dengan meneliti pada cukai yang lebih produktif seperti cukai ke atas dividen atau cukai ke atas keuntungan modal.
“Jadi saya rasa kerajaan tidak perlu mengusik cukai ‘dosa’ ini untuk jangka pendek kerana hanya ada masa yang singkat untuk menyediakan Bajet 2023 ini.
“Sebaliknya, kita perlu menumpukan kepada aspek lain dan saya mengharapkan kerajaan berani menubuhkan tabung endowmen untuk perlindungan sosial dan ini tidak memerlukan cukai,” katanya.
BACA JUGA :
Duit RM881 Billion milik Elon Musk hilang
RM22,300 milik pelajar tingkatan 6 ghaib kena tipu sindiket pelaburan
Qatar negara ke-7 sekat pelancong China masuk
@wawanfood Tak cuba maka tak tahu. Rasai sendiri Sambal Garing Mata Biru keluaran kami. Pedas 3 minit di mulut.... #sambalikanbilis #sambalgaringbilis #ikanbilismatabirusabah #ikanbilismatabiru #ikanbilismatabirusabah #ikanbilismatabiru #ikanbilis #sambal ♬ Sunrise - Official Sound Studio