Kesalahan yang lelaki selalu buat masa cuci muka, stop kalau tak nak muka rosak. Masa cuci muka, ramai lelaki biasa buat kesilapan kerana mereka sering memandang remeh dengan penjagaan kulit muka. Jika dari awal mencuci muka anda sudah melakukan kesilapan, bimbang ia boleh mendatangkan masalah.
Ingat! Masalah jerawat, kulit berminyak dan pori-pori terbuka boleh menyerang kulit wajah yang tidak dicuci dengan bersih.
Bagi mengelakkan kulit anda bermasalah, tolong stop lakukan 8 kesilapan ini masa cuci muka.
1. Pilih produk yang salah
Sebelum membeli produk pencuci muka, anda kena tahu jenis kulit anda terlebih dahulu. Pastikan anda guna produk pencuci muka yang bersesuaian dengan jenis kulit kerana setiap produk pembersih wajah mempunyai kandungan yang berbeza-beza.
2. Guna produk dengan bahan alergik
Produk kecantikan juga bersifat alergik pada kulit. Jika anda miliki kulit sensitif, sila baca label bahan produk terlebih dahulu dan bertanyakan kepada pakar sama ada ia sesuai ataupun tidak untuk anda membeli. Jangan sembarangan membeli produk pencuci muka kerana jika tersalah, ia boleh menimbulkan masalah sekali gus merosakkan kulit.
3. Salah guna suhu air
Ada mitos mengatakan air panas berfungsi untuk membuka liang pori-pori kulit wajah manakala air sejuk pula untuk menutupi liang pori-pori. Sebenarnya air yang sesuai untuk anda mencuci muka adalah air suam. Wajah anda akan rasa lebih nyaman apabila menggunakan air suam.
4. Buat pengelupasan setiap hari
Pengelupasan merupakan cara efektif untuk membuang sel-sel kulit mati. Pastikan anda menggunakan dua kali seminggu. Ia tidak boleh digunakan setiap hari kerana produk pengelupasan mempunyai tekstur skrub yang kasar. Elak sental dengan kasar pada kulit kerana ia boleh merosakkan kulit. Sebaiknya sental dengan lembut agar segala sel kulit mati dapat disingkirkan.
5. Bilas wajah dengan cara yang salah
Jika dalam keadaan tergesa-gesa, anda cenderung untuk mencuci muka ala kadar sahaja. Perlu diingatkan, sisa-sisa sabun yang melekat pada kulit wajah jika tidak dibersihkan sepenuhnya boleh membuatkan liang pori-pori tersumbat dan kulit menjadi kering. Selalunya bahagian wajah yang paling jarang dibilas adalah sekitar rahang, garis rambut dan hidung. Oleh itu, berikan perhatian di bahagian-bahagian ini agar keseluruhan kulit wajah anda dapat dibersihkan dengan sebaiknya.
6. Terlalu kerap cuci muka
Mencuci muka hanya boleh dilakukan dua kali sehari sahaja. Lebih dari itu, ia hanya akan merosakkan kulit dan menjadikan kulit anda lebih berminyak. Jika sudah dua kali anda mencuci muka dengan pembersih wajah tapi anda masih ingin mencucinya lagi, gunakan sahaja air suam untuk membersihkan wajah.
7. Cara salah mengeringkan kulit
Selepas membersihkan muka, gunakan sehelai tuala yang bersih untuk mengelap dan mengeringkan wajah. Teknik yang betul adalah dengan menepuk tuala secara lembut pada wajah dan bukannya menggosok tuala pada kulit wajah dengan kasar. Kesilapan ini akan merosakkan struktur kulit anda yang lembut, jadi elakkan.
8. Tak pakai krim pelindung matahari
Anda takut matahari boleh membuatkan kulit anda gelap. Tapi anda masih mengabaikan pemakaian krim pelindung matahari. Krim ini bukan sahaja mengelakkan kulit anda gelap, malah memberi perlindungan terhadap sinaran UV. Bagi menghindari kulit anda rosak dan bermasalah, pastikan anda pakai krim pelindung matahari sebelum keluar rumah.