Dakwaan pemimpin Umno kata menteri Pas ‘cap ayam’, ini respon Tuan Ibrahim. PAS tidak terkesan dan enggan melayan dakwaan yang melabelkan menteri daripada parti itu sebagai ‘cap ayam’ sehingga menjadi beban besar kepada pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata barisan menteri daripada PAS sudah melaksanakan tugas yang diberikan mengikut portfolio masing-masing.
Beliau berkata, pihaknya juga menyerahkan kepada Perdana Menteri dan rakyat untuk membuat penilaian terhadap hasil prestasi kerja mereka.
“Saya nak tengok juga siapa Menteri PAS yang ‘cap ayam’ itu, bukan dia yang buat penilaian, penilaian prestasi Menteri dinilai oleh Perdana Menteri, bukan orang luar, yang tak ada kena mengena, yang ada kepentingan peribadi.
“Bagi saya, yang berhak menilai selain daripada rakyat ialah Perdana Menteri mengenai Kabinet dia dan kita pun sentiasa ada pertemuan, pelaporan dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran Projek Pemuliharaan Muara Sungai Merchang dan Projek Pengawalan Hakisan Pantai di Pantai Marang di Dewan Sivik Merchang, di sini, hari ini.
Tuan Ibrahim yang juga Menteri Alam Sekitar dan Air berkata, pertemuan antara Perdana Menteri bersama menteri dan timbalan menteri juga sentiasa diadakan.
“Alhamdullilah, kita (iaitu) Menteri PAS, Timbalan Menteri, kita adakan pertemuan dengan Perdana Menteri untuk kita berkongsi, tukar pendapat apa yang perkara perlu kita baiki. Setakat ini, Alhamdulillah prestasi kita,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed, menempelak prestasi ditunjukkan Menteri Kabinet daripada PAS yang didakwa gagal memikul tanggungjawab dengan baik.
Bekas Ahli Parlimen Pulai itu dilaporkan berkata, kelemahan kepemimpinan parti berkenaan turut menyebabkan Ismail Sabri dilihat perlu menanggung pelbagai masalah negara.
Nur Jazlan turut menyenaraikan beberapa Menteri Kabinet daripada PAS yang dilihat gagal melaksanakan tanggungjawab seperti yang diamanahkan kepada mereka, termasuk Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang.
BACA:
Timbalan Menteri dari Umno gesa Ismail Sabri pecat Tengku Zafrul
Tajuddin dipecat dari Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno
Spekulasi rombakan kabinet bertiup kencang, lebih ramai menteri Umno