Kena ‘kencing’, A. Aida nekad saman Amelia Henderson dan Idris Khan. Penerbit dan pengarah, Datuk A Aida, 52, tidak akan bertolak ansur dan akan meneruskan saman terhadap dua pelakon tanah air, Amelia Henderson dan Idris Khan kerana melanggar penjanjian kontrak penggambaran sebuah drama terbitan A Aida Production, Sekali Lagi Cinta Kembali.
Menurut A Aida yang juga pemilik syarikat produksi A Aida Production, kedua-dua pelakon tersebut yang juga hero dan heroin untuk drama terbabit didakwa menarik diri pada saat akhir dengan memberi alasan yang tidak munasabah.
“Sebenarnya ini kali ketiga saya ‘dikencing’ oleh hero dan heroin saya. Dulu pernah terjadi tapi masa itu saya tak ambil tindakan, tapi kali ini saya ambil tindakan kerana penarikan diri itu berlaku pada saat akhir.
“Esok iaitu 16 Jun penggambaran nak dimulakan, tapi 15 Jun, pihak pengurusnya memberitahu dia (Amelia) mahu menarik diri.
“Saya tanya pada pihak pengurusan Idris Khan mengapa dia mahu menarik diri. Tak tahu betul atau tidak tapi pihak pengurusannya menyatakan dia ambil tawaran berlakon drama ini kerana Amelia Henderson. Bila Amelia tarik diri dia pun mahu tak tarik diri.
“Saya pun tersentap dan terkedu kerana tidak profesional langsung. Kita sudah tanda tangan kontrak lama iaitu dua hingga tiga bulan sebelumnya. Dan Mei lalu saya lock dia sebab di Malaysia ini nak cari pelakon watak hero dan heroin bukan senang. Kedua-duanya sudah menandatangi kontrak dan lima peratus bayaran pendahuluan juga sudah diambil,” katanya.
A Aida berkata demikian semasa ditemui pada satu sidang media yang diadakan di ibu kota, hari ini.
Turut hadir adalah pengarah drama tersebut, Riza Baharudin.
Selain itu, kata Aida, dia turut memaklumkan pengarahnya, Riza sudah menelefon pihak Amelia dan Idris, bagaimanapun panggilan tidak berjawab.
Ekoran penarikan diri itu, A Aida berkata dia menanggung kerugian produksi sebanyak lebih kurang RM150,000.
“Banyak kerugiannya sebab seminggu kita nak buat penggambaran itu kita sudah bayar banyak benda dari segi kelengkapan, pengarah, lokasi dan sebagainya. Semuanya dalam ratusan ribu sebab bukan main-main. Ini drama 28 episod dan projek ini bernilai RM1 juta. Bukannya projek ratusan ribu.
“Anggaran bayaran yang saya sudah bawa keluar dalam RM150,000 untuk produksi ini. Jadi saya sangat sedih bila sikap tidak profesional ini berlaku.
“Saya sebagai Timbalan Presiden Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM), saya akan mengarahkan kepada semua ahli saya dalam 1,000 orang untuk ‘blacklist’ pelakon sebegini kerana mereka menyusahkan kita sebagai penerbit,” katanya.
Tambah A Aida, tindakan ini untuk menjadi pengajaran dan untuk menanggung balik kerugian yang dihadapi.
Dalam pada itu, peguambela dan peguamcara dari Zulpadli dan Edham yang mewakili A Aida iaitu Ashmadi Othman berkata, tujuan sidang media itu diadakan adalah lebih kepada tindakan yang bakal diambil oleh A Aida bersama A Aida Productuon ke atas dua orang artis yang terbabit dalam drama Sekali Lagi Cinta Kembali.
“Kami sekarang dalam proses menyaman dua orang artis tersebut iaitu Amelia dan Idris yang terbabit secara langsung dalam penggambaran drama Sekali Lagi Cinta Kembali.
“Saya diberi arahan untuk Datuk A Aida untuk mengambil tindakan dan proses tuntutan sudah berlaku di mana kami sedang di dalam proses tindakan lanjut di mahkamah.
“Pelanggaran kontrak memang berlaku, mereka sudah ambil bayaran pendahuluan dan maklumat jadual berkenaan bila mereka boleh menjalankan penggambaran juga sudah ‘lock’. Jadi terang-terangan pemungkiran kontrak sudah berlaku,” katanya.
Menurut Ashmasi, proses tindakan akan diambil dalam masa sebulan dan pihak peguam sudah mengeluarkan surat pemakluman kepada kedua-dua pelakon terbabit pada Rabu lalu.
“A Aida Production dan pihak kami mengambil langkah pantas dengan mengemukakan surat pada Rabu lepas. Surat tu dalam perjalanan sekarang dan pihak A Aida Productionada menyebut di dalam surat tuntutan mereka sudah mungkir perjanjian dan ada beberapa perkara lain menyusul,” katanya.
Sementara itu, pengarah, Riza memaklumkan, dia menerima pesanan Whatsapp daripada pengurus Amelia sehari sebelum penggambaran dijalankan, memaklumkan tindakannya untuk menarik diri.
“Esok nak ‘shooting’ tapi hari ini dapat mesej dari pengurusnya, Amelia menarik diri kerana beberapa faktor. Berkenaan Idris pula, saya dapat tahu dari pengurusnya juga. Pada sebelah malam 15 Jun, Amelia menarik diri dan keesokan paginya pada 16 Jun, pengurus mereka dari Shu Management pula menyatakan tindakan Idris untuk menarik diri.
“Masa sesi ‘script reading’, kedua-duanya menunjukkan minat nak berlakon. Tapi Amelia memberitahu menerusi pengurusnya, skrip tak ikut kehendak dia tapi ‘script reading’ sudah dijalankan tiga hari sebelumnya.
“Kalau diikutkan, ini adalah pengalaman pertama saya. Sebelum ini saya dan Amelia OK saja tapi bila begini, nampak dia seperti tidak hormat pada saya sebagai pengarah. Saya tak mahu dia buat begini pada pengarah lain. Saya pun mungkin akan bekerja dengan dia lagi selepas ini, jadi tak mahu perkara ini berulang,” katanya.
BACA:
Timbalan Menteri dari Umno gesa Ismail Sabri pecat Tengku Zafrul
Buat bising dalam surau, pakcik tolak budak sampai jatuh tergolek buat netizen bengang
Kerajaan tak jadi apungkan harga ayam, bakal umum harga siling baharu