1MDB : Husni Hanadzlah buka cerita sebenar tentang Najib

Oleh INFORAKYAT

1MDB : Husni Hanadzlah buka cerita sebenar tentang Najib. Bekas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah memberitahu Mahkamah Tinggi, Datuk Seri Najib Razak patut berasa bimbang dan mengambil tindakan berhubung pelaburan AS$1 bilion 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dalam syarikat usaha sama (JVCo) PetroSaudi International Ltd (PSI) kerana ia boleh menjejaskan kewangan negara.

Menurut Ahmad Husni ketika disoal balas oleh peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, sebagai perdana menteri ketika itu yang juga pemimpin tertinggi negara selain mempunyai kuasa melantik dan memecat pengarah syarikat pelaburan strategik negara itu, Najib boleh menghubungi pengurusan 1MDB dan mula bertindak.

“Walaupun Najib pernah beritahu saya supaya tidak masuk campur dalam perkara itu, ada beberapa kali saya tetap berjumpa dengannya untuk menyuarakan perkara berkenaan. Hingga 2016 baru beliau mengambil tindakan dengan memecat Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi.

“Beliau (Najib) hanya berkata, bahawa Good Star akan membuat pembayaran kepada PetroSaudi. Beliau patut bertindak secepat mungkin, tetapi tidak berbuat apa-apa. Jika saya seorang perdana menteri, sudah tentu saya akan bertindak kerana ia akan menjejaskan kewangan negara.

“Saya bukan menghina perdana menteri. Saya bercakap melalui perspektif saya, ini mengenai mereka (1MDB) pinjam duit yang dijamin oleh kerajaan,” katanya dalam perbicaraan membabitkan Najib hari ini.

1MDB : Husni Hanadzlah buka cerita sebenar tentang Najib

Najib, 68, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Ahmad Husni sebelum ini memberitahu mahkamah, beliau bertemu Najib di pejabat beliau dan menyatakan 1MDB tidak sepatutnya membuat pelaburan usaha sama dengan PSI kerana syarikat ini masih dalam proses mencari gali minyak dan sekiranya minyak tidak ditemui, pelaburan usaha sama akan hangus.

Shahrol Azral melalui keterangannya di mahkamah sebelum ini, berkata Pengerusi 1MDB ketika itu, Tan Sri Mohd Bakke Salleh tidak berpuas hati dengan pembayaran AS$700 juta ke akaun Good Star Limited milik ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low, yang juga syarikat sekutu PSI.

Melalui syarikat usaha sama (JVCo) 1MDB-PSI itu, 1MDB melakukan pembayaran dalam dua transaksi berbeza, masing-masing AS$700 juta ke akaun Good Star dan juga AS300 juta ke akaun JVCo.

Perjanjian usaha sama itu meninggalkan hutang berjumlah AS$700 juta disebabkan pindahan dana ke dalam Good Star.

Sementara itu, berlaku sedikit ketegangan ketika Muhammad Shafee menyoal saksi ke-20 pendakwaan itu mengenai surat dihantarnya kepada Najib pada 23 Ogos 2010 melalui Setiausaha Sulit Allahyarham Datuk Azlin Alias bagi menyuarakan kebimbangannya mengenai urusan 1MDB yang boleh menjejaskan Kerajaan dan Najib.

Menurut Muhammad Shafee, beliau mendapat arahan daripada anak guamnya (Najib) bahawa surat itu tidak pernah diterimanya dan Ahmad Husni tidak pernah menulis surat kepadanya dalam Bahasa Malaysia, apatah lagi dengan menulis perkataan Assalamualaikum dalam bahasa Arab.

Ahmad Husni yang memberikan penjelasannya, berkata surat itu adalah dalam kapasiti peribadi dan tidak pernah sepanjang hayatnya menulis ‘Assalamualaikum’ dalam bahasa Arab.

Ditanya Muhammad Shafee, bagaimana saksi itu dapat memastikan surat itu sampai ke tangan Najib, yang dijawabnya; “Kalau tidak sampai, ia bermakna pegawai tidak cekap.

Muhammad Shafee: Apa salahnya jika kamu mendapatkan pengesahan penerimaan surat itu daripada Azlin?

Ahmad Husni: Saya dah cakap, ini surat peribadi, Apa masalah kamu?

Jika dia tidak terima, tidak terimalah.

Muhammad Shafee: Sama dalam perbicaraan SRC International dan sekarang dalam perbicaraan ini, kalau buat salah, kamu akan letakkan kesalahan kepada orang yang dah meninggal dunia.

Ahmad Husni: Jangan menjerit. Awak sebenarnya yang meletakkan kesalahan kepada orang lain.

Muhammad Shafee: Saya tidak menjerit dan bukan bersikap tidak hormat, saya cuma bercakap dengan nada yang kuat supaya semua dapat dengar, lagipun ada benda ini (sambil mengetuk penghadang lutsinar).

Sri Ram (Timbalan Pendakwa Raya Datuk Seri Gopal Sri Ram) bercakap lagi kuat.

Ahmad Husni: Sri Ram …Sri Ram.

BACA:

Menara Firaun setinggi 15KM, ini penjelasan saintifik

Guru tadika islam luah perasaan kepada Fedtri Yahya, “normal ke saya masih bergaji RM450 sebulan?”