Selepas lompat keluar Bersatu, Zuraida harap PM kekal jawatan menterinya

Oleh INFORAKYAT

Selepas lompat keluar Bersatu, Zuraida harap PM kekal jawatan menterinya. Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin berharap dapat mengekalkan jawatannya dalam Kabinet.

Mengakui mengharapkan ‘khabar yang baik’ dalam perjumpaan dijadualkan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob beberapa hari lagi, Ahli Parlimen Ampang itu berkata, harapannya adalah untuk menyelesaikan segala program dan perancangan kementerian diterajuinya.

Zuraida dilantik sebagai anggota Jemaah Menteri pada 27 Ogos 2021 ketika bersama BERSATU sebelum mengumumkan keluar parti itu pada 26 Mei lalu untuk menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM) dan kemudian diumumkan sebagai ‘presiden pengganti’ atau bakal presiden PBM pada 8 Jun.

“Perdana Menteri sudah umumkan, satu dunia sudah tahu (mengenai perjumpaan), saya mengharapkan berita baik. Ya, kekal jawatan itu (menteri) untuk habiskan program atau perancangan yang telah saya mulakan dan untuk stabilkan negara,” kata menteri berkenaan.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program ‘Enhancing Empowerment of Women’ di sini hari ini yang turut dihadiri Ahli Parlimen Sungai Siput, S Kesavan serta Presiden PBM Perak, Paul Yong Choo Kiong.

Selepas lompat keluar Bersatu, Zuraida harap PM kekal jawatan menterinya

Khamis lalu, media melaporkan Ismail Sabri akan bertemu Zuraida minggu ini bagi membincangkan kedudukan bekas Ketua Wanita PKR itu dalam Kabinet.

Menyusul kemudian, kenyataan Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang beliau sudah berhubung dengan Perdana Menteri untuk membincangkan kedudukan Ahli Parlimen Ampang berkenaan sebagai anggota Jemaah Menteri.

Muhyiddin berpandangan menteri berkenaan perlu diganti kerana jawatan disandangnya kini adalah atas kuota BERSATU, namun menyerahkan kepada Ismail Sabri untuk membuat keputusan kerana itu hak Perdana Menteri.

Terdahulu, Presiden PBM, Larry Sng meminta Ismail Sabri menimbang mengekalkan Zuraida sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi kerana Ahli Parlimen Ampang itu menunjukkan prestasi memberangsangkan sepanjang menjalankan tanggungjawabnya sebagai menteri.

Dalam perkembangan berkaitan, Zuraida yang juga Pengasas dan Presiden Majlis Pimpinan Politik Wanita (COMWEL) berkata, agenda pemberdayaan wanita dalam arena politik negara, khususnya di peringkat akar umbi sememangnya antara satu daripada enam tunjang perjuangan PBM.

“Secara keseluruhan kini, semua pihak yang berkecimpung dalam politik mempunyai peluang cerah untuk mendapatkan sokongan, semua ada peluang. Ia berkaitan bagaimana kita merancang pendekatan politik kita dalam mendapatkan sokongan pengundi.

“Ia (politik) sekarang sudah menjadi pasaran terbuka, tinggal bagaimana kita menjual produknya sahaja,” katanya.

BACA:

Anak muda selamba tayang slip gagal SPM di tiktok curi tumpuan

Anak Puteri Sarah dikejarkan ke hospital, enggan layan gosip Syamsul