Johnny Depp menang lawan Amber Heard di mahkamah, dapat RM65.7 Juta. Selepas enam minggu perbicaraan kes saman fitnah Johnny Depp, 58, terhadap bekas isteri, Amber Heard, 36, juri yang bersidang Mahkamah Circuit di Fairfax Country di sini, hari ini memutuskan pelakon Pirates of the Caribbean itu dibayar ganti rugi AS$15 juta (RM65.7 juta).
Juri memutuskan Depp dibayar AS$10 juta (RM43.8 juta) dalam bentuk ganti rugi pampasan dan AS$5 juta (RM21.9 juta) dalam bentuk ganti rugi punitif, lapor NBC News.
Juri juga membuat keputusan Heard dibayar ganti rugi pampasan sebanyak AS$2 juta (RM8.7 juta), dalam perbicaraan penuh kontroversi yang membabitkan pelbagai saksi dan bintang terkenal Hollywood itu.
Barisan tujuh juri mula memperhalusi dan membahaskan keterangan dikemukakan saksi kes saman Depp terhadap Heard sejak Jumaat lalu, lapor agensi.
Depp memfailkan saman fitnah terhadap Heard atas penulisannya untuk kolum Washington Post, dengan menuntut ganti rugi sebanyak AS$50 juta (RM218 juta).
Heard yang juga pelakon filem Aquaman, membalas dengan memfailkan saman menuntut AS$100 juta (RM437.8 juta) dan mendakwa dirinya mengalami ‘penderaan serta keganasan fizikal’ daripada Depp.
Dalam keterangan kepada mahkamah, Depp menafikan beliau pernah melakukan penderaan fizikal terhadap Heard, sebaliknya mendakwa wanita itu yang sering bertindak ganas.
Melalui kenyataan yang dimuat naik di Instagram (IG) kira-kira empat jam lalu, Depp meraikan kejayaan memenangi kes saman malu itu.
“Enam tahun lalu, hidup saya dan anak-anak termasuk mereka yang rapat dengan saya, juga mereka yang selama ini menyokong dan mempercayai saya, berubah sama sekali.
“Semuanya berlaku dalam sekelip mata. Tuduhan jenayah yang palsu dan serius dikenakan terhadap saya melalui media. Ini mencetuskan kebencian ramai yang berterusan biarpun tiada dakwaan dibuat ke atas saya.
“Perkara ini memberi impak terhadap kehidupan dan karier saya. Enam tahun kemudian, juri beri kehidupan saya semula… Saya sangat rendah diri,” katanya yang tersentuh dengan sokongan dan kasih sayang peminat sepanjang perbicaraan berlangsung.
Melalui kenyataan penuh emosi itu, Depp berharap usaha yang dilakukan bagi memulihkan maruahnya membantu insan lain yang mungkin berdepan situasi sama.
Depp berterima kasih kepada hakim, juri, kakitangan mahkamah dan semua pihak lain termasuk kumpulan peguam yang melakukan tugas terbaik membantunya menegakkan kebenaran.
Sementara itu, dalam kenyataannya, Heard meluahkan rasa kecewa dengan keputusan juri, lapor NBC News.
“Kekecewaan yang saya rasakan hari ini tidak mampu diungkap dengan kata-kata. Saya patah hati semua bukti yang dikemukakan tidak mencukupi.
“Saya lebih kecewa dengan impak keputusan juri ini terhadap wanita. Ini suatu ‘setback’ (langkah berundur) apabila wanita yang menegakkan hak namun akhirnya dimalukan.
“Ini suatu ‘setback’ apabila keganasan terhadap wanita tidak diberi perhatian serius.
“Saya sedih tewas kes ini. Tetapi saya lebih sedih apabila saya hilang hak yang saya fikir ada sebagai rakyat Amerika Syarikat (AS),” katanya. – AGENSI
BACA:
12 tahun ‘misteri’ kehilangan Anita Sarawak kini terjawab
Waspada semua, jangan panaskan 5 makanan ini dalam microwave
Perincian tarikh dan bayaran BKM fasa 2 untuk setiap kategori