Walaupun sudah berpuluh tahun memasak, pastinya ada hari yang deria rasa kita tidak berfungsi
Hingga menyebabkan makanan terlebih manis ataupun masin.
Jangan tergopah-gapah dan terus buang makanan tersebut,
ada pelbagai cara boleh dilakukan untuk menyelamatkan masakan tersebut.
Ini adalah lima petua yang anda boleh lakukan untuk makanan yang terlalu manis menurut Daily Makan.
1. Tambahkan sedikit garam
Cara pertama untuk kurangkan rasa manis dalam makanan dengan menambah sedikit lagi kandungan garam.
Jangan risau kalau anda terfikir bahawa makanan tersebut menjadi masin kerana ia tidak akan berlaku.
Malah, menambahkan garam ini lagi mampu mengimbangkan semula rasa manis yang terlajak tersebut.
2. Tambahkan rasa masam
Rasa manis juga akan menjadi kurang jika anda menambahkan makanan atau bahan yang mempunyai rasa masam.
Antara bahan yang boleh diletakkan adalah tomato, cuka, lemon atau belimbing buluh.
Bukan sahaja untuk kurangkan manis, malah cara ini juga boleh kurangkan rasa masin yang terlebih.
3. Tambah air
Mungkin ini merupakan solusi yang sudah diketahui ramai iaitu dengan menambah air ke dalam masakan yang terlajak manis.
Jika makanan tersebut adalah jenis berkuah, tidak menjadi masalah untuk anda menambah air kerana secara cepat air akan meresap rasa manis tersebut.
4. Tambah makanan bersifat neutral
Ini merupakan antara petua yang ramai dalam kalangan kita kurang tahu iaitu menambahkan bahan-bahan masakan bersifat neutral atau tidak mempunyai rasa.
Antara bahan yang boleh digunakan adalah tauhu, tempe, kentang, terung, tepung dan telur.
Rupanya makanan sebegini mampu mengimbangi rasa manis dan masam supaya jadi lebih enak.
5. Tambahkan rasa pedas
Berita baik untuk pencinta makanan pedas kerana bahan-bahan pedas boleh mengurangkan rasa manis dalam makanan.
Boleh tambah cili merah, cili padi, capsicum, paprika serta serbuk lada ke dalam makanan yang anda rasakan terlebih manis dari kebiasaan.
Lepas ini tak adalah membazir lauk jika ia terlebih manis, yang baru belajar memasak pun boleh amalkan tips ini.
Baca juga: Ingatkan sama je maksud deepavali dengan diwali, dj radio ini jelaskan perbezaannya