“4 tahun saya tak balik jumpa isteri dan anak, lalai dalam dosa, lepas tahu HIV+ baru sedar…”

Oleh JUNITA ABD RAHIM

Walaupun sudah diberi keluarga yang memahami tapi masih ada individu memilih untuk curang dan mencari ‘bahagia di luar’.

Bukan setakat ‘makan luar’, malah hal isteri dan anak langsung tidak di ambil tahu dek kerana lalai dalam melakukan maksiat.

Seorang pengguna TikTok memuat naik luahan hati seorang lelaki yang menghidap HIV positif selepas bertahun-bertahun membuat maksiat di belakang isteri.

“4 tahun saya tak balik jumpa isteri dan anak, lalai dalam dosa, lepas tahu HIV+ baru sedar…”

“Hi Encik. Saya seorang suami anak tiga. Saya dan isteri pjj (perhubungan jarak jauh) dan usia perkahwinan kami sudah hampir lapan tahun.

Kami pjj atas sebab urusan kerja. Isteri saya seorang kakitangan hospital berjawatan tinggi di jabatan kerajaan dan anak-anak isteri saya yang jaga lima tahun.

Saya dah curang dengan isteri saya tanpa pengetahuan dia. Hampir empat tahun saya tak balik jumpa isteri saya dan hanya video call untuk tengok anak malah duit nafkah hanya kadang-kadang sahaja bagi.

Saya tahu isteri saya syak saya ada perempuan lain. Tapi dia hanya mendiamkan diri dan tidak mempedulikan saya.

Saya tak salahkan isteri saya dengan kecurangan saya sebab kesilapan tu datang dari diri saya yang tak menjaga solat dan bergaul bebas sampai saya berzina.

Saya kenal isteri saya dari zaman belajar lagi dan selepas isteri saya habis belajar dan bekerja kami buat keputusan untuk berkahwin.

Walaupun masa saya berkawan dengan isteri saya. Banyak kali saya dah kantoi curang tapi isteri saya bagi peluang untuk saya berubah.

Empat tahun saya tak balik jumpa isteri saya dan anak dengan alasan kerja luar kawasan (outstation) dan sibuk kerja.

Tapi sebenarnya saya sedang bahagia dengan kecurangan saya dan dosa-dosa saya sehingga anak sakit, sekolah, makan atau minum pun saya tak peduli.

Semuanya isteri saya yang urus seorang diri. Empat tahun saya tak balik jumpa mereka. Status diri di Facebook (FB) isteri saya dah buang nama saya dan gambar perkahwinan saya dengan dia semua dah di padam.

Di Instagram (IG) pun sama gambar saya di padam. Hanya gambar dia dan anak saya sahaja. Bila di tanya, isteri saya tak balas dia hanya angkat video call untuk anak saya sahaja.

Dulu ke mana dia pergi dia akan minta izin dan bagi tahu dan akan ambil gambar. Selepas empat tahun isteri saya tidak pernah minta izin atau mengambil gambar lagi.

Bila saya bertanya dia hanya mendiamkan diri saja. Saya hanya dapat melihat daripada gambar yang dimuat naik di FB dan IG.

Saya fikir isteri saya curang dan ada lelaki lain. Tiap kali saya komen di gambar dia. Dia akan padam komen saya dan terus sekat saya di FB dan IG.

Malah nombor telefon saya di WhatsApp juga disekat isteri dan dia membeli nombor baru untuk anak-anak terus berhubung dengan saya.

Dua minggu saya demam, batuk kadand kadang hilang. Saya pula merokok jadi saya ingat ia hanya demam biasa.

Masa saya video call anak-anak saya batuk teruk, saya maklum nak pulang untuk berjumpa namun isteri tidak benarkan sebab anak baru sahaja baik daripada demam.

Esoknya saya buat medical checkup dan bagi tahu isteri saya untuk pastikan saya sihat dan hanya demam biasa.

Dalam dua hari keputusannya keluar. Hospital hubungi minta saya datang berjumpa dengan doktor.

Bila saya jumpa doktor dan doktor terangkan dengan saya mengenai keputusan saya. Saya disahkan ada HIV positif.

Allahhuakhbar! Masa tu baru saya nak ingat Allah. Masa itulah baru saya nak ingat isteri dan anak-anak.

Masa saya curang dan berzina, saya hanya pentingkan nafsu saya dan pentingkan diri saya sahaja.

Sebulan saya tak berhubung dengan anak-anak lepas balik dari hospital. tapi saya fikir sampai bila nak menipu.

Pukul 8.30 malam saya hubungi anak tapi isteri tak bagi cakap lama sebab anak nak buat kerja sekolah.

Saya tanya isteri saya boleh kita bercakap berdua, isteri saya jawab kalau hal tak penting tak payah cakap dia sibuk nak uruskan mereka buat kerja sekolah dan siapkan bekal makanan untuk esok.

Saya cakap sekejap sahaja. Saya bagi tahu keputusan darah saya disahkan HIV positif. Saya menangis seteruknya masa tengah bercakap dengan isteri saya.

Isteri saya diam hanya diam, diam dan diam. Bila dah lama diam isteri saya pun bercakap.

“Awak curang dengan saya selama ini!Saya dah lama syak tapi saya tak cukup bukti. Hari-hari saya doa minta Allah bagi petunjuk. Alhamdulillah! Syak saya tak silap memang awak curang.”

Saya cuba pujuk isteri saya tapi jawapannya dosa yang saya buat jangan libatkan dia dan anak-anak saya.

Sepanjang tempoh berkawan daripada belajar dan selama dia menjadi isteri. Tak pernah sekali pun dia curang dan dia cakap dia dah terbiasa tanpa saya anak saya pun tak kisah saya ada ke tak.

Sebelum isteri saya letak telefon. Isteri saya minta saya ceraikan dia dengan cara baik sebab tak perlu buang masa dan jangan siksa batin dan hati dia lagi.

Peluang yg pernah dia bagi selama ini tak pernah saya hargai dan tak pernah saya berterima kasih.

Minggu depan adalah hari lahir saya dan isteri saya minta tarikh hari lahir saya sebagai tarikh lafaz cerai kami.

Curang bahagianya hanya sekejap dan zina seronoknya tak kekal lama. Betul, kifarah Allah itu ada.

Atas dosa saya, Allah bagi saya penyakit HIV positif. Saya tak nak hilang isteri dan anak saya.

Duit banyak pun tak guna kalau hidup saya derita dan sengsara. Betul curang itu pilihan tapi saya yang tak fikir semua itu masa saya tengah bahagia.

Seteruk mana pasangan kita, sejauh mana hubungan kita dengan pasangan bukan alasan untuk kita pilih curang. Curang dan zina hukumnya haram dan berdosa,” luahan hati lelaki tersebut.

Baca juga: Perut kura-kura jadi buruan kaki judi, dakwa ada nombor ‘ong’ dekat situ