3 Penjuru : Umno berisiko kalah – Mubarak

3 Penjuru : Umno berisiko kalah – Mubarak

Sekiranya berlaku pertembungan tiga penjuru membabitkan rakan sekutu dan pembangkang dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), UMNO dikhuatiri bakal tumbang malah mungkin tidak mampu lagi untuk bangkit.

Pandangan itu disuarakan Presiden Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak), Tan Sri Abdul Aziz Rahman yang berkata, UMNO perlu mengutamakan survival politik Melayu Islam.

Justeru, tegasnya, sekiranya jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) ditawarkan kepada mereka, ia diyakini mampu menghalang berlakunya pertembungan tiga penjuru sedemikian dalam pilihan raya.

“Sekiranya desas-desus tawaran jawatan TPM itu adalah benar, UMNO perlu muhasabah diri dan sukarela menerimanya demi menjayakan agenda penyatuan ummah dan orang Melayu,” katanya kepada Astro AWANI.

Tambahnya, UMNO perlu secara sukarela menerima jawatan tersebut sebagai lambang komitmen perkongsian kuasa antara parti itu dengan Parti Pribumi Melayu Malaysia (Bersatu).

Beliau mengulas pandangan disuarakan penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Md Shukri Shuib kepada Astro AWANI pada Rabu.

Menurutnya, saranan memberikan jawatan itu kepada UMNO adalah wajar terutamanya dalam meraikan hubungan strategiknya dengan Bersatu.

Astro AWANI pada Khamis melaporkan pertandingan melibatkan tiga penjuru sewaktu PRU15 nanti diibarat seperti pepatah ‘alah bisa, tegal biasa’ dalam senario pilihan raya di negara ini.

Timbalan Pengarah Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Dr Kartini Aboo Talib menjelaskan, ia juga senario biasa yang sudah berlaku pada Pilihan Raya Negeri Sabah tahun lalu serta PRU14 lepas.

Bagaimanapun jelasnya, pertandingan tiga penjuru tidak akan merealisasikan hasrat, jika mahu mengekalkan kepimpinan Melayu dalam negara pelbagai etnik.

Ujarnya, ini adalah masa parti-parti Melayu perlu bergabung dan bersedia mengetepikan soal ketamakan dan kuasa.

Berita penuh : https://www.mynetizen.com/berita-terkini-umno-berisiko-tumbang-pada-pru-15/