3 kluster baru Covid-19 dikesan, kes semakin meningkat

3 kluster baru Covid-19 dikesan, kes semakin meningkat

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini merekodkan 3 kluster baru Covid-19 terdiri daripada kluster Elsa, PUI Ramnad dan PUI Al Khobar.

Ketua Pengarah Kesihataan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ketiga-tiga kluster itu adalah penularan dalam negara yang berpunca daripada kes import.

Katanya, bagi kluster Elsa, kes indeks bagi kluster itu merupakan seorang bukan warganegara, kes ke-8,839 yang merupakan seorang kru kapal dan mempunyai sejarah perjalanan menaiki kapal terbang dari Filipina dan transit di Korea Selatan.

“Beliau masuk ke Malaysia pada 16 Julai untuk mula bekerja. Saringan Covid-19 di Filipina pada 14 Julai dilaporkan negatif.

“Beliau kemudian menaiki kapal terbang ke Kuantan dan bermalam di sebuah hotel di sana sebelum dibawa ke kapal untuk menjalani kuarantin atas kapal selepas mendapat kelulusan Jabatan Laut,” katanya.

Noor Hisham berkata, 5 hari kemudian, iaitu pada 20 Julai, beliau mula mengalami gejala, dikesan positif pada 22 Julai dan dimasukkan ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Pahang.

“Susulan itu saringan kontak rapat dijalankan dan setakat ini seramai 108 disaring dengan 3 dikesan positif Covid-19 yang melibatkan 2 bukan warganegara dan 1 warganegara.

“Selebihnya, 48 adalah negatif dan 57 masih menunggu keputusan,” katanya.

Beliau berkata, kluster ke-2 pula membabitkan kluster PUI Ramnad. Kes indeks kluster ini merupakan seorang warganegara Malaysia yang pulang dari India pada 6 Julai dan merupakan kes ke-8,817.

“Saringan Covid-19 di pintu masuk antarabangsa KLIA didapati negatif. Beliau sudah menjalani perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah (HSO) dan mula mengalami gejala ringan pada 19 Jul 2020.

“Saringan hari ke-13 HSO didapati positif dan beliau sudah dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh, Selangor,” katanya.

Susulan itu, Noor Hisham berkata, KKM sudah menjalankan siasatan dan saringan terhadap kontak rapat dan setakat ini, seramai 18 orang sudah disaring, 6 ahli keluarga dan 12 penumpang pesawat.

“Daripada jumlah ini, 2 dikesan positif Covid-19, iaitu kedua-dua adalah ahli keluarga kes indeks. Manakala 13 didapati negatif dan 3 lagi masih menunggu keputusan,” katanya.

Kluster ketiga pula adalah kluster PUI Al Khobar. Menurut Hisham, kes indeks kluster ini merupakan seorang warganegara Malaysia yang pulang dari Arab Saudi pada 10 Julai lalu dan merupakan kes ke-8,803.

“Saringan Covid-19 di pintu masuk antarabangsa KLIA didapati negatif. Beliau menjalani HSO bersama 5 orang ahli keluarga di rumah keluarga mereka. Kelima-lima mereka pulang dari Arab Saudi bersama kes indeks menaiki pesawat sama.

“Rumah tersebut turut didiami oleh 2 orang ahli keluarga yang lain. Kes indeks mula mengalami gejala pada 18 Julai dan dikesan positif Covid-19 pada 20 Julai,” katanya.

Katanya, susulan itu 7 orang ahli keluarganya sudah disaring dengan 1 dikesan positif Covid-19 dan 6 dikesan negatif.

“Ketika ini, siasatan dan saringan kontak rapat diteruskan, termasuk saringan penumpang lain pesawat yang dinaiki kes indeks kluster ini,” katanya.

Berita penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2020/07/24/covid-19-3-lagi-kluster-baru-dikesan/

COMMENTS