AWAN kemuka tujuh syor kepada Majlis Presiden Pakatan Harapan

Angkatan Wanita Amanah Negara (AWAN) Nasional hari ini mengemukakan tujuh syor untuk perhatian dan tindakan Majlis Presiden Pakatan Harapan.

Ketua AWAN Nasional, Senator Aiman Athirah Al-Jundi berkata, syor pertama daripada tujuh itu adalah, Majlis Presiden sendiri yang mengeluarkan arahan untuk pemilihan baharu Ketua Wanita PH Malaysia.

“Yang kemudiannya diikuti dengan pemilihan baharu Ketua Wanita PH Negeri-Negeri yang terlibat dengan pengesahan. Syor kedua iaitu disegerakan Cadangan Pindaan Perlembagaan Pakatan Harapan bagi memastikan keabsahan organisasi Wanita PH.

“Ketiga, AWAN mengusulkan Pindaan Perlembagaan Pakatan Harapan dengan memasukkan secara jelas Tafsiran, Kedudukan, Keanggotaan, Urus Tadbir, Tugas, Kuasa dan Tanggungjawab ‘Majlis Pimpinan Wanita Pakatan Harapan’ dan beberapa hal penting bersangkutan dengannya seperti yang diperincikan.

“Perincian yang dinyatakan adalah memasukkan Tafsiran ‘Majlis Pimpinan Wanita Pakatan Harapan Malaysia’; memperjelaskan kedudukannya (Dalam Fasal 3); Memperkasakan Urus Tadbirnya (Dalam Fasal 4); Keanggotaannya (Dalam Fasal 6 dan 7.

“Perincian terakhir mewujudkan Fasal-Fasal Baharu yang khusus berhubung Majlis Pimpinan Wanita Pakatan Harapan Malaysia, Majlis Pimpinan Wanita Pakatan Harapan Negeri dan Jawatankuasa Penyelaras Wanita Pakatan Harapan Parlimen yang akan memperjelaskan tugas, kuasa dan tanggungjawab, keanggotaan dan tugas setiap pemegang jawatan, mesyuarat, korum mesyuarat, dan keputusan-keputusan berdasarkan suara majoriti seperti mana yang digunapakai di peringkat Majlis Presiden, Majlis Pimpinan Negeri (Fasal 21) dan Jawatankuasa Penyelaras Parlimen (Fasal 22),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media AWAN di Ibu Pejabat AMANAH, hari ini berkaitan memorandum AWAN yang dihantar kepada Majlis Presiden Pakatan Harapan.

Menurut Aiman Athirah, syor keempat adalah Majlis Pimpinan Wanita Pakatan Harapan Malaysia dan Negeri-Negeri dibentuk semula mengikut Tatacara Pembentukan Majlis Presiden PH ataupun Tatacara Yang Dipersetujui Bersama Konsensus oleh keempat-empat sayap parti komponen PH.

“Syor kelima pula, dibuat ketetapan agar Majlis Pimpinan Wanita PH Malaysia terdiri daripada Kepimpinan Top 7 Sayap Wanita setiap parti komponen PH. Korum ini perlu segera bersidang bagi membincangkan pemilihan Ketua Wanita Pakatan Harapan Malaysia, Struktur, Halatuju dan Program-Program Strategik Wanita PH ke hadapan.

“Bagi syor keenam, disyorkan pembentukan segera Jawatankuasa Penyelaras Wanita Parlimen-Parlimen bagi memastikan kelancaran Tadbir Urus Wanita PH secara holistik di semua peringkat.

“Manakala, untuk syor terakhir kami mengesyorkan Jawatan Ketua Wanita PH disandang secara amalan penggiliran oleh parti-parti komponen PH. Ini bagi memberi peluang yang saksama kepada semua untuk memimpin, sekali gus mengurangkan pergeseran dan pergelutan yang akhirnya menatijahkan perpecahan atau paling tidak kelesuan,” ujarnya lagi.

Aiman Athirah berkata, pihaknya telah menyerahkan memorandum kepada Majlis Presiden Pakatan Harapan hari ini bertujuan mengemukakan cadangan Pindaan Perlembagaan Pakatan Harapan dengan memasukkan secara jelas tafsiran, kedudukan, keanggotaan, urus tadbir, tugas, kuasa dan tanggungjawab ‘Majlis Pimpinan Wanita Pakatan Harapan’ dan beberapa hal penting yang bersangkutan dengannya.66

Berita Asal https://malaysiadateline.com/awan-kemuka-tujuh-syor-kepada-majlis-presiden-pakatan-harapan/