Peniaga dan pengguna mula gemar e-tunai

Kaedah transaksi pembayaran tanpa tunai dilihat semakin menjadi pilihan dalam kalangan rakyat dan peniaga dalam usaha menggerakkan negara ke arah masyarakat tanpa tunai.

Malah golongan peniaga mula mengambil pelbagai langkah dalam meningkatkan platform e-pembayaran termasuk peniaga gerai makanan.

Bagi Muhshien Mohd Kamil, 38, meskipun membuka gerai menjual kuetiau goreng, beliau tidak mahu ketinggalan dalam teknologi digital, malah telah mengambil inisiatif mengaktifkan akaun perkhidmatan aplikasi e-dompet Touch n’ Go bagi urusan jual beli.

“Hari ini teknolgi bergerak pantas, saya sebagai peniaga perlu seiring mengikuti peredaran zaman. Jadi aplikasi e-dompet ini sememangnya agak praktikal untuk perniagaan sebab saya tidak perlu lagi menyediakan wang kecil.

“Transaksi juga sangat efektif sebab bayaran memang boleh masuk terus ke dalam akaun saya apabila pengguna hanya mengimbas kod bar gerai saya,” katanya ketika di temui Bernama di sini, baru-baru ini. 

Muhshien berkata kebanyakan pelanggannya mahu membuat pembayaran secara elektronik dan penggunaannya semakin meluas dan mendapat sambutan khususnya daripada golongan muda dan pertengahan.

Bagi peniaga gerai makanan Muhd Ammar Wan Mohd Saidi, 25, penggunaan aplikasi e-dompet itu sudah agak meluas dan boleh mengelakkan masalah wang palsu yang sering diterima peniaga. 

“Ramai yang sudah jadikan kaedah ini sebagai cara untuk membuat bayaran,” katanya sambil mengakui bahawa transaksi melalui e-dompet ternyata memberi kebaikan dan kemudahan bukan sahaja kepada peniaga bahkan juga kepada pelanggan.

Sementara itu, seorang pelanggan, Syafiqah Khairudin, 34, berkata beliau menjadikan kaedah pembayaran tanpa wang tunai itu sebagai altenatif sekiranya mendapati wang tunainya tidak mencukupi. 

“Saya suka kaedah ini sebab selalunya kalau nak guna kad kredit atau kad debit kita kena pergi pasar raya atau kedai makan yang besar-besar tetapi sekarang di gerai pun kita boleh gunakan kaedah pembayaran tanpa wang tunai,” katanya.

Bagi kedai serbaneka yang beroperasi 24 jam, penggunaan e-dompet itu dilihat lebih selamat dan boleh mengurangkan risiko jenayah samun atau rompakan.

“Sebagai kedai yang beroperasi 24 jam sudah tentu ia menimbulkan kerisauan kalau simpan duit terlalu lama di kaunter…tapi dengan e-dompet ini memang dapat jamin dari segi keselamatan kerana pekerja tidak perlu simpan duit terlalu banyak di kaunter terutama pada waktu malam,” kata penolong pengurus kedai serbaneka 7-Eleven, Muhammad Amir Ahmad Kushairi, 22.

Seorang juruwang di sebuah restoran makanan Korea, Nur Juliyana Mohd Nor, 25, berkata penggunaan e-dompet memudahkan urusan transaksi pembayaran dan mengatasi masalah barisan yang panjang untuk membuat bayaran.

“Mereka hanya perlu semak dan imbas kod produk mengunakkan telefon  masing-masing dan tidak perlu bawa wang tunai terlalu banyak,” katanya.

Bagi pekerja kedai minuman Naim Danial Ridzuan, 18, penggunaan aplikasi e-dompet bukan sahaja memudahkan pengguna dan peniaga, malah orang ramai juga mendapat manfaat dari segi promosi.

“Promosi ini ada tarikh-tarikh tertentu dan pengguna akan mendapat manfaat dari segi potongan harga lebih murah berbanding pembayaran tunai seperti biasa di kaunter,” katanya.