Kes Mujahid Saman Asyraf Wajdi Ditangguh

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur di Jalan Duta hari ini menangguhkan kes saman fitnah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof ke atas Ketua Pemuda Umno Malaysia, Dato’ Dr Asyraf Wajdi Dusuki bagi membolehkan kedua-dua pihak melengkapkan kertas kausa tindakan di Mahkamah.

Kes yang didengar di hadapan Hakim Dato’ Sri Latifah Mohd Tahar itu ditetapkan untuk dipanggil semula pada 5/5/2020.

Asyraf yang sebelum ini secara berterusan mengeluarkan kenyataan terhadap Mujahid. Antara isu yang ditimbulkan oleh Asyraf ialah berkaitan dengan penjualan aset Tabung Haji di mana Asyraf telah menimbulkan Mujahid gagal dalam tugasnya sebagai seorang menteri. Antara aset yang dikatakan telah dijual ialah kepentingan Tabung Haji di dalam Tenaga Nasional Berhad (TNB). Mujahid bertindak memfailkan saman fitnah terhadap Asyraf kerana menurut kenyataan yang dikeluarkan, semua tuduhan yang dibuat Asyraf adalah palsu dan tidak benar.

Mujahid menolak cabaran debat yang buat oleh Asyraf atas alasan segala keputusan perniagaan Tabung Haji adalah dibuat oleh pengurusan professional Tabung Haji berdasarkan pertimbangan professional dan pengalaman mereka. Kenyataan ini di sokong oleh Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji, Datuk Nik Hasyudeen Nik Yusof yang mengatakan penjualan aset adalah hanya terhadap aset yang tidak mendatangkan keuntungan sewajarnya sahaja dan hasil penjualan itu akan digunakan bagi maksud membeli aset baru yang lebih menguntungkan Tabung Haji. Kepentingan Tabung Haji di dalam TNB tidak pernah dijual.

Mujahid juga menegaskan bahawa beliau telahpun menyaman Asyraf dan Asyraf boleh bertentang dengan beliau di Mahkamah nanti.

Kes ini dijangka akan dipanggil untuk perbicaraan penuh di akhir tahun ini. Mujahid diwakili peguam Noorazmir Zakaria manakala Asyraf diwakili peguam Wan Hafiz Wan Zawawi.