Undi percaya: Saya tidak tahu apa PAS akan lakukan – Dr Mahathir

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini berkata beliau tidak tahu apa yang PAS akan lakukan susulan laporan bahawa parti itu bercadang membentangkan usul undi percaya terhadap kepimpinannya, namun mengucapkan terima kasih kepada parti berkenaan berhubung perkara itu.

“Saya sudah menjadi perdana menteri, jika mereka mahu sokong saya, terima kasihlah,” katanya kepada pemberita semasa ditemui selepas menghadiri sesi dialog dengan komuniti perniagaan Perancis di Malaysia, di sini.

Dr Mahathir berkata demikian ketika diminta mengulas keputusan PAS untuk membentangkan usul undi percaya terhadap kepimpinan beliau di Dewan Rakyat bulan depan.

Timbalan Presiden PAS Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dilaporkan sebagai berkata pembentangan usul undi percaya itu diputuskan sebulat suara oleh majlis kepimpinan pusat PAS pada mesyuarat bulanannya pada Sabtu.

Timbalan Presiden UMNO Mohamad Hasan turut menyatakan parti itu akan menyokong undi percaya terhadap Dr Mahathir apabila ia dibentangkan oleh PAS di Dewan Rakyat.

Berhubung kenyataan Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Malaysia bahawa mereka kecewa dengan gesaan supaya Presiden Donald Trump meletak jawatan, Dr Mahathir berkata beliau meminta Trump meletak jawatan adalah untuk menyelamatkan Amerika.

“Saya mendapati rakyat Amerika adalah orang yang baik, tetapi tidak Presiden Trump. Saya minta beliau meletak jawatan adalah untuk menyelamatkan Amerika,” katanya.

Semalam, Dr Mahathir berkata Trump patut meletak jawatan berhubung perjanjian damai yang diusahakan oleh AS antara Israel dan Palestin, dengan Trump menyifatkannya sebagai “deal of the century” atau “perjanjian abad ini”.

Menurut kedutaan berkenaan, kenyataan beliau itu tidak selaras dengan semangat dialog konstruktif yang telah sekian lama menjadi asas hubungan AS-Malaysia.