Fitnah: AMANAH adakan sidang media esok, mahu saman pemimpin Pas

 Parti Amanah Negara (AMANAH) Negeri Perak akan mengadakan satu sidang media khas esok.

Difahamkan sidang media tersebut berhubung satu kenyataan fitnah yang dilakukan oleh seorang pemimpin Pas Perak terhadap Pengerusi AMANAH Perak, Dato’ Asmuni Awi.

Menurut maklumat Perak Insights, sidang media itu diadakan untuk memaklumkan satu tindakan saman fitnah akan dilakukan terhadap pemimpin tersebut.

Sidang media itu dijadualkan berlangsung esok (11 Februari 2020) jam 10.00 pagi di Wisma AMANAH Perak, Greentown Nova Ipoh.

Setiausaha AMANAH Perak, Salman Saleh akan mengetuai sidang media tersebut bersama peguam.

Ketika dihubungi, Salman enggan memberi maklumat lanjut dan diminta tunggu sidang media yang akan berlangsung esok.

“Tunggu esok, saya tak mahu ulas sekarang. Saya jemput semua media hadir membuat liputan,” kata Salman kepada Perak Insights.

Mengikut rekod, saman melibatkan pemimpin Pas dan AMANAH bukanlah kali pertama berlaku.

Sebelum ini Timbalan Pengerusi AMANAH Perak, Dato’ Seri Nizar Jamaluddin telah menang saman fitnah terhadap Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria.

Adun Gunung Semanggol itu didapati bersalah memfitnah Mantan Menteri Besar Perak itu dalam satu rencana yang disiarkan akhbar Sinar Harian edisi Perak bertarikh 2 Jun 2015 bertajuk “Pendekatan Nizar Mirip DAP”.

Hakim Mahkamah Rayuan Putrajaya, Datuk Dr Badariah Sahamid telah mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Ipoh sebelum ini yang memerintahkan Razman membayar RM200,000 kepada Nizar.