AMANAH mesti pelihara kestabilan, matang berpolitik

Setiausaha Agung AMANAH, Datuk Wira Dr Hatta Ramli mengingatkan pentingnya AMANAH memelihara kestabilan dan matang dalam berpolitik.

Ahli Parlimen Lumut itu berkata, budaya politik AMANAH yang matang menjadikan parti komponen Pakatan Harapan (PH) tersebut berada dalam landasan kukuh.

“AMANAH mesti dilihat stabil dan berdaya maju. Orang lain pun menyebut, bukan saya yang sebut bahawa konvensyen AMANAH paling tenang.

“Kematangan itulah yang ada. Walaupun ada kata-kata pedas (semasa konvensyen) tetapi tidaklah sampai tahap merenggangkan hubungan dan menimbulkan reaksi melampau.

“Jadi, ini yang dianggap kematangan dan menyebabkan parti kita agak stabil. Dalam pemilihan lepas jawatan Presiden dan timbalan kekal. Hal ini kita kena jaga sungguh-sungguh.

“Kepimpinan dilantik untuk memastikan (parti) stabil dan kena hebat sumbangan kepada masyarakat,” ujarnya dalam Bicara Menteri di Jom Channel baru-baru ini.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan itu berkata, semua pihak mahu melihat sumbangan AMANAH kepada ahli, rakyat dan dalam kerajaan.

“Yang inilah yang kita wajib bina. Jadi, kita perlu kekal membina (parti). Proses membina ini mesti berjalan. Begitu juga retreat dan rekod pencapaian perlu buat selalu.

“Ahli yang ramai jika dibiarkan, tidak berhasil juga. Jadi, memerlukan sedikit pengarahan atau tarbiyah,” tegasnya.

Dr Hatta berkata, AMANAH mempunyai struktur dalam parti yang akan menyusun pembangunan sumber manuasia supaya menjadi sebuah parti terbaik.

“Pertambahan ahli perlu dilakukan untuk menambah keyakinan masyarakat. Kemasukan ahli (parti) mesti didorong dengan tanggungjawab bukannya mengharap imbuhan-imbuhan daripada sebuah parti kerajaan,” ujarnya.

Dalam masa sama, beliau memberitahu keahlian AMANAH sudah melebihi 200,000 orang sekali gus membuktikan parti itu berjaya menambat hati rakyat.

“Dalam tempoh empat tahun ini, orang yang berani masuk parti baru ketika itu sebab imej yang dibawa ialah imej Islam yang progresif dan demokratik.

“Bagi sesetengah Muslim yang jalur keras, AMANAH tidak menepati jiwanya tetapi Alhamdulillah sambutan terhadap AMANAH adalah cukup baik.

“Ini menggambarkan apa yang diperjuangkan adalah sejajar dengan pemikiran umat Islam,” ujarnya.

Sehubungan itu, Dr Hatta menyifatkan AMANAH telah terbukti membawa mesej Islam sebagai rahmat kepada sekalian alam dalam konteks pentadbiran PH pada masa ini.

Berita Asal https://malaysiadateline.com/amanah-mesti-pelihara-kestabilan-matang-berpolitik/