3 kes koronavirus sembuh di Malaysia, kata Dr Dzulkefly

Kementerian Kesihatan Malaysia mencatatkan 3 kes koronavirus yang menerima rawatan di negara ini telah pulih sepenuhnya dan dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad  mengucapkan syukur kerana  ketiga-tiga kes berkenaan melibatkan pesakit yang sebelum ini diberi rawatan dan pemerhatian susulan di hospital kerajaan dimana seorang pesakit di Hospital Sultanah Maliha, Langkawi Kedah; seorang di Hospital Permai; Johor Bahru dan seorang lagi pesakit di Hospital Kuala Lumpur.

“AlhamdulilLah! Setakat Ahad 9 Feb 2020, 3 kes 2019-nCoV yang menerima rawatan di negara ini telah pulih sepenuhnya dan dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

“Setakat ini terdapat 2 pesakit (Kes 1 & Kes 5) di Hospital Sungai Buloh, Selangor yang telah didapati negatif virus 2019-nCoV melalui pengesahan ujian sampel klinikal dua kali berturut-turut.

“Manakala 2 lagi pesakit (Kes 2 & Kes 3), iaitu anak-anak kepada Kes 5, sedang menunggu keputusan ujian sampel klinikal yang kedua selepas keputusan ujian yang pertama adalah negatif,” ujarnya dalam kenyataan.

Dr Dzulkefly turut mengucapman Tahniah kepada semua petugas KKM yang telah memberikan perkhidmatan rawatan terbaik dalam usaha memulihkan keadaan kesihatan pesakit yang dikesan positif susulan penularan virus ini di seluruh negara.