Pakatan Nasional: Tiada makluman, bukan sesuatu yang konkrit

“Saya rasa tiada makluman lagi kepada Majlis Presiden Pakatan Harapan. Jadi bagi saya ia bukanlah sesuatu yang konkrit.”

Demikian reaksi Jawatankuasa Pimpinan AMANAH Nasional, Muhammad Faiz Fadzil ketika ditanya tentang desas-desus mengenai penubuhan pakatan baharu politik yang digelar ‘Pakatan Nasional’.

“Tentang Pakatan Nasional ini belum ada makluman yang konkrit kepada Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH). Saya tidak pasti apa bentuk strukturnya, hala tuju dan kerangka.

“Cuma kalau Pas dan Umno teringin nak jadi kerajaan, ia sesuatu yang tidak baik kepada negara dan tidak memberi keuntungan serta faedah kepada rakyat dari sudut ekonomi negara.

“Ia akan merencatkan perancangan-perancangan dari sudut ekonomi seperti yang telah disusun oleh kerajaan PH.

“Sudah pasti ekonomi akan kembali menjadi teruk kalau mereka berada dalam kerajaan. Pelabur-pelabur tidak akan berminat untuk membuat pelaburan kerana ‘politik tidak stabil’ itu akan wujud,” katanya kepada Malaysia Dateline hari ini.

Muhammad Faiz yang juga Adun Permatang Pasir menambah, Umno adalah parti pemerintah lama yang telah ditolak oleh rakyat atas faktor-faktor korupsi.

“Apabila kerajaan PH membuat pemilihan tadbir urus dari sudut pembersihan tadbir urus, integriti dan sebagainya, ia menyebabkan keyakinan bertambah kepada kerajaan hari ini.

“Jadi, apabila parti yang korup itu berada dalam kerajaan, pelabur-pelabur asing tidak akan berminat dengan pelaburan di Malaysia apatah lagi Pas yang membawa fahaman ekstrim. Ia sudah pasti akan membuatkan pelabur asing takut untuk melabur di negara kita.

“Lagi pun Pas gagal untuk menguruskan ekonomi di Kelantan dan Terengganu dengan baik dari sudut pelaburan asing dan sebagainya. Sehinggakan mereka suka berharap kepada bantuan Kerajaan Persekutuan untuk menguruskan negeri mereka.

“Ini akan mengganggu perjalanan pentadbiran negara yang telah diuruskan dengan baik di bawah kerajaan PH,” ujarnya lagi.

Mutakhir ini timbul desar-desus kononnya bakal wujud kerjasama baharu politik dinamakan Pakatan Nasional membabitkan parti pimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) bersama Umno dan Pas.

Berita Asal https://malaysiadateline.com/pakatan-nasional-tiada-makluman-bukan-sesuatu-yang-konkrit/