KENAPA ASYRAF WAJDI TAK BERSUARA MASA HUTANG TH PLANTATIONS MELONJAK ZAMAN BN

  1. Beberapa pemimpin UMNO seperti Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Datuk Seri Najib Razak cuba mengelirukan rakyat mengenai penjualan aset TH Plantations Berhad dengan niat untuk menutup kelemahan syarikat milik Tabung Haji itu yang sebenarnya telah bermula ketika zaman pemerintahan Barisan Nasional (BN).
  2. Mereka berdiam diri sepanjang jumlah hutang TH Plantations melonjak naik sebanyak hampir 1,175% dalam tempoh 2009 hingga 2018 di mana mengikut laporan kewangan TH Plantations di Bursa Malaysia, jumlah hutang TH Plantations telah meningkat mendadak dari hanya RM97.23 juta pada 31 Disember 2009 kepada RM1.24 bilion pada 31 Disember 2018.
  3. Apa yang lebih membimbangkan adalah syarikat itu hanya mempunyai jumlah tunai dan kesetaraan tunai atau “cash and cash equivalents” sebanyak RM51 juta setakat 31 Disember 2018, walaupun jumlah hutang jauh lebih tinggi pada RM1.24 bilion. Peningkatan jumlah hutang turut menaikkan bayaran faedah yang perlu dibayar oleh TH Plantations, yang seterusnya menjejaskan kedudukan kewangan syarikat tersebut. Sebagai sebuah syarikat yang terdedah kepada turun naik harga komoditi, penjualan aset membantu mengukuhkan aliran tunai TH Plantations dengan mengurangkan kadar faedah tahunan yang perlu dibayar atas pinjaman dan sukuk.
  4. Penjualan aset TH Plantations penting untuk mengurangkan beban hutang dan memperbaiki kedudukan kewangan syarikat itu. Ini juga penting untuk memastikan keyakinan pelabur terhadap saham TH Plantations. Di bawah pemerintahan BN, iaitu daripada Mac 2012 sehingga 7 Mei 2018, harga saham TH Plantations telah jatuh hampir 72% daripada RM2.46 seunit saham kepada hanya 70 sen. Ini menyebabkan Lembaga Tabung Haji yang memegang mandat orang Melayu Islam khususnya pendeposit Tabung Haji, rugi dalam tempoh 6 tahun tersebut kerana ia mempunyai pegangan ekuiti sebanyak 74% dalam TH Plantations.
  5. Ironinya, rancangan menjual aset TH Plantations sudah dibincangkan sejak tahun 2016 ketika Najib Razak masih menjadi Perdana Menteri. Ia disebabkan pihak pengurusan TH Plantations ketika itu memahami keperluan mengurangkan beban hutang syarikat tersebut. Perkara ini boleh dirujuk pada pautan
    https://www.thesundaily.my/archive/thp-dispose-more-non-core-assets-JTARCH444391 yang diterbitkan pada tahun 2017. Barangkali Asyraf Wajdi yang merupakan Timbalan Menteri Hal Ehwal Agama ketika itu tidak peka masalah kewangan yang dihadapi TH Plantations.

6.Dakwaan Asyraf Wajdi berkenaan perubahan nilai buku dua aset TH Plantations iaitu Bumi Suria Ventures Sdn Bhd dan Maju Warisanmas Sdn Bhd yang dijual kepada Tamaco Plantations Sdn Bhd dari RM380 juta pada tahun 2017 kepada RM170 juta adalah mengelirukan. Hal ini sebenarnya telah diterangkan dalam Laporan Tahunan 2018 TH Plantations. Perubahan nilai buku berkenaan berkait dengan aspek perakaunan. Misalnya, nilai buku yang baharu mengambil kira kos penanaman semula pokok baharu di estet sebelum tempoh 30 tahun, berbanding tahun-tahun sebelum ini di mana kos berkenaan tidak dimasukkan ke dalam pengiraan nilai buku aset.

  1. Pihak pengurusan TH Plantations yang berpengalaman sedang berusaha untuk mengembalikan TH Plantations ke arah kedudukan kewangan yang utuh. Saya percaya tiada unsur jenayah atau salahguna kuasa berlaku dalam proses penjualan aset TH Plantation ini kerana Menteri Hal Ehwal Agama Datuk Seri Mujahid Yusuf tiada apa-apa kepentingan peribadi ke atas proses ini. Seharusnya keputusan korporat yang dilakukan oleh pihak pengurusan TH Plantations ini tidak dipolemikkan. Keputusan korporat ini adalah antara usaha kerajaan Pakatan Harapan membersihkan kepincangan urus tadbir kewangan di zaman pentadbiran BN dahulu.

FAIZ FADZIL

ADUN Permatang Pasir
AJK AMANAH Nasional

27 Januari 2020