Rakyat Sewajarnya Meraikan Hari Kebesaran Antara Kaum Dengan Cara Sesuai

Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, menggesa seluruh rakyat supaya berasa megah sebagai bangsa Malaysia dan sentiasa mencari titik kebersamaan bagi mewujudkan perpaduan serta keharmonian berkekalan.

Baginda bertitah, semua pihak perlu terus memastikan negara ini bebas daripada kekacauan, huru-hara dan gejala yang boleh menggugat keamanan kerana kedaulatan negara dikecapi hari ini tidak datang bergolek.

Titahnya, rakyat kini mampu berfikir secara matang dan rasional dalam mengambil iktibar daripada peristiwa peperangan bersenjata, pertumpahan darah, pergolakan, konflik berlarutan dan kekacauan berlaku di negara lain seperti tiada kesudahan.

“Berhati-hati dalam apa yang kita perjuangkan. Jangan terlalu taksub berjuang sehingga lupa nilai murni masyarakat dan sensitiviti kaum lain.

“Beta menyeru semua rakyat supaya semangat kebersamaan diperkuatkan supaya keamanan, keharmonian serta kesejahteraan rakyat terus dipelihara.

“Salah satu kaedah utama untuk mengekalkan perpaduan ialah memberi pendedahan awal kepada generasi muda untuk bercampur dan bergaul dalam kalangan sahabat pelbagai bangsa,” titah baginda pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat sempena Hari Keputeraan Ke-72 Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan di Istana Besar Seri Menanti, di sini, hari ini.

Yang turut berangkat, Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud.

Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun serta barisan pimpinan pentadbiran Negeri Sembilan.

Baginda bertitah, masyarakat hari ini juga perlu lebih menekankan penekanan untuk mengetahui dan memahami amalan serta budaya antara satu sama lain.

“Rakyat Malaysia sewajarnya turut serta memeriahkan sebarang sambutan perayaan atau hari kebesaran antara kaum dengan cara sesuai.

“Selain itu, amalan saling membantu tanpa mengira latar belakang bangsa dan agama turut penting diamalkan kerana ia akan mengukuhkan lagi ikatan persahabatan sesama rakyat,” titahnya.

Baginda bertitah, seiring dengan langkah mendepani cabaran tahun baharu ini, kepimpinan kerajaan dan jentera pentadbiran Negeri Sembilan diingatkan supaya lebih berwibawa dalam melaksanakan amanah dipertanggungjawabkan.

“Dalam apa saja situasi, suasana, keadaan, kepimpinan kerajaan negeri diharap sentiasa tekad mempergiatkan komitmen dan khidmat bakti ke arah tadbir urus yang lebih mantap serta berkesan.

“Teruskan dengan momentum kejayaan terbaik dan perbaiki kesilapan yang berlaku sebelum ini.

“Ini secara tidak langsung dapat memastikan rakyat berpeluang menikmati manfaat hasut kesempurnaan rencana pembangunan sekali gus membuka ruang untuk menjalani kehidupan seharian dalam keadaan lebih makmur dan sejahtera,” titah baginda.

Tuanku Muhriz turut menzahirkan ucapan tahniah kepada kerajaan negeri berjaya mencapai kutipan hasil negeri sebanyak RM556 juta pada 2019, melepasi sasaran RM430 juta yang ditetapkan.

“Melangkah ke tahun 2020, satu lagi pencapaian yang membanggakan ialah penggabungan Majlis Perbandaran Nilai dan Majlis Perbandaran Seremban kepada Majlis Bandaraya Seremban (MBS).

“Pengiktirafan ini jelas mencerminkan kemajuan dan kematangan pentadbiran serta pengurusan dengan julung kali pihak berkuasa tempatan (PBT) bertaraf bandar raya diwujudkan di Negeri Sembilan.

“Beta amat berharap, sebagai PBT berstatus bandar raya, pentadbiran MBS bersedia menggalas tanggungjawab lebih besar dengan sentiasa memastikan kualiti kemudahan infrastruktur dan perkhidmatan setara dengan pengiktirafan diperoleh.

Pada istiadat kali ini, Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Tan Sri Abdul Wahid Omar mengetuai senarai 444 penerima darjah kebesaran, bintang dan pingat dengan dianugerahkan Darjah Seri Setia Negeri Sembilan Yang Amat Cemerlang (SNSS) yang membawa gelaran Datuk Seri.

Turut menerima darjah sama, Pengarah Pejabat Wilayah Majlis Sains Antarabangsa (ISC) untuk Asia dan Pasifik, Prof Emerita Datuk Dr Mazlan Othman.

Seramai 14 penerima Darjah Datuk Paduka Negeri Sembilan (DPNS), Darjah Setia Tuanku Muhriz Yang Amat Gemilang (3), Darjah Setia Bakti Negeri Sembilan (20), Darjah Setia Negeri Sembilan (17), Darjah Tuanku Muhriz (1), Darjah Pekerti Terpilih (13), Ahli Setia Negeri Sembilan (52), Setiawan Tuanku Muhriz (2), Pingat Khidmat Cemerlang Masyarakat (107), Pingat Jasa Kebaktian (180), Bentara Tuanku Muhriz (180) dan 15 penerima Pingat Khidmat Lama.

Sumber : https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/01/646626/megah-sebagai-bangsa-malaysia-demi-perpaduan-keharmonian-tunku-muhriz