MUJAHID, KPM DAN PENULISAN JAWI

Menurut catatan Sejarah Melayu ditulis Hashim Hj Musa, 1999, perkataan Jawi diadaptasikan oleh Bahasa Melayu daripada tulisan Arab. Kemudiannya dibuat beberapa penyelesaian dan tambahan agar kegunaan tulisan ini menjadi mantap sebagai medium asas komunikasi bertulis seperti yang kita fahami sekarang ini.

Kata adjektif dalam Bahasa Arab, perkataan Jawah atau Jawi merujuk kepada semua bangsa dan kaum menjadi peribumi di Asia Tenggara malah merangkumi seluruh rumpun bangsa Melayu, Campa, Patani, Aceh, Jawa, Minangkabau, Mandailing, Sunda, Bugis, Banjar, Lombok, Filipina dan negeri-negeri lain.

Jawi juga pernah digunakan ulama dari Asia Tenggara dahulunya, meletakkan nama al-Jawi sebagai gelaran, pada hujung nama mereka sekalipun mereka terdiri daripada suku bangsa berlainan seperti Syeikh Abdul Rauf al-Fansuri al-Jawi, Syeikh Abdul Samad al-Falimbani al-Jawi, Syeikh Daud al-Fatani al-Jawi dan lain-lain.

Sebagaimana kita fahami, penulisan Jawi dan masyarakat Malaysia, dahulunya Tanah Melayu tidak asing lagi, jika diimbas kembali sejarah kita, tulisan Jawi pernah dijadikan medium penulisan rasmi Kerajaan suatu ketika dahulu.

Akibat perkembangan masa, tulisan Jawi ini kemudiannya hampir hilang penggunaannya apabila ditukar kepada penulisan Bahasa Melayu rumi sama ada dalam urusan rasmi pentadbiran Kerajaan atau penulisan dan pertuturan masyarakat dan rakyat negara ini.

Apabila Pakatan Harapan mengambil alih pentadbiran Kerajaan, satu inisiatif kita lihat antaranya mengembalikan kegemilangan penulisan jawi sebagai satu budaya dan tradisi suatu ketika dahulu.

Tulisan Jawi berkait rapat dengan budaya, penulisannya ada hubungan dengan seni kaligrafi, dan ia mampu memupuk perpaduan dan nilai menghargai budaya dan seni di kalangan masyarakat berbilang kaum negara ini.

Jawi tidak hanya dipelajari orang Melayu dahulu, malah ramai kalangan orang bukan Melayu, boleh menulis jawi dengan kemas dan baik.

Apa yang menarik perhatian kita, usaha dibuat Kementerian Pendidikan Malaysia memperkenalkan penulisan jawi kepada murid Tahun 4 di SJKC satu dipuji, meskipun terdapat beberapa halangan dan bantahan, sebenarnya perlu dilihat dalam konteks lebih besar, ke arah memupuk perpaduan dan kebudayaan masyarakat Malaysia.

Saya juga melihat usaha YB Datuk Seri Mujahid bin Yusuf, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama) melancarkan kempen memakai tag nama jawi bagi kakitangan di bawah beliau pada setiap Jumaat, suatu kempen sangat baik, beliau sangat positif mengangkat penulisan jawi sebagai satu medium memupuk perpaduan dan kebudayaan rentas bangsa dan kaum di Malaysia.

Masyarakat disarankan, tidak bersifat prejudis dan pesimis, sebagaimana masyarakat bukan Melayu boleh mempelajari kesenian tulisan jawi, begitu juga sebaliknya orang Melayu pada masa sama, boleh mempelajari seni kaligrafi Cina dan sebagainya. Inilah budaya dan kesenian yang ada di Malaysia, suatu yang unik tiada pada negara lain.

Akhirnya, tiada yang salah pada usaha mengangkat semula penulisan jawi sebagai satu tulisan yang pernah menjadi medium penulisan rasmi Kerajaan suatu masa dahulu, supaya ia kekal dipelihara, tak lapuk dek zaman, tak lekang dek pembangunan dan kemajuan.

Syabas Datuk Seri Mujahid, syabas KPM, syabas kepada semua rakyat Malaysia yang menyokong tulisan jawi.

Tok Aki