Hak Agama dan Fahaman Selain Islam Di Sisi Perlembagaan Malaysia

Jawapan ringkas saya, Islam agama rasmi dalam Persekutuan sebagaimana dijamin dalam Fasal 3 Perlembagaan Persekutuan

Fasal 3 : Agama bagi Persekutuan

(1) Islam ialah agama bagi Persekutuan; tetapi agama-agama amalkan dengan aman dan damai di mana-mana Bahagian Persekutuan

Pandangan saya sama ada tuan/puan terima atau tidak kepada 2 options:

Option 1 : Sekiranya mengambil pandangan dan ketetapan JK FATWA KEBANGSAAN – PENGHARAMAN SYIAH

Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang bersidang pada 5 Mei 1996 telah membincangkan Syiah Di Malaysia. Muzakarah telah memutuskan bahawa:

1. Bersetuju supaya keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa yang telah diadakan pada 24 dan 25 September 1984 [Kertas Bil. 2/8/84, Perkara 4.2. (2)] MENGENAI ALIRAN SYIAH yang menetapkan seperti berikut :” Setelah berbincang dan menimbang kertas kerja ini Jawatankuasa telah mengambil keputusan bahawa hanya Mazhab Syiah dari golongan Al – Zaidiyah dan Jaafariah sahaja yang diterima untuk diamalkan di Malaysia.” DIMANSUHKAN.

2. Menetapkan bahawa umat Islam di Malaysia hendaklah hanya mengikut ajaran Islam yang berasaskan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah dari segi Aqidah, Syariah dan Akhlak.

3. Menyokong dan menerima cadangan pindaan Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan Negeri – Negeri bagi memperuntukkan dengan nyata bahawa agama bagi Persekutuan dan Negeri – Negeri hendaklah agama Islam berasaskan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah dari segi Aqidah, Syariah dan Akhlak.

4. Memperuntukkan pindaan kepada semua Undang – Undang Negeri dan Hukum Syarak bagi menyelaraskan takrif hukum Syarak atas Undang- Undang Islam seperti berikut :” Hukum Syarak atau Undang – Undang Islam ertinya Undang – Undang Islam yang berasaskan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah dari segi Aqidah, Syariah dan Akhlaq. ”

5. Memperakukan bahawa ajaran Islam yang lain daripada pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah adalah bercanggah dengan Hukum Syarak dan Undang – Undang Islam dan demikian penyebaran apa –apa ajaran yang lain daripada pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah adalah dilarang.

6. Menetapkan bahawa semua umat Islam di negara ini adalah tertakluk kepada undang – undang Islam Hukum Syarak yang berasaskan pegangan kepada ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah sahaja.

7. Menetapkan bahawa penerbitan , penyiaran dan penyebaran apa- apa buku, risalah , filem , video dan lain – lain berhubung dengan ajaran Islam yang BERTENTANGAN DENGAN PEGANGAN AHLI SUNNAH WAL JAMAAH ADALAH DIHARAMKAN.

Maka, penganut atau pengikutnya tetap masih boleh mengamal mengikut kepercayaan dan amalan mereka berdasarkan kepada peruntukan Fasal 11 (1) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan bahawa :

“Tiap-tiap orang adalah berhak menganuti dan mengamalkan agamanya dan, tertakluk kepada Fasal (4), mengembangkan agamanya.”

Fasal 11 (4) memberi kuasa kepada kerajaan negeri atau kerajaaan persekutuan untuk menggubal undang-undang bagi mengawal atau menyekat penganut agama bukan Islam menyebarkan atau mengembangkan ajaran atau kepercayaan mereka kepada orang-orang Islam.

Berdasarkan kepada peruntukan sedia ada, saya merasakan jika kita mengambil pilihan pertama ini, sebarang agama atau fahaman lain selain Islam masih boleh diamalkan pengikut mengikut kepercayaan dan amalan masing-masing tertakluk kepada sekatan bahawa mereka tidak boleh menyebar, menghasut, mendoktrin fahaman tersebut kepada orang Islam.

Ketegasan undang-undang juga diperlihatkan dalam Enakmen-enakmen negeri masing-masing.

1. Enakmen Kawalan Dan Sekatan (Pengembangan Agama Bukan Islam) Terengganu, 1980 (Enakmen No. 1/1980)

2. Enakmen Kawalan Dan Sekatan (Pengembangan Agama Bukan Islam) Kelantan, 1981 (Enakmen No. 11/1981)

3. Enakmen Kawalan Dan Sekatan (Pengembangan Agama Bukan Islam) Kedah, 1988

4. Enakmen Kawalan Dan Sekatan (Pengembangan Agama Bukan Islam) Melaka, 1988 (Enakmen No. 1/1988)

5. Enakmen Kawalan Dan Sekatan (Pengembangan Agama Bukan Islam) Perak, 1988 (Enakmen No. 10/1988)

6. Enakmen Kawalan Dan Sekatan (Pengembangan Agama Bukan Islam) Selangor, 1988 (Enakmen No. 1/1988)

7. Enakmen Kawalan Dan Sekatan (Pengembangan Agama Bukan Islam) Pahang, 1989 (Enakmen No. 5/1989)

8. Negeri Sembilan: Enakmen Kawalan Dan Sekatan (Pengembangan Agama Bukan Islam) Negeri Sembilan, 1991

9. Enakmen Kawalan Dan Sekatan (Pengembangan Agama Bukan Islam) Johor, 1991 (Enakmen No. 12/1991)

Hanya Wilayah Persekutuan, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak dan Perlis yang belum menggubal undang-undang sedemikian, walaupun kuasa telah diberikan oleh Perlembagaan.

Tafsiran “agama bukan Islam” yang disebut dalam enakmen ini adalah luas meliputi agama-agama arus utama seperti Kristian, Hindu, Budha, Sikh, Yahudi atau mana-mana cabang atau serpihan dari agama-agama tersebut. Termasuklah juga amalan menyembah roh datuk nenek, animisme, dan lain-lain yang tidak diakui oleh agama Islam sebagai berunsur Islam.

Kesalahan-kesalahan yang termaktub dalam enakmen itu ialah :-

• Seseorang yang menyuruh, menyebabkan, memujuk, mempengaruhi, menghasut, menggalakkan atau membiarkan seseorang beragama Islam di bawah umur 18 tahun supaya menerima ajaran agama bukan Islam, atau supaya dia menyertai apa-apa istiadat, perbuatan menyembah, atau aktiviti keagamaan agama bukan Islam atau aktiviti yang dianjurkan untuk faedah suatu agama bukan Islam, maka ia adalah satu kesalahan yang boleh dikenakan denda sebanyak RM10,000 atau penjara selama tempoh satu tahun atau kedua-duanya (Seksyen 5).

• Seseorang yang mendekati orang Islam bertujuan mendedahkannya kepada apa-apa ucapan, pertunjukan, mengunjungi, mengatur, berusaha mengadakan suatu perjumpaan dengannya, atau menghubungi dengan telefon, bagi maksud mendedahkan orang itu kepada apa-apa ucapan atau pertunjukan mengenai agama bukan Islam, juga adalah kesalahan yang boleh dikenakan denda sebanyak RM5,000 atau penjara selama tempoh enam bulan atau kedua-duanya (Seksyen 6).

• Seseorang yang menghantar, menyerahkan, menyebabkan dihantar, diserahkan kepada seorang lain yang beragama Islam di dalam atau di luar negeri, atau dari luar negeri, menghantar atau menyerahkan kepada seorang yang beragama Islam di dalam negeri, apa-apa terbitan mengenai agama bukan Islam, atau bahan iklan bagi terbitan itu, yang mana tidak diminta oleh orang itu, juga adalah melakukan kesalahan yang boleh dikenakan denda RM3,000 atau penjara selama tempoh tiga bulan atau kedua-duanya (Seksyen 7).

• Seseorang yang membahagi-bahagikan di suatu tempat awam, apa-apa terbitan mengenai agama bukan Islam, menyerahkan salinan terbitan itu kepada seorang Islam, juga adalah melakukan kesalahan yang boleh dikenakan denda sebanyak RM1,000 (Seksyen 8).

• Seseorang yang membuat apa-apa tulisan yang diterbitkan dalam apa-apa ucapan atau pernyataan terbuka, atau dalam suatu perhimpunan yang dirancang, atau dalam pernyataan yang diterbit atau disiarkan, menggunakan mana-mana perkataan yang khusus untuk umat Islam sebagaimana disenaraikan dalam Bahagian I (Jadual) Enakmen itu, atau terbitan atau virasinya, menyatakan atau memperihalkan sesuatu fakta, kepercayaan, idea, konsep, perbuatan, aktiviti, perkara, atau hal mengenai atau berkaitan dengan sesuatu agama bukan Islam adalah suatu kesalahan yang boleh dikenakan denda sebanyak RM1,000 (Seksyen 9).

Option 2 : Pandangan yang mengatakan bahawa sebahagian fahaman berada hampir dengan Aswj terutamanya zaidiyyah dan jaafariyyah.

Jika ada mengambil pandangan ini, maka kena melihat kewajaran dan kesesuaian di mana ia berada, dalam suasana di Malaysia ia tidak sesuai dipraktikkan dan diamalkan dalam kondisi masyarakat umat Islam Malaysia yang majoritinya bermazhab Aswj (sama ada berada di pihak khalaf 4 mazahib atau di pihak salaf).

Dr Yusof Qaradawi dalam penulisannya juga menyeru syiah tidak masuk ke dalam wilayah Aswj dan begitu sebaliknya Aswj tidak masuk ke wilayah syiah. Makanya, pendirian ini seharus dihormati bahawa wilayah Malaysia adalah wilayah Aswj yang harus dihormati dan diperakui syiah.

Waimma dalam masalah dia nak berpegang kepada fahaman dia itu hak dia yang dijamin perlembagaan, namun harus diingat dilarang dengan keras menyebar, mendoktrin, menyampai dan apa sahaja medium penyebaran fahamannya kepada orang Islam yang bermazhab Aswj di Malaysia sebagaimana ditetapkan perlembagaan dan enakmen-enakmen saya sebutkan di atas.

Wallahu’alam, kepada Allah kita berserah dan selamatkan umat ini.

Mohd. Fikri Abd. Rahman
Kanun AMANAH