Surcaj Elektrik Komersial Dan Industri Diturunkan Sebanyak 0.55 sen/kWj

Tarif elektrik pengguna domestik kekal manakala kadar surcaj tarif elektrik bagi pengguna bukan domestik turun 0.55 sen/kWj bagi tempoh 1 Januari hingga 30 Jun 2020, demikian menurut Suruhanjaya Tenaga (ST).

Menurut ST, melalui keputusan yang dipersetujui kerajaan itu, sebanyak 7.4 juta pengguna domestik akan diberi pengecualian surcaj tarif elektrik manakala pengguna bukan domestik akan menikmati pengurangan surcaj iaitu pengurangan kadar efektif tarif elektrik dalam bil elektrik mereka.

ST berkata, semakan menunjukkan RM376.45 juta perlu dilepaskan kepada pengguna di Semenanjung Malaysia melalui surcaj Imbalance Cost Pass Through (ICPT) bagi tempoh 1 Januari hingga 30 Jun 2020.

“RM62.95 juta perlu dilepaskan untuk kategori pengguna domestik manakala RM313.50 juta perlu dilepaskan untuk pengguna komersial dan industri,” kata ST dalam satu kenyataan hari ini.

Bagi pengguna domestik, sebanyak RM62.95 juta daripada Kumpulan Wang Industri Elektrik (KWIE) akan digunakan untuk menampung surcaj ICPT supaya tiada surcaj dikenakan kepada pengguna domestik.

“Ini bermakna pengguna domestik tidak mengalami sebarang peningkatan tarif elektrik selama 18 bulan berturut-turut,” katanya.

Mengenai kategori pengguna komersial dan industri pula menurut ST, surcaj sebanyak 2.55 sen/kWj telah dikenakan untuk tempoh Julai hingga Disember 2019.

“Oleh kerana terdapat penurunan kos bahan api untuk tempoh enam bulan ini (Julai-Disember 2019), kadar surcaj pengguna komersial dan industri akan diturunkan sebanyak 0.55 sen/kWj daripada 2.55 sen/kWj kepada 2.00 sen/kWj,” katanya.

Menurut ST, terdapat penurunan dalam kos arang batu sebenar bagi tempoh Julai hingga Disember 2019 namun purata harga arang batu sebenar bagi tempoh itu masih melebihi paras harga penanda aras yang ditetapkan dalam tarif asas bagi tempoh kawal selia kedua (RP2) mekanisme Incentive-Based Regulation (IBR) dari tahun 2018 hingga 2020.

“Peningkatan harga ini adalah di luar kawalan kerajaan kerana ia adalah berdasarkan kepada harga pasaran global. Di samping itu, permintaan elektrik yang lebih tinggi turut menyumbang kepada kenaikan kos bahan api dan kos yang berkaitan bagi tempoh Julai hingga Disember 2019,” katanya.

Di bawah mekanisme IBR, tarif elektrik asas bagi tahun 2018 hingga 2020 ditentukan dengan menetapkan harga penanda aras bahan api arang batu dan gas dalam tempoh itu.

Menurut ST, sebarang perbezaan kos sebenar dengan harga penanda aras bahan api dalam penetapan tarif asas akan diselaraskan setiap enam bulan di bawah mekanisme ICPT, sama ada dalam bentuk surcaj atau rebat, bergantung kepada kos bahan api dan kos penjanaan lain dalam tempoh itu.

“Ini bermakna kadar efektif tarif elektrik ialah kadar asas ditambah dengan surcaj ataupun kadar asas ditolak dengan rebat dan penyelarasan kos bahan api ICPT untuk tempoh enam bulan melalui surcaj atau rebat akan dilakukan pada enam bulan seterusnya.

“Dengan erti kata lain, kadar surcaj atau rebat ICPT, untuk Januari hingga Jun 2020 ditentukan oleh harga bahan api Julai hingga Disember 2019,” menurut ST. – Bernama

Sumber : https://www.sinarharian.com.my/article/61289/BERITA/Nasional/Kadar-surcaj-tarif-elektrik-pengguna-bukan-domestik-turun-055-sen