Pembelian Di Chanel Hawaii Merupakan Seutas Jam Tangan Bernilai RM 543,530 Ialah Untuk Rosmah

Najib Razak hari ini diminta untuk menjelaskan perbelanjaanya di kedai mewah di Hawaii dan Sardinia, Itali menggunakan dana yang didakwa penyiasat berasal daripada SRC International Bhd, tetapi menurut bekas perdana menteri itu hasil daripada sumbangan.

Menurut Najib, perbelanjaan sebanyak AS$130,625 (RM543,530) menggunakan kad kreditnya di butik Chanel di Honolulu, Hawaii – yang kemudiannya dibayar menggunakan dana dalam bank akaunnya – adalah untuk isterinya, Rosmah Mansor.

“Pembelian di Chanel di Honolulu merupakan seutas jam tangan yang saya beli sebagai hadiah untuk hari ulang tahun isteri saya pada Disember,” katanya ketika pemeriksaan balas dengan peguam bela Rahmat Hazlan, di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Transaksi itu dibuat pada 22 Disember 2014.

Najib juga ditanya berkenaan caj berjumlah RM127, 017.46 pada kad kreditnya di Hotel Shangri-La Bangkok pada Januari 2015.

Jawab Najib, beliau menyambung semula percutiannya di Thailand setelah memendekkan kunjungannya di Amerika Syarikat (AS) untuk mengendalikan masalah banjir yang melanda negara ketika itu.

“Berkenaan transaksi Shangri-La, sejurus selepas lawatan saya di Kota Bahru untuk memeriksa keadaan banjir di sana, saya terus menyambung percutian peribadi saya di Bangkok, Thailand di mana saya berlepas secara terus dari Kota Bahru.

“Meskipun perjalanan itu percutian peribadi, saya turut mengambil peluang untuk bertemu dengan rakan sejawat saya Prayut Chan-O-Cha untuk membincangkan bagaimana kerajaan Thailand boleh membantu kita dengan banjir teruk yang kita hadapi.

“Pembayaran RM120,000 di Hotel Shangri-La, Bangkok meliputi penginapan saya dan juga kakitangan sokongan yang menemani saya dalam perjalanan ini, termasuklah perbelanjaan di luar jangkaan dan yang diperlukan sepanjang perjalanan ini.

“Ianya menjadi hak saya ntuk menuntut kembali perbelanjaan dari kerajaan memandangkan saya kerja, tetapi saya memilih untuk menanggung semua perbelanjaan (sendiri) memandangkan saya tidak mahu merumitkan perkara itu,” katanya.

Najib berkata tidak salah untuknya menggunakan wang dalam akaun banknya, yang didakwanya adalah sumbangan.

Hadiah buat isteri bekas perdana menteri Qatar.

Sementara itu, Najib juga diminta menjelaskan pembelian berjumlah 763,5000 euro (RM3.514 juta) di butik De Grisogono di Sardinia pada 8 Ogos 2014.

Katanya, ketika bercuti di Sardinia, beliau terjumpa dengan Sheikh Ahmad Jassim Al Thani yang merupakan perdana menteri Qatar pada masa itu.

“De Grisigono merupakan gedung pakar barang kemas mewah dan jam tangan di Itali. Pembelian yang telah dilakukan oleh saya pada Ogos 2014 adalah berkaitan dengan barang kemas yang telah dibeli sebagai hadiah kepada isteri Sheikh Ahmed (Noor Abdulaziz Abdulla Turki Al-Subaie),” katanya.

Najib berkata lagi, Sheikh Ahmed dan Noor Abdulaziz sebelum itu juga telah membelikan hadiah kepadanya dan Rosmah dan wajar untuknya membalas budi pasangan itu.

“Atas dasar itu, kami tidak boleh membalas (dengan pemberian) apa-apa yang kurang daripada menepati kedudukan dan kemurahan hati mereka.

“Saya tidak mahu menggunakan dana awam bagi pembelian hadiah ini dan saya fikir memandangkan akaun ini tersedia, ianya wajar untuk menggunakan akaun ini berbanding dana awam,” katanya.

Najib berkata beliau yakin tindakannya itu akan memberi manfaat kepada rakyat Malaysia, dan Noor Abdulaziz kemudian ada menghantar nota untuk mengucapkan terima kasih.

Ditanya adakah beliau merasakan berhak untuk menggunakan dana itu – yang didakwanya sebagai sumbangan – untuk perbelanjaan mewah, Najib menjawab ya.

“Sebagaimana yang saya sebutkan pada awalnya, saya percaya bahawa saya telah mengekalkan budi bicara penuh dengan cara yang mana saya akan membelanjakan dana di dalam akaun sewajarnya.

“Saya merasakan pembelian yang kami lakukan di De Grisigino adalah satu yang dibenarkan secara diplomatik,” katanya lagi.

Najib dihadapkan dengan tujuh pertuduhan pengubahan wang haram, pecah amanah dan penyalahgunaan kuasa membabitkan dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Najib menafikan wang dalam akaun peribadinya berasal daripada SRC International dan menyifatkan dirinya “tidak masuk akal dan tidak waras” jika mengambil dana daripada entiti milik negara itu.

Kes tersebut dibicarakan di depan hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Sumber : https://www.malaysiakini.com/news/502998