Tambah Nilai Perpustakaan Fizikal Perlu Diambil Perhatian Kerajaan Negeri

Bagi menggalakkan budaya membaca di kalangan masyarakat di negeri Johor, saranan untuk menambah nilai perpustakaan fizikal perlu diambil perhatian oleh kerajaan negeri.

Adun Maharani, Norhayati Bachok dalam perbahasan Belanjawan 2020 Negeri Johor baru-baru ini berkata, usaha kerajaan negeri memperkasakan sektor pendidikan perlu seiring dengan pemerkasaan institusi perpustakaan.

Menurutnya pemerkasaan tersebut perlu merangkumi perpustakaan konvensional dan digital.

“Rancangan untuk mewujudkan sebuah perpustakaan digital baharu di Johor merupakan langkah positif mencapai matlamat ini.

Loading...

“Walaupun era digital dan Revolusi Industri 4.0 kini menekankan pendigitalan perpustakaan dengan kemudahan di hujung jari, saya mencadangkan agar kerajaan turut meneruskan inisiatif meningkatkan kualiti perkhidmatan perpustakaan fizikal.

“Perpustakaan ini wajar ditambah nilai dengan penaiktarafan prasarana berserta kemudahan terkini seiring dengan keperluan semasa bagi memberi kemudahan kepada rakyat mengakses bahan bacaan dan maklumat terkini,” kata Norhayati sewaktu perbahasan Belanjawan 2020 Johor.

Beliau turut mencadangkan agar kerajaan menyediakan peruntukan tahunan khusus bagi penambahbaikan kemudahan perpustakaan-perpustakaan tersebut.

Langkah itu mampu menyokong usaha kerajaan menerusi Dekad Membaca Kebangsaan bagi memupuk amalan membaca di samping menjadikan perpustakaan sebagai ruang interaksi dan kreativiti rakyat pelbagai lapisan di masa lapang mereka.

“Kerajaan negeri juga boleh mempertimbangkan insentif khas kepada syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di negeri ini dan multinasional yang beroperasi di sini untuk memperuntukkan sebahagian dana CSR tahunan mereka kepada pembangunan perpustakaan.

“Ia bagi menggalakkan penglibatan langsung mereka dalam pembinaan fasiliti perpustakaan bertaraf antarabangsa serta penganjuran aktiviti menarik di perpustakaan termasuk berorientasi STEM dan ‘edu-play’.

“Selain itu kempen untuk menarik minat orang ramai mencintai ilmu juga perlu dipergiatkan oleh kerajaan negeri hari ini,” ucapnya lagi.

Sumber : https://www.johorkini.my/saranan-tambah-nilai-perpustakaan-fizikal-wajar-diberi-perhatian/