Perwakilan Bebas Beri Kritikan Terhadap Parti

Perwakilan bebas memberi kritikan terhadap kepimpinan parti sewaktu sesi perbahasan pada Konvensyen Nasional 2019 Parti Amanah Negara (Amanah) minggu depan, kata Naib Presiden parti itu, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa.

Beliau berkata pihak kepimpinan membuka ruang yang luas bagi mana-mana perwakilan yang ingin membahaskan usul atau memberi pandangan.

“Parti Amanah ini telus, jadi mereka boleh mengkritik apa sahaja selagi ada adabnya dan saya rasa mereka pun sudah tahu apa usul yang ingin dibahaskan.

“Saya rasa ia perkara biasa dalam Amanah dan sebagaimana mereka memberi pandangan kita juga akan memberikan penjelasan pada waktu yang sama,” kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu di lobi Parlimen hari ini.

Loading...

Mujahid berkata konvensyen pada tahun ini akan lebih menarik kerana parti itu akan mengadakan sesi pemilihan kepimpinan baharu dalam Amanah buat kali pertamanya, yang dipilih oleh 25 ahli jawatankuasa dalam parti.

Beliau turut berharap agar kepimpinan baharu parti akan turut membawa agenda ‘Rahmatan Lil Alamin’ dan lebih penting menyumbang kepada dasar yang lebih besar iaitu ‘Kemakmuran Bersama’.

“Juga sebagai parti pemerintah untuk meneruskan cita-cita bagi membentuk Malaysia Baharu ini supaya semua kaum, bangsa dan agama hidup dalam keadaan aman dan damai,” katanya.

Dalam pada itu, Presiden parti, Mohamad Sabu berkata antara isu yang akan disentuhnya ketika konvensyen itu adalah mengenai perpaduan dan manifesto yang telah dilaksanakan namun tidak sampai kepada rakyat.

“Dalam Pakatan Harapan kita mesti ada perpaduan dan itu isu yang perlu ditekankan, dan bagaimana kita ingin jalan supaya manifesto itu sampai kepada rakyat,” katanya di lobi Parlimen.

Konvensyen Nasional 2019 Amanah akan diadakan pada 6 hingga 8 Dis di IDCC (Ideal Convention Centre) Shah Alam. – BERNAMA

Sumber : https://www.bharian.com.my/berita/politik/2019/11/633056/perwakilan-bebas-kritik-pemimpin