PAKATAN HARAPAN TETAP MENJADI HARAPAN KE ARAH MALAYSIA YANG LEBIH BAIK

Untuk tempuh setahun setengah ini, PH sebenarnya mempunyai track record yang agak baik berbanding pentadbiran sebelumnya. Saya ambil satu contoh berkenaan kos sara hidup dan kenaikan harga barang. Kenaikan harga barang berjaya dikekang. Indeks Harga Pengguna (CPI) untuk tahun 2018 (0.97%) dan unjuran 2019 (1.02%) adalah paling rendah untuk tempoh 10 tahun lepas. Pada tahun 2017 iaitu tahun sebelum PRU14, CPI adalah pada kadar 3.8%.

Masalah rakyat hari bukan lagi harga barang, tetapi kadar upah yang agak rendah. Kenaikan kadar upah untuk tempoh 10 tahun lepas sangat perlahan. Ini sebenarnya yang menekan rakyat. Inilah punca kenapa hampir satu juta rakyat Malaysia sanggup melakukan kerja-kerja yang dianggap 3D (dirty, dangerous, demeaning) di Singapura.

Kenapa kita sukar meningkatkan kadar pendapatan rakyat? Saya fikir, puncanya ialah kerana rakyat kita terlalu bergantung kepada sektor penggajian tetap sebagai punca pendapatan. Menaikkan gaji pekerja tetap secara mendadak akan memberi tekanan kepada majikan dan syarikat swasta. Sektor swasta adalah penggerak utama ekonomi negara. Sektor swasta menyediakan pekerjaan tetap kepada sebahagian besar rakyat Malaysia. Memaksa sektor swasta menaikkan gaji pekerja tetap akan menyebabkan perniagaan mereka terjejas dan ini boleh membawa kesan yang sangat buruk kepada ekonomi negara.

Lebih 80% rakyat kita bergantung kepada gaji tetap bulanan sebagai satu-satunya punca pendapatan. Ini tidak membantu proses kenaikan kadar upah dan taraf pendapatan rakyat.

Loading...

Rakyat perlu keluar dari lingkaran ini. Kerajaan perlu pelan jangka panjang untuk mengeluarkan rakyat dari perangkap ‘gaji tetap bulanan’ ini. Ada negara maju yang hanya 40% rakyatnya bergaji tetap. Selebihnya bekerja sendiri samada secara freelance atau berniaga. Negara kita memerlukan lebih ramai majikan supaya ada persaingan untuk mendapatkan pekerja dengan tawaran gaji yang lebih mahal.

Untuk melakukan ini, banyak sistem dalam negara kita yang perlu dirombak. Sistem pendidikan, sistem saraan, sistem insentif, sistem teknologi dan rangkaian, semuanya perlu dirombak.

Pakatan Harapan adalah satu entiti politik yang punya komitmen paling tinggi di dalam usaha reformasi sistem pentadbiran negara. Tempoh dua tahun terlalu singkat untuk membawa perubahan yang betul-betul bermakna kepada rakyat.

Jamzuri Ardani